Oleh : Khairuddin Mohd Zain
PERBUALAN penulis dengan seorang
rakan lama berbangsa Tiong Hua baru-baru ini banyak berbincang mengenai masa
depan pendidikan anak perempuannya yang masih kecil. Dia ada beberapa pilihan.
Membiarkan anaknya yang berumur 7 tahun bersekolah di sebuah pekan kecil di
Muar, dan terus tinggal bersama datuk dan neneknya. Ataupun membawa anaknya
datang ke Kuala Lumpur.
Di Kuala Lumpur, dia juga
mempunyai pilihan. Menghantar anaknya ke sebuah sekolah kebangsaan di pinggir
bandar - ataupun menghantarnya ke sebuah sekolah jenis kebangsaan berhampiran
tempat kerja.
Setakat kelmarin, dia masih belum
membuat keputusan. Namun dia bertanyakan penulis mengenai kualiti pendidikan di
sekolah kebangsaan. Secara kebetulan, anak penulis berada di salah sebuah
sekolah kebangsaan yang juga punya sedikit reputasi dan nama sebagai sebuah
sekolah yang baik dan cemerlang.
Syukur, dengan komitmen
pentadbiran yang baik, para pendidik yang bersemangat tinggi, kelompok ibu bapa
yang sanggup membantu; secara keseluruhannya prestasi sekolah tersebut berada
pada tahap yang boleh dianggap baik.
Namun, rakan tersebut menzahirkan
kerisauan bahawa wujudnya trend yang sangat nyata di dalam media cetak
(berbahasa Cina) yang membicarakan isu dan agenda pendidikan melalui kaca mata
politik. Trend ini tidak begitu disenangi oleh rakan penulis. Dia khuatir,
dengan agenda pendidikan yang terlalu direncahkan dengan matlamat dan keinginan politik,
banyak isu yang fundamental dan asas akan menjadi cacamarba.
Kewujudan kumpulan-kumpulan
pendesak yang mentafsirkan masa hadapan pendidikan melalui perspektif yang ada
kalanya kedengaran sangat politikal ini boleh menjemput masalah jangka panjang.
Trend ini menjadi semakin hebat
menjelang musim dan tempoh pilihan raya. Kumpulan-kumpulan tertentu mengambil
peluang menyatakan pandangan dengan semangat yang tidak lagi neutral,
sebaliknya dipenuhi dengan niat politik.
Kecenderungan untuk menyampaikan
hasrat, kemahuan dan kehendak dengan cara yang terlalu mendesak, tanpa
memikirkan gambaran besar kepada sesuatu isu mungkin sahaja menyebabkan situasi
yang emosional.
Sememangnya, masyarakat Malaysia
perlu mengambil peluang untuk menilai, mengkaji dan menyatakan pandangan
mengenai isu pendidikan melalui perspektif yang sangat neutral dan tidak
memihak. Benar, kita mungkin mewakili wajah dan aspirasi persatuan dan kumpulan
masing-masing, namun ia perlu dimurnikan dengan visi dan cita-cita besar kita
sebagai bangsa Malaysia. Mungkin mudah untuk kita menggunakan asas emosi dan
sentimen - namun apakah kita sebenarnya sudah menjadi seorang dan kalangan
warga yang rasional dan berpandangan jauh?
Apa yang sering bermain di minda
dan pemikiran ibu bapa adalah keperluan anak mereka mendapat ruang dan peluang
menikmati pendidikan berkualiti di mana sahaja di Malaysia. Seharusnya, tiada
jurang yang terlalu menjarak antara sebuah sekolah di pedalaman Sarawak, dengan
sebuah sekolah lain yang berada di pinggir kawasan Gombak, misalannya.
Peluang dan kemudahan seharusnya
tidak terlalu jauh berbeza. Ini satu perkara yang paling asas. Usaha
bersungguh-sungguh mestilah dilaksanakan untuk merealisasikan matlamat
pendemokrasian pendidikan berkualiti menjelang tahun 2020 nanti.
Sewajarnyalah, dalam hal
berkaitan penambahbaikan sistem pendidikan, ia memerlukan satu mekanisme
penilaian yang neutral dan berpandangan jauh. Isu pendidikan ini melibatkan
pembangunan generasi. Justeru, kita tidak punya banyak pilihan kecuali
memikirkannya dengan sebaik-baik dan selengkap mungkin.
Masyarakat Malaysia, secara
umumnya, perlu menzahirkan rasa bertuah kerana isu pendidikan ini tidak lagi
menjadi dasar yang tertutup dan menjadi hak mutlak sebilangan kecil mereka yang terlibat dalam bidang pendidikan
semata-mata.
