Nampak kebelakangan ini, perbezaan politik bukan lagi membawa kepada
pertarungan minda dan tawaran khidmat pengurusan pentadbiran yang lebih baik,
tetapi pertarungan siasah di negara ini telah menyuburkan akhlak yang buruk dan
kehilangan adab sopan. Ada yang tunjuk kemaluan, ada yang memijak gambar pemimpin
tertentu, ada yang kencing ke atas gambar pemimpin yang lain, ada pula yang
baling kasut ke dalam masjid, menarikan tarian punggung dan pelbagai lagi. Para pemimpin
politik kita ini mungkin terlalu sibuk berkempen sehingga lupa untuk mengajar
adab sopan sebagai insan kepada para pengikut mereka.
Disiplin
Kehidupan ini bukan segala-galanya politik untuk kita menggadaikan segala
adab dan kesopanan hanya kerana politik. Insan itu walau apa pun kelemahan
peribadinya, tetapi dia sepatutnya memiliki ketertiban dan kesopanan pergaulan
yang diwarisi sama ada daripada agama ataupun budaya. Bahkan dalam Islam, dalam
medan perang yang saling bunuh membunuh itu pun, adab dan akhlak yang baik
dipertahankan. Disiplin mesti dipatuhi. Dalam hadis, apabila Rasulullah SAW
mengirimkan pasukan tentera maka Baginda bersabda: “Keluarlah kamu ( ke medan
jihad) dengan nama ALLAH SWT, perangilah di jalan ALLAH SWT sesiapa yang kufur
dengan ALLAH SWT. Jangan kamu melanggar perjanjian, jangan kamu mengkhianati
harta rampasan perang, jangan kamu rosakkan mayat, jangan kamu bunuh
kanak-kanak dan ahli-ahli rumah ibadat”. (Riwayat Ahmad, kata Ahmad Muhammad
Syakir: “Sanad hadis ini hasan”).
Nilai pejuang rakyat itu apabila dia dapat mendisiplinkan dirinya dan
menghiasi diri dengan budi dan sopan yang menyebabkan rakyat menjadikan ikutan.
Justeru, kawalan diri sekalipun di hadapan musuh yang hendak membunuh antara
nilai peradaban yang diajar oleh Islam.
Lihatlah apa yang ALLAH SWT tegaskan kepada orang Islam yang berperang
dengan musuh-musuh yang menyerang dan ingin membunuh mereka: (maksudnya): “Dan
perangilah di jalan ALLAH SWT orang-orang yang memerangi kamu, dan janganlah
kamu melampaui batas, sesungguhnya ALLAH SWT tidak menyukai mereka yang
melampaui batas”. (Surah al-Baqarah: 190).
Apakah politik ini lebih buruk dari medan perang darah sehingga kita hendak
berlebih-lebih dalam perangai dan budi. Kita jangan lupa apa yang Nabi
bersabda: “Manusia yang paling ALLAH SWT benci ialah yang berkeras kepala dalam
perbalahan” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Orang politik lupa, pengikut yang ‘kurang ajar’ dan tidak beradab itu hari
ini mereka biadab dengan musuh politik mereka, besok kebiadaban itu akan
dihalakan pula kepada orang yang disokong pada hari ini.
Piawaian
Paling masalah apabila setiap pihak cuba bertindak membalas keburukan
dengan keburukan. Jika kita berikan nasihat ‘mengapa awak londeh seluar dan
tunjuk kemaluan kepada gambar pemimpin tertentu’, maka akan ada yang menjawab
‘mereka lagi teruk, ada macam-macam lagi yang mereka pun buat’. Demikianlah
puak-puak politik itu saling menghalalkan tindakan masing-masing atas nama
keburukan lawan mereka. Apa yang pelik dalam masa yang sama masing-masing
mendakwa mereka lebih baik daripada lawan mereka. Malangnya, apabila tiba masalah
budi perangai, masing-masing memakai piawai yang setaraf dengan pihak lawan
ataupun lebih teruk. Itu belum lagi datang ‘geng agama’ parti masing-masing
yang akan mengeluarkan dalil untuk menghalalkan perangai buruk anggota dan
penyokong masing-masing. Dalil agama dibaca bukan mengikuti kehendak Tuhan,
tetapi kehendak parti!
Ustaz muda
Apatah lagi jika ada pula ulama atau ustaz muda mana-mana parti yang baru
kenal politik sehari dua, dan mungkin ghairah hendak menjadi calon maka segala
dalil dibawa, segala sirah salafussoleh dibaca seakan-akan yang dipertahankan
itu Abu Bakar al-Siddiq dan ‘Umar bin al-Khattab. Dalil-dalil agama
dipermainkan untuk kepentingan politik masing-masing. Apa yang terkena pada
orang lain dibaca secara terang, yang terkena diri sendiri ditakwilkan dengan
sejuta pentafsiran. Jika parti lawan berkumpul untuk bantahan maka mereka
namakan tunjuk perasaan dan dihukum haram. Kononnya, bukan amalan salafussoleh.
