Rabu, 19 Ogos 2009

ISU INSTITUSI PENGAJIAN TINGGI SWASTA (IPTS)

Perhalusi dasar IPTS pastikan kecemerlangan akademik tidak terjejas

PERKEMBANGAN pesat bidang pelajaran mendorong pertumbuhan pesat institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan swasta (IPTS) yang mencapai jumlah 550 institusi. Ada antaranya yang mempunyai lebih 10,000 pelajar manakala ada juga yang setakat beberapa ratus orang. Pengusahanya yang berbeza latar belakang, daripada agensi kerajaan pusat atau negeri, hinggalah kepada usahawan.

Ketidaktentuan ekonomi global sejak tahun lalu menyebabkan ada antara IPTS kini dihimpit masalah kewangan hingga memaksa Kementerian Pengajian Tinggi membuat audit terhadap 66 kolej swasta yang kini menghadapi risiko ‘gulung tikar’. Walaupun tindakan itu dilihat langkah terbaik bagi menjaga kepentingan lebih 450,000 pelajar IPTS, mutu pembelajaran dan sektor pengajian tinggi umumnya, ia masih mengundang persoalan bagaimana pengusaha terbabit boleh diberikan lesen operasi sebelum ini. Penubuhan IPTS sepatutnya hanya diberi kepada mereka yang mempunyai kedudukan kewangan mantap.

Walaupun IPTS umumnya organisasi perniagaan, ia perlu dipantau rapi kerana kegagalannya membawa implikasi besar kepada agenda pembangunan negara, khususnya modal insan. Kerajaan perlu memastikan hanya yang layak dibenar menubuhkan IPTS dan syarat pengeluaran lesennya mesti diperkemaskan. Usaha juga perlu dibuat untuk memastikan tiada pihak mengambil kesempatan menyalah guna lesen IPTS sebagai jalan pintas untuk mengaut keuntungan. Mengambil kira jumlah penuntut yang ramai, tindakan tegas amat perlu bagi mengelak ada antara mereka terkandas dalam pengajian hanya kerana IPTS dilanda masalah kewangan.

Walaupun kerajaan mencadangkan IPTS yang kini bermasalah bergabung menubuhkan konsortium bagi mengukuhkan kewangan, ia bukan proses mudah kerana kursus yang ditawarkan setiap satunya mungkin berbeza. Selain itu, kebanyakan pelajar di IPTS membiayai pengajian mereka dengan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN). Kegagalan menamatkan pengajian mendedahkan kerajaan kepada risiko peningkatan hutang tertunggak PTPTN, seterusnya menjejaskan peluang generasi akan datang mendapat kemudahan sama.

Mungkin sudah tiba masanya dasar mengenai IPTS diperhalusi semula kerana bilangan yang banyak saja tidak menjamin Malaysia mampu mencapai matlamat menjadi pusat kecemerlangan pendidikan tinggi serantau. Tumpuan harus dialih daripada berorientasikan kuantiti kepada kualiti kerana hakikatnya sehingga ini, belum ada IPTS yang mampu benar-benar mencatat kejayaan cemerlang dalam mengharumkan nama negara. Audit terhadap IPTS bermasalah yang kini dilaksanakan boleh menjadi permulaan sesuai bagi menilai dan menyusun semula pembabitan swasta dalam sektor perkhidmatan pengajian tinggi negara.

Sumber :http: //www.bharian.com.my/

Jangan lupakan penjagaan kesihatan sepanjang Ramadan

Oleh Dr Irfan Mohamad

RAMADAN bakal menjengah dalam masa terdekat. Namun berbeza dengan tahun-tahun sebelumnya, Ramadan kali ini disertai dengan ujian getir untuk kita.

Ketika ini kita berdepan dengan ancaman virus berbahaya H1N1. Pandemik ini telah mencetuskan pelbagai reaksi sama ada di peringkat penyedia perkhidmatan kesihatan mahupun masyarakat global.

Kementerian Kesihatan telah pun mengingatkan masyarakat agar mengelak daripada berada di kawasan yang padat dan sesak. Masyarakat juga dididik mengenai kepentingan menjaga kebersihan tangan khasnya dan diri secara amnya.

Dalam keadaan ini, kita harus mengelak daripada sering mengunjungi bazar-bazar Ramadan. Ia memang terkenal sebagai tempat tumpuan ramai bagi mendapatkan juadah untuk berbuka puasa.

Pilihlah lokasi yang kurang padat dan jika boleh belilah pada masa kawasan itu kurang dikunjungi orang ramai.

Sebaik-baiknya kita membeli lebih awal atau meminimumkan masa di tempat tersebut. Rancang dahulu juadah apa yang mahu dibeli untuk mengelak daripada membuang terlalu banyak masa di kawasan yang sesak. Elakkan daripada terlalu meninjau dari satu gerai ke satu gerai sebelum membuat pilihan.

Jika kita berbuka puasa di luar atau menghadiri majlis berbuka puasa, jangan lupa membasuh tangan sebersih-bersihnya. Jangan membiasakan diri untuk terus mememegang makanan dan minuman tanpa membasuh tangan.

Bagi penyedia hidangan pula, bekas membasuh tangan yang disediakan harus menepati spesifikasi tujuan tangan itu dibasuh.

Umpamanya, bekas membasuh tangan yang menggunakan kaedah mencelup seperti mana diamalkan di kampung-kampung merupakan cara yang kurang tepat dalam kaedah membersihkan tangan.

Bahkan, kaedah mencelup tangan dari seorang ke seorang yang lain merupakan kaedah paling mudah untuk berkongsi dan memindahkan organisma berbahaya dari seorang ke seorang yang lain.

Justeru, carilah paip yang airnya mengalir dan jika boleh dapatkan sabun sebagai kaedah membasuh tangan.

Sementara itu, membeli kelengkapan hari raya merupakan aktiviti lazim yang berlaku di sepanjang Ramadan terutamanya menjelang 10 malam terakhir sewaktu lailatul qadar menghampiri kita.

Pada waktu inilah juga manusia berpusu-pusu mengerumuni pusat-pusat membeli belah bagi membeli keperluan. Dalam keadaan ini, jika boleh, hindarilah waktu-waktu puncak seperti waktu malam atau cuti hujung minggu.

Buatlah sedikit persiapan bagi merancang masa yang sesuai. Cuti tahunan boleh digunakan pada waktu ini bagi mengelakkan tumpuan manusia yang terlalu ramai pada waktu puncak.

Kita perlu ingat bahawa cuti tahunan bukanlah hanya perlu disimpan dan digunakan untuk bercuti semata-mata bahkan penggunaan secara bijak yang boleh membantu kita dalam ikhtiar menjaga kesihatan adalah suatu pelaburan jangka panjang yang jauh lebih menguntungkan demi kesihatan diri.

Mengambil kesempatan bulan yang penuh kemuliaan dan doa dimakbulkan ini juga masyarakat sewajarnya meningkat kuantiti dan kualiti doa bagi memohon agar dijauhkan bahaya virus H1N1 ini. Ia penting kerana sekuat mana ikhtiar kita sekalipun, jika virus ini ditakdirkan menghampiri, maka ia tetap akan singgah pada tubuh kita. Pada waktu ini hanya doa dan tawakal sahajalah yang mampu mengubah segala-galanya.

PENULIS ialah Pensyarah Perubatan ORL, Universiti Sains Malaysia, Kelantan.

Sumber : http://www.utusan.com.my/

ISU SELESEMA BABI (INFLUENZA A H1N1)


'TAMIFLU' Boleh Membantu Tapi Pencegahan Lebih Baik

Oleh Zulkiple Ibrahim

KUALA LUMPUR, 18 Ogos (Bernama) -- Berikutan penularan wabak H1N1 (selesema babi atau influenza A), yang sehingga petang 18 Ogos mengakibatkan 67 kematian dalam negara, ramai yang tertanya-tanya masihkah tiada ubat untuk menentang penyakit ini?Tiba-tiba rakyat Malaysia mula bercakap tentang sejenis antiviral yang dikenali sebagai 'Tamiflu' sebagai pencetus harapan untuk menyembuhkan mereka yang dijangkiti.Apa dia antiviral? Antiviral ialah sejenis ubat yang melawan virus dan bagi Tamiflu ia memerangi virus influenza (selesema).

BUKAN PENYEMBUH

"Tamiflu boleh memendekkan jangka masa serangan selesema, membuatkan ia tidak sebegitu teruk. Tetapi ia bukan penyembuh kerana tidak ada ubat untuk selesema."Antiviral Tamiflu hanya boleh membantu meredakan (demam selesema). Bila pesakit diberikan Tamiflu, ini membantu mereka agar selesema tidak menjadi semakin teruk," kata seorang pensyarah penyakit respiratori (yang enggan namanya disiarkan).Menurut beliau, Tamiflu menghalang virus selesema 'yang cuba merebak atau menular dari satu sel ke sel-sel yang lain dalam badan manusia'. Kesannya ialah menyekat penularan virus selesema dalam badan manusia itu sendiri," Pendapat beliau dikuatkan dengan kenyataan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), bahawa masih belum ada vaksin yang betul-betul efektif terhadap virus yang pandemik (merebak luar kawalan).

VAKSIN DAN ANTIVIRAL

Vaksin dan antiviral adalah berbeza.Menurut Kementerian Kesihatan, antiviral Tamiflu atau Oseltamivir (nama generik bagi Tamiflu) diambil secara oral.Terdapat satu lagi jenis antiviral iaitu Relenza atau Zanamivir, yang diambil secara sedutan dan kedua-duanya kini digunakan untuk merawat jangkitan selesema babi dan ia bukan vaksin.Vaksin untuk kes H1N1 masih belum ada.WHO sememangnya menasihatkan setiap orang dewasa dan kanak-kanak yang demam teruk dijangkiti virus H1N1 diberikan antiviral seperti Tamiflu.Ia juga perlu diberikan kepada mereka yang mempunyai risiko tinggi terhadap komplikasi demam selesema."Mereka yang sihat atau mempunyai tanda selesema yang ringan tidak perlu diberi Tamiflu," menurut WHO dalam satu kenyataan baru-baru ini.

DAPATKAN RAWATAN

Untuk mendapatkan rawatan antiviral inluenza, Kementerian Kesihatan menasihatkan semua pesakit yang menghidap influenza dan mempunyai risiko, supaya segera pergi ke hospital atau klinik yang berdekatan.Individu yang sakit dengan simptom influenza, tetapi tidak termasuk dalam golongan berisiko tinggi, bagaimanapun mempunyai demam yang tinggi dan berpanjangan (lebih dua hari) juga akan diberi rawatan (percuma di klinik kerajaan).Bagi mereka yang tidak termasuk dalam golongan kedua-dua di atas tetapi menjalani ujian "rapid test" dan didapati positif, mereka akan diberikan rawatan antiviral jika mengalami simptom jangkitan yang menjadi teruk dalam masa 48 jam.Simptom yang dimaksudkan ialah sesak nafas, sakit dada berterusan, kahak berdarah, ciri--birit atau muntah berterusan, berkelakuan luar biasa, keliru, kurang responsif atau rasa pening apabila berdiri.

TINDAKAN IBU BAPA

Kementerian itu mengulangi pada satu mesyuarat baru-baru ini bahawa keputusan untuk menutup sekolah, ialah pilihan terakhir jika ada yang dijangkiti, bagaimanapun ia merupakan tanggungjawab sekolah dan sekolah boleh mendapatkan nasihat pegawai kesihatan daerah jika perlu.Bagaimanapun ibu bapa atau penjaga dinasihatkan supaya memastikan anak mereka yang mempunyai gejala penyakit seperti influenza tidak hadir ke sekolah dan mendapatkan rawatan.Pihak sekolah pula diminta kementerian supaya membuat pemerhatian dan pemantauan terhadap murid sekolah setiap hari dan merujuk ke klinik untuk rawatan lanjut.Semua klinik dan hospital swasta dibenarkan merawat jangkitan H1N1 dan mereka tidak patut menolak pesakit yang hendak mendapatkan rawatan di premis mereka.Mereka boleh mendapatkan bekalan antiviral daripada pembekal secara terus, asalkan ia mempunyai kemudahan bilik isolasi di mana rawatan boleh diberikan.

WHO

Menurut badan dunia ini, ada beberapa kumpulan yang dianggap sebagai mempunyai risiko tinggi terhadap komplikasi selesema H1N1. Mereka ialah:
* Kanak-kanak yang berumur bawah lima tahun, terutama yang berumur bawah daripada dua tahun.
* Mereka yang berumur 65 tahun ke atas.
* Wanita mengandung.
* Orang dewasa atau kanak-kanak yang mempunyai sakit kronik termasuk masalah paru-paru kronik seperti asma, penyakit metabolik seperti kencing manis, sakit jantung, penyakit buah pinggang, penyakit hati, dan juga beberapa penyakit sel darah.
* Orang dewasa serta kanak-kanak yang mempunyai daya ketahanan badan (sistem imun) yang rendah disebabkan pengambilan ubat atau keadaan lain seperti HIV.
* Penghuni rumah untuk warga emas atau institusi merawat pesakit kronik.

PENCEGAHAN LEBIH BAIK

Dalam pada itu langkah berwaspada seperti menjaga kebersihan badan termasuk membasuh tangan dengan menggunakan sabun dan air atau sanitiser secara kerap patut diamalkan.Bagi menghalang orang lain daripada dijangkiti, penghidap selesema dinasihatkan memakai penutup muka dan mendapatkan rawatan segera jika ada sebarang simptom selesema.Jauhilah tempat umum dan lokasi di mana terdapat kesesakan manusia untuk membendung penularan selesema H1N1 kerana "pencegahan lebih baik daripada perawatan".

Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut jangkitan H1N1 boleh menghubungi hotline yang beroperasi dari pukul 8 pagi hingga 5.30 petang di talian 0388810222 / 0388810300 atau melayari laman web Kementerian Kesihatan http://www.moh.gov.my dan http://h1n1.moh.gov.my-- BERNAMA

Sumber ://http :www.bernama.com.my/

Ahlan wa Sahlan Ya Ramadan!



Oleh PANEL PENYELIDIKAN YAYASAN SOFA, NEGERI SEMBILAN


ANTARA KEBERKATAN DALAM RAMADAN IALAH AMALAN BERSAHUR YANG DAPAT MENYIHATKAN BADAN. - Gambar hiasan

TABIR Syaaban hampir berlabuh. Berlalu meninggalkan hari-hari yang penuh berkat dan diberkati. Alhamdulillah, Ramadan pula hampir bertamu bersama keberkatannya yang melimpah ruah dan tidak terhingga.

Sesungguhnya Allah SWT Maha Kaya dan Maha Berkuasa meletakkan keberkatannya pada apa sahaja perkara yang dikehendaki-Nya. Maka Ramadan telah dipilih-Nya untuk menerima antara curahan terbanyak keberkatan itu untuk diambil manfaat oleh sesiapa yang dipilih untuk mendapatkannya. Sebagai antara ikhtiar kita untuk digolongkan dalam golongan terpilih ini, marilah kita mempersiapkan diri menyambut Ramadan dengan menghimbau kembali makna dan martabat bulan yang mulia ini.

Ramadan itu adalah bulan yang tertinggi darjat dan martabatnya di sisi Islam. Pada bulan inilah Allah memfardukan puasa ke atas kaum muslimin dan dicatatkan sebagai kewajipan yang tidak boleh ditinggalkan. Firman Allah SWT dengan maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman telah diwajibkan ke atas kamu berpuasa, sebagaimana telah diwajibkan ke atas umat sebelum kamu, moga-moga kamu bertakwa. (al-Baqarah :183)

Di bulan Ramadan juga, Allah SWT menurunkan kitab suci al-Quran dan dipilih di antara malamnya suatu malam yang dinamakan lailatul qadar yang mana ia adalah lebih utama daripada seribu bulan. Allah SWT berfirman dengan maksudnya: Di dalam bulan Ramadan itulah diturunkan al Quran yang menjadi petunjuk bagi manusia... (al-Baqarah: 185)

Kelebihan Ramadan

Mengenai kelebihan bulan Ramadan, terdapat banyak hadis Nabi SAW yang membicarakan tentangnya. Antaranya: "Bulan Ramadan adalah bulan keampunan. Apabila seseorang hamba berpuasa pada permulaan bulan Ramadan, maka Allah SWT mengampunkan dosa-dosanya hingga akhir bulan tersebut hingga ke Ramadan berikutnya. Bagi hamba tersebut, dibina mahligai yang indah di dalam syurga, pintunya diperbuat dari emas bagi setiap hari dia berpuasa dan 70,000 malaikat memohon keampunan untuknya dari pagi hingga tenggelam matahari".

Bulan Ramadan dikenali dengan 'bulan kesabaran'. Ini kerana pada amalan berpuasa pada bulan ini menuntut kita bersabar menahan diri dari melakukan segala perbuatan yang boleh membatalkan puasa dan perkara yang membawa kepada kurangnya pahala puasanya.
Rasulullah SAW sendiri menamakan bulan Ramadan dengan bulan kesabaran. Dalam satu hadis dari Salman r.a yang diriwayatkan oleh Khuzaimah di dalam Sohihnya bahawa Rasulullah bersabda, maksudnya: "Ia adalah bulan kesabaran dan pahala kesabaran ialah syurga."

Menurut pendapat cendekiawan Islam, sabar boleh dibahagi kepada tiga:
Pertama: Sabar dalam mentaati perintah Allah SWT.
Kedua: Sabar dalam meninggalkan perkara-perkara yang diharamkan oleh Allah SWT.
Ketiga: Sabar dalam menerima takdir Allah SWT yang perit dan menyakitkan.

Kesemua jenis sabar ini terangkum di dalam ibadah puasa, kerana mereka yang berpuasa perlu bersabar dalam mentaati perintah Allah SWT, bersabar meninggalkan perkara-perkara yang diharamkan oleh Allah iaitu kehendak syahwat dan bersabar menghadapi keperitan rasa lapar, dahaga dan lemah badan kerana melakukan ibadah puasa.

Ramadan juga adalah bulan digandakan amalan kebaikan yang dilakukan. Abu Bakar ibn Abi Maryam r.a berkata daripada sheikh-sheikhnya, bahawa mereka berkata: "Apabila tiba bulan Ramadan, maka hendaklah kamu meluaskan nafkah pada bulan tersebut, kerana memberi nafkah pada bulan tersebut digandakan pahalanya seperti memberi nafkah pada jalan Allah dan sekali bertasbih pada bulan tersebut lebih afdal daripada seribu tasbih pada bulan yang lain. Satu solat yang dikerjakan pada bulan Ramadan lebih afdal daripada seribu rakaat solat yang dikerjakan pada bulan yang lain".

Ramadan adalah bulan yang digandakan segala amal kebaikan. Allah SWT menggandakan ganjaran amalan berpuasa melebihi amalan-amalan yang lain. Maka berpuasa di bulan Ramadan sudah tentu menjanjikan ganjaran yang berlipat kali ganda berbanding puasa pada bulan lain. Inilah antara kesan kemuliaan bulan Ramadan dan puasa Ramadan yang difardhukan oleh Allah SWT ke atas hamba-hamba-Nya.

Ibadah puasa merupakan suatu kefardhuan yang jami', (komprehensif dan merangkumi ibadah-ibadah yang lain) dan ibadah yang kamil (sempurna dan lengkap) kerana melalui puasa seseoraang mampu mengenal kemanisan iman dan ihsan. Intipatinya ialah hati dan roh.
Tujuannya supaya orang yang berpuasa dapat menghayati dan merasai kehidupan golongan soleh yang telah berjaya menyucikan jiwa dan raga, orang-orang yang luhur dan mendekatkan diri kepada Allah SWT, tidak melakukan kefasiqan, perbalahan, kemaksiatan zahir dan batin.

Ibadah puasa juga merupakan suatu amalan simbolik, menjadi rahsia di antara seseorang hamba dengan Tuhan-Nya. Lantaran itu, orang yang berpuasa diberi keistimewaan Allah SWT memilih dari senarai carta ibadah-ibadah yang lain untuk disimpan di dalam perbendaharaannya sebagai jaminan untuk dipersilakan masuk ke syurga dan layak bertemu dengan-Nya.

Rasulullah SAW h mengungkapkan dalam hadis Qudsi yang diriwayatkan daripada Tuhan-Nya yang bermaksud: "Semua amalan anak Adam adalah bagi dirinya melainkan puasa. Ia adalah bagi-Ku dan Akulah yang membalasnya".

Kerana Allah

Ramai kalangan ahli fikah, ahli sufi dan ulama yang lain membahaskan makna hadis ini dengan lebih terperinci. Di antara huraian mereka yang ialah :

Pertama: Seseorang yang berpuasa akan meninggalkan segala lintasan dan keinginan nafsunya semata-mata kerana Allah SWT. Jika diteliti, perkara demikian tidak terdapat pada ibadah yang lain melainkan di dalam puasa. Misalnya, bagi seseorang yang solat terpaksa meninggalkan keinginan syahwatnya termasuk makan dan minum, namun masanya tidak panjang seperti masa berpuasa. Malah, orang yang hendak mengerjakan solat, makruh mengerjakan solat dalam keadaan dirinya berkeinginan untuk makan.

Oleh itu, disuruh mendahulukan makan daripada solat. Berbeza keadaannya bagi orang yang berpuasa. Dia perlu menahan nafsunya dan keletihan berpuasa sepanjang waktu siang. Bahkan sesetengah negara, ia terpaksa menahan dahaga dan lapar dalam cuaca yang amat panas atau sejuk.
Sekalipun orang yang berpuasa kadang-kala terlalu berkeinginan untuk mendapatkan apa yang diinginkan oleh nafsunya, tetap juga ditinggalkan semata-mata kerana Allah, walaupun perkara tersebut boleh didapati atau dilakukan di tempat yang tidak diketahui oleh seorang manusia pun.
Ini menunjukan tanda keimanannya yang sahih dan benar. Orang yang berpuasa mengetahui bahawa Allah sentiasa melihat perbuatannya, sekali pun ketika berada di tempat yang tersorok atau tersembunyi. Lantaran itu, Allah berfirman selepas itu, maksudnya: "Sesungguhnya dia meninggalkan syahwatnya, makanan dan minumannya semata-mata kerana Aku".
Sebahagian salafussoleh berkata: "Berbahagialah orang-orang yang meninggalkan syahwatnya kerana suatu janji ghaib yang tidak dapat dilihatnya".
Apabila seseorang mukmin yang berpuasa itu yakin bahawa Allah meredainya ketika dia meninggalkan syahwatnya demi keredaan Tuhannya, maka dia beroleh kelazatan dengan meninggalkan nafsu syahwatnya lantaran keimanan dan keyakinannya itu. Dia memandang bahawa pahala atau azab yang bakal diperolehinya adalah lebih besar daripada kelazatan tidak berpuasa yang tidak dilihat oleh orang lain. Bahkan, bagi sesetengahnya kebencian melakukan perbuatan yang dimurkai Allah tersebut adalah lebih besar daripada ketakutan terhadap azab seksa akhirat akibat tidak berpuasa.
Oleh kerana inilah, kebanyakan orang yang beriman, sekali pun mungkin terlintas membatalkan puasa Ramadan tanpa sebarang keuzuran, tidak akan melakukannya. Sebabnya, mereka mengetahui bahawa Allah SWT akan murka terhadapnya sekiranya dia berbuka. Inilah tanda keimanan seseorang mukmin.
Maka kelazatannya berpindah kepada perkara yang diredai Allah SWT sekalipun perkara tersebut bertentangan dengan kehendak nafsunya. Malah dia berasa perit untuk melakukan perkara yang dimurkai oleh Allah, sekali pun perkara itu cocok dengan kehendak syahwatnya.

Kedua: Puasa juga adalah rahsia di antara seseorang hamba dengan Tuhannya. Ia tidak dapat dilihat atau ditinjau oleh sesiapa pun melainkan Allah SWT. Sehingga dikatakan bahawa amalan puasa tidak dicatat oleh Malaikat Hafazah (pencatat amalan).

Demikianlah sekelumit kecil daripada kebesaran dan kemuliaan Ramadan yang melayakkannya dianggap sebagai Tamu Agung yang datang berkunjung. Wajiblah bagi kita menyambut, melayan dan menunaikan segala hak tetamu istimewa ini, yang belum tentu akan datang berkunjung lagi dalam hidup kita, dengan sebaik dan sesempurna mungkin. Ahlan wa Sahlan Ya Ramadan!

Sumber : http : //www.utusan.com.my/