Langkah yang dilakukan
Kementerian Pelajaran (KPM) membuka ruang kepada sesiapa sahaja untuk
memberikan pandangan melalui siri Dialog Nasional Pendidikan Negara (DNPN 2012)
adalah satu contoh yang sangat relevan. Isu pendidikan tidak lagi terkongkong
di kalangan penjawat awam semata-mata, malahan melibatkan kelompok yang lebih
besar.
Dialog ini diadakan secara
terbuka dan tanpa sekatan. Ibu bapa, guru mahupun siapa sahaja boleh
mengemukakan pandangan, yang akhirnya akan dinilai secara objektif dan
komprehensif. Kali ini, agenda pendidikan benar-benar mengalami proses
pendemokrasian maklum balas hampir di seluruh negara. Sudah barang tentu, ia
membuka ruang secukupnya, untuk semua pemegang taruh (cagaran) mengemukakan apa
sahaja pandangan yang dirasakan perlu untuk menambah baik sistem pendidikan
negara.
Masyarakat perlu realistik,
bahawa tidak mungkin semua pandangan akan diterima dan diangkat sebagai asas
penambahbaikan pendidikan negara. Ia perlu disesuaikan dengan gambaran besar
visi nasional menjelang tarikh penting 2020 nanti. Pejam celik, perjalanannya
hanya tinggal lapan tahun yang akan datang. Apa yang diperlukan pada ketika ini
adalah perubahan yang lebih holistik dan menyeluruh.
Menurut sumber umum KPM, melalui
apa yang dipanggil sebagai Pelan Strategik Interim KPM 2010-2020, banyak
perkara yang akan diberikan fokus dan perhatian. Ini termasuklah perkara
seperti pengukuhan struktur persekolahan, transformasi kurikulum dan
kokurikulum, peneguhan inovasi dan kreativiti, pendidikan vokasional,
pendidikan pra-sekolah dan banyak lagi. Demikianlah luasnya perimeter
pertanggungjawaban agenda pendidikan di negara bertuah kita ini.
Segala komitmen dan kesungguhan
KPM dan kerajaan untuk membuka ruang maklum balas mengenai isu pendidikan ini
wajar dihargai. Mungkin seiring dengan kenyataan Perdana Menteri bahawa zaman
kerajaan tahu semua sudah berlalu, segalanya kini diletakkan dalam arena
diskusi yang lebih terbuka.
Kesediaan kerajaan membuka ruang
sedemikian luas, diharapkan dapat menzahirkan cadangan-cadangan tuntas untuk
masa hadapan pendidikan yang lebih baik.
Kesemua pemegang taruh yang
terkait dengan isu pendidikan perlu membuka minda, meneutralkan hala pandangan
agar tidak menilai dapatan Dialog Nasional Pendidikan Negara dan cadangan
pembaharuan pendidikan dengan seobjektif mungkin. Ini bukan masanya untuk kita
bersikap sinikal dengan segala cadangan yang bakal dikemukakan. Mungkin soalan
yang lebih layak ditanya - bagaimana kita sebagai masyarakat boleh membantu
usaha penambahbaikan yang bakal dicadangkan nanti?
Tidak ada satu sistem pendidikan
yang sempurna secara keseluruhannya. Di kalangan negara maju juga, sentiasa
mencari rentak untuk memperbaiki sistem sedia ada. Sesuai dengan status dan
kedudukan pendidikan
sebagai sesuatu yang dinamik dan sentiasa berubah, kesediaan kerajaan untuk
melihat semula jajaran pendidikan sedia ada perlu disokong dengan
sebaik-baiknya.
Kita juga mengharapkan, buat kali
ini, tidak ada perspektif politik yang boleh memberatkan pandangan kepada apa
sahaja cadangan yang bakal dikemukakan. Elemen neutraliti, keterbukaan minda,
kesediaan menerima perubahan akan menjadikan agenda pendidikan lebih mudah
dihadam dan dihayati oleh keseluruhan rakyat. Masa depan negara akan banyak
bergantung kepada kesediaan kita menerima keperluan perubahan yang dirasakan
wajar.
Suara kita, suara rakyat, sudah
diberikan ruang secukupnya oleh kerajaan dalam merencana agenda pendidikan.
Memang mudah untuk kita menggunakan sentimen, mempamerkan lesen besar untuk
membangkang dan membantah - namun ia menjadi sesuatu yang sangat tidak
bertanggungjawab sekiranya tidak dituruti dengan idea dan pandangan bernas.
Pandangan yang neutral, tidak
terbias dengan kepentingan politik dan undi pilihan raya, akan memberikan ruang
yang lebih baik untuk agenda pendidikan dibicarakan secara holistik dan sepadu.
Barang diingat, kita bakal merencana jalan hadapan untuk anak-anak dan generasi
baru Malaysia. Molek agaknya, kita tinggalkan sentimen politik, perjuangan ras
yang terlalu ekstrim dalam perencanaan agenda pendidikan sepenting ini.
PENULIS ialah penganalisis
sosial.
Sumber : http : //www.utusan.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan