HARI demi hari, laporan tentang kes pembuangan bayi semakin menghiasi dada akhbar di negara ini. Statistik menunjukkan sehingga Mac 2010 sahaja, lebih daripada 400 kes pembuangan bayi telah direkodkan dalam tempoh beberapa tahun lalu. Ini bermakna isu sosial yang dikategorikan sebagai mudah terancam (vulnerable) yang berlaku dilihat tidak akan berkesudahan dan terus berpanjangan terutamanya di bandar- bandar utama di negara ini.
Kes-kes pembuangan bayi ini dikaitkan dengan proses pembandaran yang berlaku terutamanya di awal tahun 1970-an dan 1980-an apabila ramai penghijrah dari desa menuju ke bandar untuk mencari pekerjaan yang dijanjikan tetapi sesetengahnya terpesona dengan janji yang ditabur sehingga terperangkap dalam jebak yang dipasang dan akhirnya menerima nasib malang.
Namun begitu, situasi yang berlaku kini adalah berlainan dimensi dan rentaknya. Malah pemacu yang menjadi penyebab kepada berlakunya isu sosial adalah begitu kompleks. Kalau dahulu, tumpuan hanya kepada pekerja-pekerja yang bertugas di sektor perkilangan sahaja, tetapi kini tumpuannya telah beralih arah dan lebih pelbagai - dari sektor perkilangan, pelajar sekolah, pelajar institut pengajian tinggi sehinggalah kepada pendatang asing sama ada yang berpermit mahupun yang menyeludup secara haram. Sedang gendang dan irama kelestarian bandar dipalu, isu-isu ketidaklestariannya semakin membuak-buak menonjolkan dirinya.
Proses pembandaran yang berlangsung dengan begitu pesat bermula dari awal tahun 1970-an sehinggalah sekarang dengan tujuan utamanya adalah untuk membawa kepada pemodenan dan meningkatkan taraf kehidupan masyarakat yang lebih baik dan sempurna. Namun kemodenan yang diharapkan untuk meningkatkan asas kesepaduan dan kerukunan kehidupan, sebaliknya telah membawa kepada sikap individualisme yang semakin menebal di kalangan warga bandar dan seterusnya melunturnya semangat kejiranan walaupun sesetengah jaraknya hanya dipisahkan oleh batu-bata jarak setebal satu inci sahaja.
Atas landasan individualisme yang semakin pula meneguh dalam diri seseorang itu, hal-hal yang berkaitan dengan fardu kifayah jarang lagi diambil peduli dan difikirkan untuk kepentingan komuniti, masyarakat apatah lagi negara keseluruhannya.
Jika di kampung dahulu, ikatan yang wujud terbina atas dasar kekeluargaan. Lantaran saling mengenali di antara satu sama lain dan boleh menegur sapa atau menasihati anak- anak jiran sekampung kerana perkaitan darah yang mengalir datangnya dari keluarga yang sama. Anak orang anak kita juga. Oleh itu, tiada rasa curiga untuk menegur perkara yang dirasakan tidak baik yang dilakukan oleh anak jiran tetangga. Ikatan yang terbentuk di atas dasar kekeluargaan itu menimbulkan rasa saling menghormati yang tinggi kerana hirarki kekeluargaan tadi.
Sebaliknya berlaku dalam kehidupan di bandar, ikatan yang terbina adalah atas dasar profesionalisme pekerjaan dan membawa kepada sikap individualisme yang begitu menebal di kalangan warganya. Jiran sebelah menyebelah saling tidak mengenali di antara satu sama lain. Sementelah pula kepelbagaian etnik yang wujud turut menebalkan suasana individualisme tersebut.
Daya ketahanan masyarakat yang terbina melalui nilai-nilai budaya yang baik juga semakin berkurangan dan hampir lenyap dalam usaha mempertahankan kemodenan tadi. Situasi inilah yang membawa kepada kemunculan isu-isu sosial yang kerap dipaparkan di dada-dada akhbar.
Isu yang pastinya meruntun jiwa kita ini menuntut satu perspektif yang lebih berkesan untuk merungkai permasalahan yang berlaku. Pendekatan kompleksiti iaitu pendekatan yang menyediakan ruang untuk pemikiran dan ruang untuk memahami perkara yang sebenar-benarnya berlaku wajar difikirkan. Bukan sekadar hanya di ruang luar permukaan isu tersebut sahaja yang diteliti tetapi memahami sedalam-dalamnya sistem dan aturan sosial yang berlaku menurut kaca mata budaya, agama dan pengetahuan setempat.
Peningkatan isu-isu yang bersifat kompleks ini menuntut pemahaman yang lebih tuntas tentang proses yang berlangsung walau di peringkat mana sekalipun isu tersebut berlaku. Isu yang saling berkait di antara satu sama lain ini perlu diteliti, difahami dan dirungkaikan menurut pelbagai teras disiplin ilmu (multi-disiplin dan inter-disiplin). Ahli peneliti sains sosial dan agamawan misalnya boleh digandingkan dalam memahami isu sosial yang dibincangkan agar tindakan yang diambil tidak bersifat sementara, ad hoc dan kadangkala tersasar jauh daripada membetulkan aturan sosial tersebut.
Sememangnya, jangkamasa yang diambil untuk menyelesaikan isu-isu yang berkait dengan sistem sosial yang telah tercalar ini akan menjadi lebih lama berbanding dengan tindakan secara ad hoc atau bersifat sementara. Tetapi jika aturan dan susunan sosial yang telah tercalar itu tidak dibetulkan, permasalahan yang sama akan terus berulang mengikut keadaan dan di tempat yang lain pula.
Isu-isu yang bersifat mudahterancam ini - penagihan dadah, jenayah, pelacuran, keruntuhan rumah tangga, pembuangan bayi dan sebagainya adalah saling berkait dan perlu diteliti dengan sedalam-dalamnya ikatan-ikatan yang terbentuk akibat kecelaruan sistem sosial tadi. Kemudiannya, barulah dapat dikenal pasti pemacu-pemacu yang menjadi punca kepada permasalahan tersebut. Sebarang tindakan yang bakal diambil juga akan terkelola dalam aturan sistem sosial tadi.
Governans kompleksiti (complexity governance) perlu difikirkan dengan lebih mendalam agar isu pembuangan bayi yang berangkaian pula dengan isu-isu sosial yang lainnya tidak semakin parah natijahnya kepada bangsa kita umumnya. Kita tidak boleh mengharapkan hanya segelintir kementerian dan jabatan serta orang perseorangan membendung gejala yang tidak sihat ini daripada terus menjadi bahan santapan minda setiap hari. Kita juga tidak boleh mengharapkan embun untuk menghilangkan dahaga kelestarian setelah sumber air dicemarkan atas nama pembangunan dan pemodenan.
PENULIS ialah Felo Penyelidik dan Pensyarah Kanan Institut Alam Sekitar dan Pembangunan (Lestari) Universiti Kebangsaan Malaysia
Sumber : http : //www.utusan.com.my/
untuk mengatasi masalah sosial kita kena kembali kepada Islam secara seluruhnya.tiba masanya pelaksanaan hudud mengantikan hukum dunia.
BalasPadam