Sabtu, 3 Mei 2014

ISU BAHASA : klia2: Hanya jiwa besar berani tegur kesilapan bahasa


Oleh : Teo Kok Seong

Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 bukan sahaja satu lagi mercu tanda negara. Ia juga identiti negara. Ia yang lebih dikenali dengan nama bahasa Inggeris dalam bentuk singkatan, tidak boleh sesekali ditulis mengikut cara ala bahasa media sosial sebagai klia2.

Sebagai kata nama khas, iaitu nama kepada orang tertentu, negeri dan negara, hari dan bulan dalam takwim serta tempat khusus, lapangan terbang negara yang kedua ini bukan sahaja perlu, tetapi wajib ditulis dengan menggunakan huruf besar pada mula setiap patah kata.

Inilah kelazimannya, lebih-lebih lagi dalam sistem Rumi yang telah dijadikan peraturan. Oleh itu, bentuk klia2 tidak dapat diterima sebagai betul.

Lapangan terbang negara kedua ini bersama-sama dengan yang pertama adalah ikon negara. Ia memberi citra awam kepada Malaysia. Selain itu, ia agensi kerajaan di bawah Kementerian Pengangkutan. Ia entiti rasmi negara.

Dengan taraf rasmi yang ada padanya, namanya tidak patut mengambil bentuk yang ditulis salah. Walau apa sekali alasannya, sama ada untuk mengikuti gaya dan kecenderungan semasa, bentuk klia2 tetap salah dari segi penggunaan bahasa yang baik dan betul.

Justeru, ia harus diperbetul dan digantikan dengan bentuk KLIA 2. Langkah begini bukan sahaja penting untuk menjaga citra linguistik negara, malah kita mengetahui peraturan bahasa amnya dan selok-belok penulisan khasnya.

Lebih penting ialah bentuk klia2 yang salah itu boleh disalahertikan sebagai betul oleh masyarakat. Ia digunakan secara rasmi, sama ada di lapangan terbang itu sendiri sebagai tanda tempat atau dalam media massa.

Impak kepada pelajar

Impaknya yang lebih besar ialah pelajar yang sudah pun mencemarkan bentuk bahasa tulisan mereka dengan pelbagai singkatan, akan meneruskan gejala kebahasaan ini. Bentuk bahasa begini mungkin digunakan dan diamalkan pula dalam ranah rasmi.

Masih tidak terlambat untuk pihak berkenaan menukarkan bentuk klia2 yang salah kepada yang betul, iaitu KLIA 2. Kita harus berjiwa besar dan berani untuk mengakui kesalahan yang berlaku, untuk memperbetulkannya.

Jangan diteruskan penggunaan bentuk yang salah ini atas apa-apa jua alasan. Natijahnya ialah sebagai nama tempat khusus, ia kata nama khas. Untuk ini, cara tulisan kata nama khas dalam sistem Rumi mana-mana bahasa pun, termasuk bahasa Inggeris, sudah ditetapkan.

Oleh itu, peraturan ini harus dipatuhi untuk memperlihat kita di Malaysia juga memahaminya. Dengan ini, setiap patah kata pada nama lapangan terbang itu, perlu ditulis dengan huruf besar dan angka perlu dijarakkan daripada kumpulan huruf sebelumnya. Justeru, bentuknya ialah KLIA 2.

Bahasa biar betul

Sebenarnya, penggunaan bahasa yang baik dan betul dari sebarang dimensi, bukan sahaja memberi wibawa kepada pihak yang menggunakannya. Ia turut memberi wibawa kepada wacana yang ingin disampaikan. Dengan ini, bentuk KLIA 2 adalah bentuk yang dimaksudkan.

Sebaliknya, bentuk klia2 bukan sahaja bersifat bersahaja untuk ranah rasmi dan formal, ia tidak sewajarnya digunakan untuk entiti yang memerlukan sifat dan status kebesaran negara yang perlu dipenuhi penghormatan untuk melambangkan perwatakan kebangsaan.

Bentuk klia2 ini mungkin ditiru daripada tulisan yang digunakan sesetengah syarikat perniagaan yang gemar menggunakan bentuk yang penuh dengan segala macam kekreatifan. Antaranya, tulisan yang menggunakan semua huruf kecil walaupun untuk kata nama khas dan dicantumkan pula.

Ia sengaja dilakukan untuk mendatang kesan tertentu dalam perniagaan walaupun menyalahi peraturan. Walaupun tidak betul, ia yang selalu dianggap sebagai gimik, tidak pula dianggap bentuk jelik yang dikecam.

Ini berlainan dengan perbadanan kerajaan yang harus senantiasa bersifat birokratik. Ini bermakna ia hendaklah sesuai dengan sifatnya sebagai agensi kerajaan yang perlu mempertahan unsur kerasmian pada setiap masa melalui pelbagai cara.

Dalam kes ini, caranya ialah melalui bentuk namanya yang dipersembah kepada khalayak.

Ia perlu berupa jata, yakni wujud sebagai lambang kebesaran jabatan kerajaan dan bukan logo, iaitu tanda pengenalan sesuatu entiti. Oleh itu, ia hendaklah berbentuk KLIA 2.


Penulis ialah Profesor Linguistik Universiti Kebangsaan Malaysia

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

ISU SOSIAL : Masih ramai perokok tiada hati nurani


PELBAGAI isu kesedaran sivik seperti kerenah negatif perokok, kebersihan dan vandalisme kemudahan awam masih tidak banyak berubah berbanding dahulu.

Masih ada masyarakat yang tidak bertimbang rasa apabila merokok, bersifat pengotor dan melakukan kerosakan terhadap kemudahan awam.

Jika itu keadaannya, bagaimana negara hendak mencapai status negara maju sedangkan mentaliti masyarakat masih sedemikian rupa.

Tabiat buruk perokok yang tidak bertimbang rasa hanyalah sebahagian daripada isu kesedaran sivik yang menimbulkan masalah kepada masyarakat dan pengguna kemudahan awam.

"Tabiat merokok memang amat sukar diatasi, tetapi sebaiknya berpada-padalah, jangan pula hingga menyusahkan orang lain," akui Yang Dipertua Persatuan Keselamatan Pengguna Kuala Lumpur (PKP), Samsudin Mohamad Fauzi.

Panduan yang paling penting ialah dengan memastikan anda tenyehkan puntung rokok sehingga benar-benar terpadam bagi memastikan sisa bara rokok tidak  menyebabkan kebakaran.

Jika perlu, merokoklah di tempat yang tersorok dan mempunyai pengudaraan terbuka, katanya, mengambil contoh kebiasaan perokok di Jepun yang merokok hanya di tempat khas malah membawa dompet rokok khas untuk membuang habuk rokok.

"Mereka amat mementingkan kebersihan dan tidak akan membuang habuk dan puntung rokok merata-rata tempat, membuktikan kesedaran sivik perlu dijadikan sebahagian daripada budaya kita," tambah beliau.   
      
Hati nurani   
      
Masih ramai perokok di negara ini yang tidak mempunyai hati nurani sewajarnya malah sengaja merokok di kawasan awam seperti kawasan hospital, sekolah dan tangga pejabat tertutup tanpa mempedulikan kesihatan mahupun perasaan orang lain.

Ada pula yang merokok di dalam ruang berpenghawa dingin berpusat seperti di lobi pejabat atau bilik hotel, sekali gus menyebabkan pencemaran udara dalaman yang mampu menjejaskan kesihatan semua pengguna dalam bangunan itu.

Malah, ada juga perokok yang tanpa rasa segan sengaja menghembus ke arah laluan orang ramai, misalnya, mereka yang terdesak untuk merokok selepas makan tetapi malas untuk beralih tempat ke lokasi yang lebih sesuai.

Tidak cukup dengan itu, mereka yang membuang habuk dan puntung rokok di merata-rata tempat seperti pinggan makan, lantai dan tangga laluan awam, sekaligus mengotorkan kawasan awam dan menyakitkan mata pengunjung lain.   
      
Larangan bersebab     
      
Samsudin mengingatkan bahawa, larangan merokok di kawasan seperti sekolah, taman permainan kanak-kanak dan hospital adalah larangan bersebab, memandangkan kesan asap rokok pasif dalam kalangan kanak-kanak serta pesakit adalah terbukti amat buruk.

"Saintis membuktikan bahawa menghirup udara yang mempunyai kesan rokok akan memburukkan lagi keadaan pesakit yang mana sistem imun mereka telah sedia terjejas, serta kanak-kanak dan bayi yang masih belum mempunyai paru-paru yang kuat.

"Lagipun, ada banyak peralatan perubatan yang mudah terbakar, jadi, janganlah pula kita menyebabkan kebakaran di hospital dan bertanggungjawab terhadap beratus-ratus nyawa," tegur beliau yang tidak mahu tabiat buruk kesan kekurangan kesedaran sivik menyebabkan penganiayaan terhadap orang lain selain kekesalan seumur hidup pelaku.

Mentaliti pengotor        
     
Kebersihan adalah antara faktor sosial utama yang dilihat dalam usaha menaiktaraf negara menjadi negara maju, tetapi sayangnya masih ramai yang bermentaliti pengotor.

Bagi menjelaskan perkara ini, Samsudin memberi contoh tabiat pengguna kedai makan dan tandas awam.

Malah beliau mempersoalkan adakah kita sengaja membiarkan sisa makanan dan tisu kotor bersepah-sepah jika makan di rumah?

Baginya, adab penggunaan tandas awam boleh dikatakan semakin baik selari dengan keberkesanan pelbagai kempen dan usaha penambahbaikan berterusan oleh pihak berkuasa setempat.

"Namun masih ada yang memandang enteng dan tidak menggunakan tandas dengan cermat sehingga membahayakan pengguna lain.       

Ini termasuk sengaja membiarkan lantai dibanjiri air kerana tidak mahu menutup kepala paip dengan baik atau sengaja membiarkan hos air tidak disangkut di tempat sepatutnya," tambah beliau.

Lebih buruk lagi, ada pula yang bersikap pengotor dan tidak menjirus tandas dengan sebersihnya sehingga menyebabkan pengguna seterusnya ‘tidak lalu’ untuk mengguna tandas itu lagi.

Ada juga pengguna yang mempunyai tabiat membuang sampah seperti puntung rokok, plastik pembalut tuala wanita dan tisu ke dalam lubang tandas sehingga menyebabkannya tersumbat.

Sekali lagi Samsudin mempersoalkan sama ada mereka akan membersihkan tandas yang tersumbat angkara perbuatan tangan mereka sendiri?

"Sudah tentu tidak bukan.

"Sekiranya kita bersikap pembersih dan cermat ketika makan atau menggunakan tandas di rumah, apa salahnya kita bawa adab itu ketika berada di luar atau menggunakan kemudahan awam," tegur beliau lagi.

Lagipun, katanya, tingkah laku kita sebagai orang dewasa diperhati dan  icontohi oleh anak kita dan golongan yang lebih muda.     
    
Vandalisme

Tahap kesedaran sivik rakyat Malaysia boleh dikatakan semakin baik jika dinilaikan dari sudut penjagaan taman awam seperti taman permainan dan taman rekreasi.

Malangnya, habit buruk seperti sengaja membuang sampah merata-rata terutama di tempat awan seperti pantai dan hutan rekreasi tetap menjadi isu yang memalukan nama negara di mata pengunjung.

Begitu juga tabiat vandalisasi kemudahan awam hingga menyebabkan peralatan seperti bangku, tandas, wakaf dan papan tanda rosak, masih lagi berlaku sedangkan tanpa sedar barangkali, mereka telah membazirkan wang rakyat untuk membaikinya.

Lantas, Samsudin menyeru semua pihak agar berusaha mengubah tabiat buruk ketika mengguna kemudahan awam selain membudayakan kebersihan sekali gus bagi mencapai status negara maju. - Bernama

ISU PENDIDIKAN : Penghayatan ilmu dalam kalangan kanak-kanak


Oleh : DR. KHAIRUNNEEZAM MOHD. NOOR

DALAM sistem pendidikan di negara kita, kebanyakan anak-anak sejak umur 4 atau 5 tahun telah mula mempunyai hubungan dengan institusi pendidikan.

Setiap hari mereka dihantar ke sekolah, lengkap dengan buku dan alat tulis serta pakaian seragam mengikuti sesi persekolahan selama 6 hingga 7 jam sehari.

Itu belum termasuk jadual pendidikan sampingan yang perlu dihadiri anak-anak, seperti kelas tuisyen, kelas agama dan mengaji al-Quran, kelas tae kwando, kelas piano, atau kegiatan kokurikulum.

Kehidupan seharian anak-anak yang diprogramkan sebegini rupa menunjukkan budaya menimba ilmu yang tidak dapat disanggah peri pentingnya dalam membentuk manusia yang seimbang nilai rohani, jasmani, emosi dan inteleknya.

Namun, ada anak-anak yang tidak melihatnya sebagai sesuatu yang memberikan makna yang besar, sekadar suatu lumrah yang telah disusun atur oleh ibu bapanya.

Pergi ke sekolah dan menuntut ilmu sepatutnya bukan sekadar suatu rutin kehidupan harian daripada persepsi anak-anak, bahkan ia adalah salah satu kewajipan yang mesti dikerjakan oleh setiap orang Islam.

Ia bertepatan dengan sabda Rasulullah SAW: " Menuntut ilmu itu wajib bagi setiap muslim".Anak-anak perlu difahamkan bahawa menuntut ilmu juga diandaikan seperti berjuang menegakkan hak diri dan berjihad ke jalan Allah seperti mana hadis Rasulullah SAW, "Barang siapa keluar untuk mencari ilmu maka ia berada di jalan Allah sampailah ia kembali" (riwayat at-Tirmizi).

Sebagai ibu bapa pasti ada antara kita yang pernah diajukan persoalan oleh anak-anak seperti "Ayah, kenapa saya perlu ke sekolah setiap hari?" atau "Ibu, apa perlunya saya belajar bersungguh-sungguh? Apa pula agaknya jawapan yang sesuai untuk diberikan? Adakah mencukupi atau tepat dengan mengatakan kepada anak-anak bahawa "Kamu mesti belajar untuk lulus peperiksaan dengan cemerlang" atau "Kalau nak jadi orang yang ada kerja yang elok dan banyak duit, kenalah pergi ke sekolah dan belajar rajin-rajin."

Jawapan seperti ini ditafsir sesetengah orang sebagai kurang tepat. Ia menzahirkan trend dalam kalangan ibu bapa yang nampaknya bersungguh-sungguh mendidik anak-anak melangkahkan kakinya ke sekolah dengan hanya bermatlamatkan kecemerlangan dalam peperiksaan atau sebagai batu loncatan untuk berjaya mendapat pekerjaan baik di masa hadapan.

Apabila anak-anak dibudayakan untuk terlalu mengejar kedudukan nombor satu dalam kelas atau deretan "A" semaksimum mungkin dalam peperiksaan, ia menjadikan mereka tidak berfikir lebih jauh daripada tujuan tersebut.

Banyak impak negatif jika usaha mencari ilmu itu tidak diiringi dengan amalan. Antaranya, anak-anak akan terfokus untuk mengejar objektif yang ditetapkan oleh ibu bapa dan tertekan apabila ia tidak menjadi kenyataan.

Rasa takut dan rendah diri akan wujud jika pencapaian dalam kelas atau keputusan peperiksaan yang diidamkan oleh ibu apa tidak dapat dicapai. Akan wujud jugalah situasi di mana sesetengah anak-anak yang kurang berjaya secara akademiknya disisihkan dan dipandang rendah oleh ibu bapa, keluarga dan masyarakat.

Mereka kemudiannya mencari jalan singkat dalam memujuk diri yang dicap kurang bijak dengan terbabit dalam gejala-gejala negatif. Hakikatnya, gagal dalam peperiksaan bukanlah bererti mereka sudah tewas dan tidak akan mampu mengharungi cabaran kehidupan di masa mendatang.

Bagi sesetengah anak-anak yang berjaya pula, ilmu yang ditimba itu tidak diamalkan sebaiknya bahkan ia begitu rapuh hilang dari ingatan selepas berakhirnya peperiksaan atau pengajian, semudah hilangnya nota-nota atau buku-buku rujukan dari pandangan mata.

Mungkin juga gejala-gejala seperti merasuah dan pecah amanah berlaku disebabkan kedangkalan pemikiran orang yang berilmu dan "kelihatan pandai" tetapi tidak beramal dengan ilmu yang dipelajarinya.

Inilah antara senario yang biasa berlaku dalam masyarakat kita. "Roh" ilmu itu tidak benar-benar meresap di dalam diri sejak usia kecil, kerana ilmu pengetahuan dicari bersandarkan matlamat-matlamat yang bukanlah salah, tetapi orientasinya kurang tepat.

Ilmu itu sebenarnya perlu dicari, dipelajari dan dihayati secara istiqamah. Bak kata pujangga, gersang bumi tanpa hujan, gersang minda tanpa ilmu, gersang jiwa tanpa amal, gersang hati tanpa iman.

Sejak kecil lagi, anak-anak perlu dididik bahawa ilmu pengetahuan bukan hanya untuk dicari dan dipelajari, bahkan ia diamalkan. Dengan cara itu, dapat meningkatkan darjat hidup manusia di dunia dan akhirat.

Saidina Ali bin Abi Talib RA ada berkata: "Bahawasanya yang dikatakan orang alim itu adalah mereka yang beramal dengan ilmunya dan ilmunya itu pula sesuai dengan amalnya."

Ibu bapa sebagai ‘role-model’ yang paling rapat dengan anak-anak wajar memberikan misalan terbaik dalam mendasari kaedah mengamalkan ilmu yang diperoleh. Contoh paling mudah adalah dalam hal beramal ibadah misalnya mengajak anak-anak mengerjakan solat pada awal waktu, rajin melaksanakan puasa sunat serta bertadarus al-Quran bersama-sama.

Dalam hal moral dan tata susila, ibu bapa wajar menunjukkan contoh pekerti mulia seperti tidak merokok, menjaga percakapan daripada mengumpat atau menutur kata-kata kesat, menjaga adab-adab berjiran, dan sebagainya.

Hal-hal yang nampak mudah dan remeh ini sebenarnya adalah pencetus yang signifikan dalam memperihalkan pentingnya mengamalkan ilmu yang diperoleh kepada anak-anak.

Ia mampu menjadi pencetus terbaik bagi mereka menjiwai bidang-bidang ilmu yang akan diterokainya kelak bahkan memberikan pulangan lebih lumayan dalam membangunkan martabat diri mereka sendiri, ibu bapa, masyarakat, agama dan negara.

* PENULIS ialah Pensyarah Kanan di Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Universiti Sains Islam Malaysia.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/