Jika geng parti sendiri berkumpul dinamakan menyuarakan pendirian, hukumnya
halal. Dimasukkan dalam amar makruf dan nahi mungkar. Maka perhimpunan di Kuala
Lumpur oleh parti lawan sibuk diharamkan dengan segala fatwa, tetapi di Jeli
dan Gua Musang oleh parti sendiri didiamkan. Jika pemimpin kerajaan parti lain
yang buat silap, ditegur dalam media dan ditulis surat terbuka. Namun jika
pemimpin kerajaan parti sendiri buat salah, difatwakan haram bercakap kesalahan
pemimpin di khalayak ramai, kena berbisik di telinga mereka.
Dalil-dalil agama dan nama salafussoleh dikhianati atas kedangkalan pengetahuan, ataupun kepentingan politik ‘orang muda agama’. Maka tidak pelik jika ALLAH SWT menyifatkan golongan ulama yang menjual agamanya seperti anjing. Firman ALLAH SWT: “Dan bacakanlah kepada mereka (Wahai Muhammad), khabar berita seorang yang Kami beri kepadanya (pengetahuan mengenai) ayat-ayat Kami. Kemudian dia menjadikan dirinya terkeluar dari mematuhinya, lalu dia diikuti oleh syaitan, maka dia daripada kalangan yang sesat. Dan kalau Kami kehendaki nescaya Kami angkat kedudukannya dengan (berpegang) ayat-ayat itu, tetapi dia bermati-matian cenderung kepada dunia dan menurut hawa nafsunya; maka bandingannya adalah seperti anjing, jika engkau menghalaunya, ia menghulurkan lidahnya, dan jika Engkau membiarkannya, ia juga menghulurkan lidahnya. Demikianlah bandingan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat kami. Maka ceritakanlah kisah-kisah itu supaya mereka berfikir (Surah al-’Araf: 175-176).
Dalil-dalil agama dan nama salafussoleh dikhianati atas kedangkalan pengetahuan, ataupun kepentingan politik ‘orang muda agama’. Maka tidak pelik jika ALLAH SWT menyifatkan golongan ulama yang menjual agamanya seperti anjing. Firman ALLAH SWT: “Dan bacakanlah kepada mereka (Wahai Muhammad), khabar berita seorang yang Kami beri kepadanya (pengetahuan mengenai) ayat-ayat Kami. Kemudian dia menjadikan dirinya terkeluar dari mematuhinya, lalu dia diikuti oleh syaitan, maka dia daripada kalangan yang sesat. Dan kalau Kami kehendaki nescaya Kami angkat kedudukannya dengan (berpegang) ayat-ayat itu, tetapi dia bermati-matian cenderung kepada dunia dan menurut hawa nafsunya; maka bandingannya adalah seperti anjing, jika engkau menghalaunya, ia menghulurkan lidahnya, dan jika Engkau membiarkannya, ia juga menghulurkan lidahnya. Demikianlah bandingan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat kami. Maka ceritakanlah kisah-kisah itu supaya mereka berfikir (Surah al-’Araf: 175-176).
Fatwa artis
Di celahan itu yang menarik hari ini, artis-artis yang baru masuk politik
sehari dua pun seakan-akan sudah menjadi ‘sarjana Islam’. Mula mengeluarkan hukum ke
atas orang lain. Sambutannya hebat. Modalnya bukan ilmu, tapi ‘wajah dan
penampilan’ yang memikat penganjur. Jika ‘ustaz’ dibayar seratus dua, tetapi
artis yang bercakap Islam dibayar beberapa ribu ringgit satu ceramah. Namun
jika artis lelaki, ataupun artis wanita yang ‘kurang comel’, tidaklah seberapa
sambutan dan bayarannya. Kita hendaklah tahu seperti yang disebut oleh para
sarjana Islam, bab politik Islam bukan mudah untuk dihuraikan. Politik
memerlukan kefahaman tentang maslahat dan maqasid syarak. Suatu ilmu yang
memerlukan banyak latar pengetahuan yang baik. Namun, jika artis masuk parti
politik, segala kesarjanaan itu seakan diberikan kepadanya. Ini memang
tanda-tanda akhir zaman.
“Sesungguhnya sebelum kedatangan dajal-dalam riwayat yang lain: sebelum
kiamat- adanya tahun-tahun yang penuh tipu daya. Ketika itu didustakan orang
yang benar, dianggap benar orang yang dusta,
dianggap khianat orang yang amanah, dianggap amanah orang yang khianat,
dan bercakap ketika itu al-Ruwaibidoh. Para sahabat bertanya: “Siapakah
al-Ruwaibidoh?” Sabda Nabi: Orang lekeh yang berbicara mengenai urusan awam
(orang ramai).” Hadis ini diriwayatkan oleh al-Imam Ahmad, Abu Ya’la,
al-Bazzar, Ibnu Majah, al-Kharaiti, dan al-Hakim. Al-Hakim menyatakan isnadnya sahih dan ini disetujui
oleh Al-Zahabi.
Bukan salah artis berceramah dan berkongsi pengalaman. Mereka yang berubah
memang dialu-alukan. Namun setiap orang kena tahu kadar pengetahuannya mengenai
apa yang dia perkatakan. Jangan cepat simpulkan hukum sedangkan anda bukan
ahlinya.
Apa pun, politik kita memang ajaib. ‘Macam-macam ada’ dan semua boleh. Dulu
ada orang cakap, asal barang jadi duit, kita ambil. Hari ini, asal barang jadi
politik, kita angkut!
Sumber : http://drmaza.com/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan