Oleh : Johan Jaaffar
Bagi kami yang belajar di Peserian Primary English School, Semerah, Batu
Pahat, Johor pada tahun-tahun 60-an, tidak mudah untuk menguasai Bahasa Melayu
(BM). BM diajar sebagai sampingan dan tidak diwajibkan.
Sejak Darjah Satu kami hanya didendangkan dengan kisah menawan dari Aesop
Fables, cerita kanak-kanak Inggeris yang memukau dan nursery rhymes yang
memikat. Kami dimaklumkan tentang kisah kehebatan seorang pengarang drama
Inggeris bernama William Shakespeare. Pada waktu sama, banyak novelis dan penyair
Inggeris yang kami kenal. Sehinggalah muncul Cikgu Mokhtar bin Talib atau lebih
dikenali dengan nama samaran ‘Matlob’ dalam hidup kami. Apabila kami berpindah
ke Sekolah Menengah Semerah (SMS) dalam aliran Inggeris (sekolah itu mempunyai
dua aliran ketika itu) pada tahun 1966 beliau mengajar di Sekolah Convent Batu
Pahat. Beliau mula mengajar BM di SMS pada tahun 1967.
Beliau membuka cakerawala baru bahasa dan sastera Melayu. Kami
diperkenalkan dengan cerita rakyat dari Pak Pandir hingga Si Luncai, cerita
teladan seperti Batu Belah Batu Bertangkup dan Si Tenggang, fantasi Malim Dewa
dan Malim Deman, juga khazanah puisi Melayu seperti pantun, syair, gurindam dan
seloka.
Beliau sendiri seorang penulis terkenal pada masa itu - menulis cerita
kanak-kanak, cerpen, sajak, drama dan rencana. Beliau juga aktif dengan
Persatuan Penulis Johor (PPJ) dan Persatuan Peminat Bahasa dan Sastera Muar
(PPBSM). Beliau juga mengendalikan pelbagai ruangan di akhbar sejak awal tahun
60-an lagi, antaranya ‘Mari Berfikir’ di Utusan Kanak-Kanak, Singapura,
‘Ruangan Pelajar’ di Mingguan Malaysia, ‘Taman Sains’ di Utusan Pelajar, ‘Sudut
Pencari Ilmu’ di Berita Harian, Singapura dan lain-lain.
Beliau juga dianggap ‘pandai Jawi’ (istilah untuk munsyi atau pakar tulisan
Jawi) yang bukan saja menjadi sumber rujukan pelbagai pihak termasuk menjadi
pakar rujuk ejaan Jawi baru Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) kemudiannya. Pada
ketika itu, beliau juga penasihat pada percetakan Pustaka Nasional, Singapura.
Pendeknya Matlob yang mengajar kami di SMS itu bukan sebarangan guru.
Matlob juga telah mengasaskan Persatuan Penulis Sekolah Menengah Semerah
pada tahun 1967 bersama-sama Cikgu Ismail Adnan. Saya percaya itu merupakan
persatuan penulis pertama diwujudkan di mana-mana sekolah di Malaysia. Saya
salah seorang ahli persatuan itu. Beberapa orang ahlinya telah mencipta nama
dalam bidang penulisan walaupun tidak bertahan lama, di antaranya M Hanafiah A
Samad, Saerah Atan, Noraini Md Lassim dan Rahimah Md Yassin. Matlob pernah
membawa kami menyaksikan ‘Malam Memperingati Jymy Asmara’ salah seorang tokoh
Angkatan Sasterawan 50 (Asas 50) di DBP pada bulan Mac 1970.
Apa yang unik mengenai Matlob ialah beliau tidak pernah menggunakan buku
teks yang ditetapkan oleh kementerian. Beliau menggunakan buku sendiri, yang
disikostil dan diedarkan secara percuma pada pelajar. Buku-buku itu unik kerana
kandungannya disesuaikan untuk keperluan kami. Saya masih ingat beliau
memperkenalkan pada kami istilah ‘lokarindam’ (gandingan ‘seloka’ dan
‘gurindam’ bagi membawa maksud ‘runs’ atau rangkap puisi dalam teks sastera
lama.
Saya harus mengakui bahawa Matlob banyak mempengaruhi pembentukan BM saya.
Beliau banyak menegur saya tentang kecenderungan saya ‘menterjemah’ konsep atau
idea dari BI. Menurut beliau, saya harus berfikir dalam BM dan ‘menjadi orang
Melayu’ apabila menulis dalam BM, begitulah sebaliknya.
Beliau menekankan peri pentingnya membuat karangan dan meringkaskan
karangan kerana bahasa yang baik bermula dari kepandaian tersebut. Saya
mendapat asas yang kukuh dalam BM melalui tunjuk ajar beliau. Saya terhutang
budi kerana beliau memperkenalkan pada saya makna penguasaan bahasa sebenar.
Dan tentang menulis sebagai satu seni dan kemahiran. Beliau sendiri banyak
membantu saya untuk menerbitkan karya saya di ruangan-ruangan yang beliau
kelolakan.
Malah dalam usia yang sangat muda, dua buah novel kanak-kanak saya, Api Di
Tanah Perkuburan dan Misteri Pulau Batu telah diterbitkan oleh Pustaka
Nasional, hasil suntingan Matlob. Sewaktu saya menjadi Ketua Pengarang Kumpulan
Utusan Melayu (1992 hingga 1998) saya telah melantik beliau menjadi Ketua Unit
Pendidikan Jawi syarikat berkenaan.
Dalam karier penulisan saya kemudiannya saya mungkin tidak bersetuju dengan
disiplin ilmu bahasa Matlob. Hal ini tidaklah menghairankan. Bahasa sifatnya
dinamis. Matlob mewakili era yang lain. Saya tidak rigid seperti beliau dalam
kaedah berbahasa. Tetapi saya bangga bahawa beliau memberikan asas BM yang
kukuh, seperti juga Master Ismail, guru bahasa Inggeris dan guru besar Peserian
Primary English School mencorakkan BI saya.
Cara dan kaedah pengajaran bahasa dan sastera sudah jauh berubah. Tetapi
‘Kaedah Matlob’ sesuatu yang unik dan istimewa. Munsyi bahasa seperti beliau
semakin berakhir, tetapi bagi kami yang pernah mengikuti sistem itu, kesannya
hebat dan berkekalan.
Sumber : http : //www.bharian.com.my/