Sabtu, 3 Mei 2014

ISU BAHASA : klia2: Hanya jiwa besar berani tegur kesilapan bahasa


Oleh : Teo Kok Seong

Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 bukan sahaja satu lagi mercu tanda negara. Ia juga identiti negara. Ia yang lebih dikenali dengan nama bahasa Inggeris dalam bentuk singkatan, tidak boleh sesekali ditulis mengikut cara ala bahasa media sosial sebagai klia2.

Sebagai kata nama khas, iaitu nama kepada orang tertentu, negeri dan negara, hari dan bulan dalam takwim serta tempat khusus, lapangan terbang negara yang kedua ini bukan sahaja perlu, tetapi wajib ditulis dengan menggunakan huruf besar pada mula setiap patah kata.

Inilah kelazimannya, lebih-lebih lagi dalam sistem Rumi yang telah dijadikan peraturan. Oleh itu, bentuk klia2 tidak dapat diterima sebagai betul.

Lapangan terbang negara kedua ini bersama-sama dengan yang pertama adalah ikon negara. Ia memberi citra awam kepada Malaysia. Selain itu, ia agensi kerajaan di bawah Kementerian Pengangkutan. Ia entiti rasmi negara.

Dengan taraf rasmi yang ada padanya, namanya tidak patut mengambil bentuk yang ditulis salah. Walau apa sekali alasannya, sama ada untuk mengikuti gaya dan kecenderungan semasa, bentuk klia2 tetap salah dari segi penggunaan bahasa yang baik dan betul.

Justeru, ia harus diperbetul dan digantikan dengan bentuk KLIA 2. Langkah begini bukan sahaja penting untuk menjaga citra linguistik negara, malah kita mengetahui peraturan bahasa amnya dan selok-belok penulisan khasnya.

Lebih penting ialah bentuk klia2 yang salah itu boleh disalahertikan sebagai betul oleh masyarakat. Ia digunakan secara rasmi, sama ada di lapangan terbang itu sendiri sebagai tanda tempat atau dalam media massa.

Impak kepada pelajar

Impaknya yang lebih besar ialah pelajar yang sudah pun mencemarkan bentuk bahasa tulisan mereka dengan pelbagai singkatan, akan meneruskan gejala kebahasaan ini. Bentuk bahasa begini mungkin digunakan dan diamalkan pula dalam ranah rasmi.

Masih tidak terlambat untuk pihak berkenaan menukarkan bentuk klia2 yang salah kepada yang betul, iaitu KLIA 2. Kita harus berjiwa besar dan berani untuk mengakui kesalahan yang berlaku, untuk memperbetulkannya.

Jangan diteruskan penggunaan bentuk yang salah ini atas apa-apa jua alasan. Natijahnya ialah sebagai nama tempat khusus, ia kata nama khas. Untuk ini, cara tulisan kata nama khas dalam sistem Rumi mana-mana bahasa pun, termasuk bahasa Inggeris, sudah ditetapkan.

Oleh itu, peraturan ini harus dipatuhi untuk memperlihat kita di Malaysia juga memahaminya. Dengan ini, setiap patah kata pada nama lapangan terbang itu, perlu ditulis dengan huruf besar dan angka perlu dijarakkan daripada kumpulan huruf sebelumnya. Justeru, bentuknya ialah KLIA 2.

Bahasa biar betul

Sebenarnya, penggunaan bahasa yang baik dan betul dari sebarang dimensi, bukan sahaja memberi wibawa kepada pihak yang menggunakannya. Ia turut memberi wibawa kepada wacana yang ingin disampaikan. Dengan ini, bentuk KLIA 2 adalah bentuk yang dimaksudkan.

Sebaliknya, bentuk klia2 bukan sahaja bersifat bersahaja untuk ranah rasmi dan formal, ia tidak sewajarnya digunakan untuk entiti yang memerlukan sifat dan status kebesaran negara yang perlu dipenuhi penghormatan untuk melambangkan perwatakan kebangsaan.

Bentuk klia2 ini mungkin ditiru daripada tulisan yang digunakan sesetengah syarikat perniagaan yang gemar menggunakan bentuk yang penuh dengan segala macam kekreatifan. Antaranya, tulisan yang menggunakan semua huruf kecil walaupun untuk kata nama khas dan dicantumkan pula.

Ia sengaja dilakukan untuk mendatang kesan tertentu dalam perniagaan walaupun menyalahi peraturan. Walaupun tidak betul, ia yang selalu dianggap sebagai gimik, tidak pula dianggap bentuk jelik yang dikecam.

Ini berlainan dengan perbadanan kerajaan yang harus senantiasa bersifat birokratik. Ini bermakna ia hendaklah sesuai dengan sifatnya sebagai agensi kerajaan yang perlu mempertahan unsur kerasmian pada setiap masa melalui pelbagai cara.

Dalam kes ini, caranya ialah melalui bentuk namanya yang dipersembah kepada khalayak.

Ia perlu berupa jata, yakni wujud sebagai lambang kebesaran jabatan kerajaan dan bukan logo, iaitu tanda pengenalan sesuatu entiti. Oleh itu, ia hendaklah berbentuk KLIA 2.


Penulis ialah Profesor Linguistik Universiti Kebangsaan Malaysia

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan