PELBAGAI isu kesedaran sivik
seperti kerenah negatif perokok, kebersihan dan vandalisme kemudahan awam masih
tidak banyak berubah berbanding dahulu.
Masih ada masyarakat yang tidak
bertimbang rasa apabila merokok, bersifat pengotor dan melakukan kerosakan
terhadap kemudahan awam.
Jika itu keadaannya, bagaimana
negara hendak mencapai status negara maju sedangkan mentaliti masyarakat masih
sedemikian rupa.
Tabiat buruk perokok yang tidak
bertimbang rasa hanyalah sebahagian daripada isu kesedaran sivik yang
menimbulkan masalah kepada masyarakat dan pengguna kemudahan awam.
"Tabiat merokok memang amat
sukar diatasi, tetapi sebaiknya berpada-padalah, jangan pula hingga menyusahkan
orang lain," akui Yang Dipertua Persatuan Keselamatan Pengguna Kuala Lumpur
(PKP), Samsudin Mohamad Fauzi.
Panduan yang paling penting ialah
dengan memastikan anda tenyehkan puntung rokok sehingga benar-benar terpadam
bagi memastikan sisa bara rokok tidak
menyebabkan kebakaran.
Jika perlu, merokoklah di tempat
yang tersorok dan mempunyai pengudaraan terbuka, katanya, mengambil contoh
kebiasaan perokok di Jepun yang merokok hanya di tempat khas malah membawa
dompet rokok khas untuk membuang habuk rokok.
"Mereka amat mementingkan kebersihan
dan tidak akan membuang habuk dan puntung rokok merata-rata tempat, membuktikan
kesedaran sivik perlu dijadikan sebahagian daripada budaya kita," tambah
beliau.
Hati nurani
Masih ramai perokok di negara ini
yang tidak mempunyai hati nurani sewajarnya malah sengaja merokok di kawasan
awam seperti kawasan hospital, sekolah dan tangga pejabat tertutup tanpa
mempedulikan kesihatan mahupun perasaan orang lain.
Ada pula yang merokok di dalam
ruang berpenghawa dingin berpusat seperti di lobi pejabat atau bilik hotel,
sekali gus menyebabkan pencemaran udara dalaman yang mampu menjejaskan kesihatan
semua pengguna dalam bangunan itu.
Malah, ada juga perokok yang
tanpa rasa segan sengaja menghembus ke arah laluan orang ramai, misalnya,
mereka yang terdesak untuk merokok selepas makan tetapi malas untuk beralih
tempat ke lokasi yang lebih sesuai.
Tidak cukup dengan itu, mereka
yang membuang habuk dan puntung rokok di merata-rata tempat seperti pinggan
makan, lantai dan tangga laluan awam, sekaligus mengotorkan kawasan awam dan
menyakitkan mata pengunjung lain.
Larangan bersebab
Samsudin mengingatkan bahawa,
larangan merokok di kawasan seperti sekolah, taman permainan kanak-kanak dan
hospital adalah larangan bersebab, memandangkan kesan asap rokok pasif dalam
kalangan kanak-kanak serta pesakit adalah terbukti amat buruk.
"Saintis membuktikan bahawa
menghirup udara yang mempunyai kesan rokok akan memburukkan lagi keadaan
pesakit yang mana sistem imun mereka telah sedia terjejas, serta kanak-kanak
dan bayi yang masih belum mempunyai paru-paru yang kuat.
"Lagipun, ada banyak
peralatan perubatan yang mudah terbakar, jadi, janganlah pula kita menyebabkan
kebakaran di hospital dan bertanggungjawab terhadap beratus-ratus nyawa,"
tegur beliau yang tidak mahu tabiat buruk kesan kekurangan kesedaran sivik
menyebabkan penganiayaan terhadap orang lain selain kekesalan seumur hidup
pelaku.
Mentaliti pengotor
Kebersihan adalah antara faktor
sosial utama yang dilihat dalam usaha menaiktaraf negara menjadi negara maju,
tetapi sayangnya masih ramai yang bermentaliti pengotor.
Bagi menjelaskan perkara ini,
Samsudin memberi contoh tabiat pengguna kedai makan dan tandas awam.
Malah beliau mempersoalkan adakah
kita sengaja membiarkan sisa makanan dan tisu kotor bersepah-sepah jika makan
di rumah?
Baginya, adab penggunaan tandas
awam boleh dikatakan semakin baik selari dengan keberkesanan pelbagai kempen
dan usaha penambahbaikan berterusan oleh pihak berkuasa setempat.
"Namun masih ada yang
memandang enteng dan tidak menggunakan tandas dengan cermat sehingga
membahayakan pengguna lain.
Ini termasuk sengaja membiarkan
lantai dibanjiri air kerana tidak mahu menutup kepala paip dengan baik atau
sengaja membiarkan hos air tidak disangkut di tempat sepatutnya," tambah
beliau.
Lebih buruk lagi, ada pula yang
bersikap pengotor dan tidak menjirus tandas dengan sebersihnya sehingga
menyebabkan pengguna seterusnya ‘tidak lalu’ untuk mengguna tandas itu lagi.
Ada juga pengguna yang mempunyai tabiat membuang sampah seperti puntung rokok, plastik pembalut tuala wanita dan
tisu ke dalam lubang tandas sehingga menyebabkannya tersumbat.
Sekali lagi Samsudin
mempersoalkan sama ada mereka akan membersihkan tandas yang tersumbat angkara
perbuatan tangan mereka sendiri?
"Sudah tentu tidak bukan.
"Sekiranya kita bersikap
pembersih dan cermat ketika makan atau menggunakan tandas di rumah, apa
salahnya kita bawa adab itu ketika berada di luar atau menggunakan kemudahan
awam," tegur beliau lagi.
Lagipun, katanya, tingkah laku
kita sebagai orang dewasa diperhati dan
icontohi oleh anak kita dan golongan yang lebih muda.
Vandalisme
Tahap kesedaran sivik rakyat
Malaysia boleh dikatakan semakin baik jika dinilaikan dari sudut penjagaan
taman awam seperti taman permainan dan taman rekreasi.
Malangnya, habit buruk seperti
sengaja membuang sampah merata-rata terutama di tempat awan seperti pantai dan
hutan rekreasi tetap menjadi isu yang memalukan nama negara di mata pengunjung.
Begitu juga tabiat vandalisasi
kemudahan awam hingga menyebabkan peralatan seperti bangku, tandas, wakaf dan
papan tanda rosak, masih lagi berlaku sedangkan tanpa sedar barangkali, mereka
telah membazirkan wang rakyat untuk membaikinya.
Lantas, Samsudin menyeru semua
pihak agar berusaha mengubah tabiat buruk ketika mengguna kemudahan awam selain
membudayakan kebersihan sekali gus bagi mencapai status negara maju. - Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan