Ahad, 30 Ogos 2009

Penjajahan nafsu musnah kemerdekaan

Manja Ismail

WALAUPUN sambutan ulang tahun Hari Kemerdekaan Ke-52 hari ini tidak semeriah tahun-tahun sebelumnya kerana jatuh pada bulan puasa serta ancaman wabak selesema babi (H1N1), ia tidak seharusnya menghalang kita daripada merenung sejenak erti sebenar kemerdekaan.

Malah, ketiadaan acara berbentuk hiburan dan pesta, yang digantikan dengan majlis tahlil dan doa selamat di masjid serta upacara kesyukuran di tokong, kuil dan gereja menjelang ketibaan ambang kemerdekaan malam tadi, dilihat lebih bermakna kerana ia menterjemahkan sambutan itu dalam bentuk kesedaran, penghayatan dan kesyukuran.

Cuti umum dan laungan merdeka semata-mata tentu tidak membawa sebarang makna jika rakyat, terutama generasi muda gagal menghayati nilai kemerdekaan yang diperjuangkan dengan darah dan air mata oleh nenek moyang kita dulu.

Dari segi usia, 52 tahun adalah angka yang melepasi tempoh kematangan dan kepada sesetengah orang sudah mencapai tahap kebijaksanaan. Bagaimanapun, sebagai sebuah negara yang rakyatnya pelbagai kaum dan agama, apakah kita sudah benar-benar matang selepas 52 tahun merdeka?

Jawapannya tentulah tidak jika pelbagai perkembangan, terutama dalam bidang politik, sejak beberapa tahun kebelakangan ini dijadikan ukuran. Insiden bantahan pembinaan kuil di Shah Alam adalah contoh terbaru betapa masih jauhnya kita, sebagai rakyat negara yang sudah 52 tahun merdeka, mencapai kematangan.

Wawasan Bapa Kemerdekaan, Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj, untuk melihat Malaysia sebagai model sebuah negara demokrasi yang rakyatnya pelbagai kaum hidup dengan penuh harmoni, masih jauh untuk dicapai. Kerana itulah, antara langkah pertama Datuk Seri Najib Razak lakukan apabila menjadi Perdana Menteri ialah memperkenalkan konsep 1Malaysia.

Melihat sejarah tamadun bangsa yang maju, perjalanan kita sebagai satu bangsa merdeka dalam erti kata sebenar, masih jauh. Kita hanya merdeka daripada penjajahan dan penaklukan secara fizikal, tetapi penjajahan bentuk baru berlaku tanpa disedari.

Penjajahan minda, budaya dan ekonomi semakin berleluasa kerana globalisasi menjadikan dunia lebih sempit dan negara-negara merdeka semakin terhimpit. Rakyat yang kurang semangat patriotisme mudah dipengaruhi untuk melakukan perkara yang boleh mengancam semangat kemerdekaan dan perpaduan rakyat.

Kita belum merdeka sepenuhnya dari segi psikologi kerana ramai antara kita yang tidak memiliki daya saing dan daya tahan untuk berjuang serta cepat mengalah. Sebaliknya, ramai yang suka mencari jalan mudah sehingga sanggup menggadaikan maruah dan harga diri untuk mencapai sesuatu matlamat, baik di alam pekerjaan, perniagaan atau pun politik, fitnah, tuduh - menuduh dan saling jatuh-menjatuh tanpa memikirkan kepentingan rakyat dan negara, pastinya bukan mencerminkan budaya satu bangsa yang merdeka dalam erti sebenar.

Hakikatnya, ramai daripada kita belum merdeka dari segi nafsu sehingga terlupa tanggungjawab kepada keluarga, bangsa, agama dan negara. Kerana dijajah nafsulah, ramai yang mempunyai kuasa, menyalahgunakannya untuk memenuhi kepentingan diri dan kelompok.

Mereka yang belum ada kuasa tetapi bernafsu untuk berkuasa pula menggunakan pelbagai taktik kotor, tanpa mengira kesannya kepada perpaduan rakyat dan kedaulatan negara. Begitu juga dengan mereka yang sudah kehilangan kuasa, tetapi masih bernafsu untuk berkuasa.

Jika pemimpin politik bebas daripada penjajahan nafsu ini, tentunya krisis terbaru dalam MCA sekarang dan kemelut tanpa berkesudahan politik Terengganu yang muncul lagi minggu lalu, tidak berlaku. Begitu juga dengan pelbagai kemelut politik yang berlaku sejak pilihan raya umum lalu.

Sambutan ulang tahun kemerdekaan kali ini yang jatuh pada Ramadan, bulan bagi umat Islam menentang nafsu, adalah peluang terbaik kepada kita untuk membuat ikrar baru perjuangan membebaskan diri daripada penjajahan nafsu. Sama seperti penjajahan minda dan budaya, penjajahan nafsu juga boleh memusnahkan kemerdekaan negara yang dicapai 52 tahun dulu.

Sumber : http: //www.bharian.com.my/

ISU KENEGARAAN : FORMULA KEJAYAAN MALAYSIA

Alhamdulillah, pertama sekali marilah kita semua mengucapkan rasa syukur ke hadrat Allah SWT justeru di atas rahmat dan limpah izin-Nya jua, esok sekali lagi kita akan menyambut Hari Kebangsaan kali ke-52 dengan tema 1Malaysia Rakyat Didahulukan Pencapaian Diutamakan.

Lima puluh dua tahun yang lalu, sekumpulan patriot negara yang diterajui oleh YTM Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj telah berjaya mencapai kemerdekaan negara setelah hampir lima kurun berada di bawah belenggu penjajahan.

Pasca kemerdekaan kemudiannya menyaksikan tugas dan tanggungjawab untuk menentukan arah tuju tanah air yang satu ketika dahulu berada di dalam genggaman penjajah telah beralih ke tangan anak watan.

Dengan pengalaman berkerajaan sendiri begitu singkat, berlatar belakangkan pula pemberontakan komunis yang masih belum reda, wujudnya ketidakseimbangan sosioekonomi yang meluas di tambah lagi dengan sifat majmuk negara baru, maka banyak pihak kala itu yang meramalkan bahawa Malaya ibarat retak menanti belah dan tidak mungkin berjaya.

Namun begitu, kita telah membuktikan bahawa sangkaan tersebut meleset sama sekali. Di dalam tempoh lima dekad merdeka kita telah berjaya muncul sebagai negara membangun yang termaju. Kita telah menjadi negara pertama di dunia yang berjaya mengalahkan pemberontakan komunis di samping kita juga berjaya mewujudkan keadilan sosial dengan rasa kehakmilikan saksama hanya dalam tempoh masa amat singkat yakni dua generasi sahaja.

Apakah formula rahsia yang telah mendasari kejayaan ini? Sesungguhnya, tidak lain dan tidak bukan, ia adalah faktor perpaduan di antara rakyat berbilang kaum dan kepercayaan yang berteraskan kepada falsafah meraikan kemajmukan yang wujud sebagai sumber kekuatan bukannya perkara titik bengik yang menyebabkan perpecahan.

Sayangnya, masa yang berguling telah menyaksikan jambatan dibina oleh bapa-bapa kita dahulu dengan segala susah payah telah mula digoyahkan oleh golongan tertentu yang cuba menangguk di air keruh.

Mereka telah mengeksploitasikan garis-garis gelinciran yang wujud dalam masyarakat berbilang kaum sama ada ia bersifat politik, agama mahupun sosial demi untuk memuaskan agenda sempit mereka.

Di persimpangan ini, cabaran terbesar rakyat Malaysia ialah untuk membaik pulih jambatan yang sedia ada di samping meruntuhkan tembok-tembok pemisah antara sesama kita. Pokoknya, kita perlu terus mengurus kejayaan, membina di atas apa yang ada dengan membajai dan menyuburkan kerukunan terpupuk selama ini.

Beringatlah, apa yang ada tidak semestinya akan bertambah baik malah akan musnah jika kita tidak berwaspada. Buktinya, lipatan sejarah dunia sarat dengan catatan bahawa kejayaan yang tidak diurus dengan baik akan berakhir dengan kegagalan.

Benarlah kata orang, yang pipih tidak datang melayang, yang bulat tidak datang bergolek. Sehubungan itu, saya ingin berpesan kepada semua terutamanya generasi muda bahawa nikmat yang kita sedang kecapi hari ini tidak terhasil begitu sahaja tanpa perancangan yang rapi, pelaksanaan yang cekap dan pengorbanan yang tinggi.

Kejayaan ini hasil perjuangan, keringat, air mata dan darah para wira serta para wirawati negara sama ada yang didendang atau pun tidak. Ia dibangunkan oleh pendahulu-pendahulu kita yang lampau.

Ia dipertahankan oleh anggota pasukan keselamatan yang sanggup berkorban apa sahaja hatta nyawa. Ia disuburkan oleh para murabbi dan pendidik yang gigih berjuang di kelas-kelas dan bilik kuliah.

Ia dimakmurkan oleh wira swasta, wira korporat, para penjaja, waima peniaga kecil yang gigih dengan semangat keusahawanan mereka mencipta kemakmuran. Tuntasnya, ia dilincirkan pula oleh para penjawat awam yang gigih berkhidmat.

Nyatanya, kejayaan dan kemakmuran Malaysia sepanjang ini tumbuh dan berkembang hasil sumbangan serta dokongan semua kaum, semua penganut kepercayaan, semua lapisan masyarakat, di desa mahupun di kota, yang berada ataupun tidak, tua atau muda.

Kendati itulah, saya ingin tegaskan bahawa setiap seorang daripada kita mempunyai peluang yang terbentang di bawah langit Malaysia. Yang membataskan pencapaian masing-masing hanyalah kemahuan untuk berjaya, kesanggupan untuk bekerja keras dan keberanian untuk mengambil risiko.

Di atas segala, sepanjang lebih lima dekad Malaysia telah melalui pelbagai detik dan panca peristiwa. Segalanya, dilalui penuh dengan suka duka, pahit manis dan jatuh bangun bersama dalam kemajmukan.

Bertitik tolak dari kepahitan mengharungi ganasnya Bintang Tiga, keperluan monumental mengisi erti kemerdekaan bitara yang dicapai tanpa pertumpahan darah, kepincangan sosioekonomi, keretakan hubungan kaum tanggal 13 Mei 69, kemelesetan ekonomi 80-an dan krisis kewangan Asia hujung 90-an.

Semuanya telah kita tempuhi dan semuanya telah kita redai dengan jaya. Ternyata walau apa pun, harus diinsafi bahawa kita tidak mampu bernostalgia dengan kejayaan lalu tanpa berusaha mencipta kejayaan-kejayaan baru.

Lantaran itu, untuk menentukan hari esok lebih baik dari hari ini kerajaan telah pun memperkenalkan dasar-dasar yang lebih ampuh dan mampu menjulang kita menjadi sebuah negara yang maju.

Sebermula pentadbiran saya telah diutarakan konsep 1Malaysia yang berpaksi kepada Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara sebagai teras hala tuju matlamat kerajaan. Kita tidak berhenti setakat penyataan hasrat sebaliknya kita telah mengadakan prakarsa yang konkrit.

Bermula dengan usaha merevolusi sistem penyampaian sektor awam, mengangkat agenda kesejahteraan rakyat sebagai keutamaan perdana membawa kepada usaha merangsang ekonomi negara agar kemakmuran akan terus merahmati rakyat dan negara.

Akhir kalam, ayuhlah kita suburkan semangat patriotisme yang membara dengan mendedikasikan usaha tanpa berbelah bahagi atas nama 1Malaysia.

Marilah kita realisasikan masa depan yang lebih sejahtera dan makmur untuk semua rakyat Malaysia - Marilah kita pastikan panji keramat Jalur Gemilang berkibar megah di persada antarabangsa. Sama-samalah berdoa agar perjalanan mulia ini terus diberkati dan diberi petunjuk-Nya jua.

Sumber : http://www.utusan.com.my/

Bersihkan imej Islam akibat tindakan si jahil

TINDAKAN sekumpulan pihak yang mengarak serta memijak kepala lembu ketika membuat bantahan tentang cadangan pembinaan kuil di Selangor sebenarnya suatu tindakan yang jahil bersulamkan kebiadapan melampau.

Kebiadapan mereka itu walaupun kelihatan seperti membela hak orang Islam di Malaysia, namun ia jelas ketara tambah memburukkan lagi imej Islam di mata golongan bukan Islam.

Label dan momokan Islam sebagai agama yang ganas seolah-olah sudah disahkan oleh tindakan bodoh mereka.

Islam amat bertegas tentang penghinaan kepada agama lain yang bakal mengundang permusuhan yang tidak berkesudahan kerana setiap insan akan bermati-matian mempertahankan akidah anutan mereka walau dengan nyawa sendiri.

Larangan provokasi ini dijelaskan oleh al-Quran, maksudnya: Dan janganlah kamu cerca benda-benda yang mereka sembah yang lain dari Allah, kerana mereka kelak, akan mencerca Allah secara melampaui batas dengan ketiadaan pengetahuan. Demikianlah Kami memperelokkan pada pandangan tiap-tiap umat akan amal perbuatan mereka, kemudian kepada Tuhan merekalah tempat kembali mereka, lalu Ia menerangkan kepada mereka apa yang mereka telah lakukan. (al-An'am [6:10]).

Keharmonian Malaysia yang sudah sekian lama terjalin di atas rasa toleransi kaum dan agama, pastinya akan mengundang kekeruhan apabila kepercayaan orang Hindu dihina sedemikian rupa.

Bayangkan apakah reaksi umat Islam sekiranya tulisan Allah diarak, diinjak dan dibakar pula oleh para penganut Hindu yang tersinggung dengan tindakan jahil kumpulan terbabit.

Untuk itu satu langkah drastik perlu dilakukan oleh pihak berkuasa agama seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Majlis Fatwa Kebangsaan untuk segera mencuci tahi yang telah dipalitkan oleh kumpulan terbabit.

Sekiranya pihak berkuasa agama boleh segera bersidang untuk mengeluarkan fatwa berikutan kenyataan politik sesetengah tokoh yang dirasakan mengancam akidah umat Islam, situasi kritikal seperti ini lebih lagi perlu diutamakan.

Jelaskan segera kepada penganut agama lain, bagaimana Islam melarang sama sekali tindakan sedemikian. Peranan pihak berkuasa agama perlu disegerakan untuk menjernihkan kembali kekeruhan yang melanda bertepatan dengan firman Allah, maksudnya:

Dan kalaulah Allah tidak mendorong setengah manusia menentang pencerobohan setengahnya yang lain, nescaya runtuhlah tempat-tempat pertapaan serta gereja-gereja (kaum Nasrani), dan tempat-tempat sembahyang (kaum Yahudi), dan juga masjid-masjid (orang Islam) yang sentiasa disebut nama Allah banyak-banyak padanya dan sesungguhnya Allah akan menolong sesiapa yang menolong agama-Nya (agama Islam); sesungguhnya Allah Maha Kuat, lagi Maha Kuasa (al-Hajj[22:40]).

Hak penganut Hindu untuk mendirikan rumah ibadat mereka tidak pernah dibantah oleh Islam. Itulah keistimewaan Islam yang agak terbuka dengan pengamalan agama lain selagi mana penganut agama itu masih berstatus dhimmi (bernaung di Negara Islam) dan bukannya harbi (memusuhi Islam).

Selain itu, pendekatan penerangan melalui media arus perdana perlu segera dibuat bagi mengubat luka para penganut Hindu di Malaysia.

Sekiranya tindakan lambat diambil, luka itu akan bertukar menjadi barah yang sukar diubati lagi.

Bahkan barah ini kelak boleh menjadi penyebab gagalnya gagasan 1Malaysia. Pengalaman perit konflik agama yang menumpahkan darah di negara luar perlu dijadikan teladan oleh pihak berkuasa agama di Malaysia.

Kepada mana-mana kumpulan yang bercadang untuk melakukan sebarang tindakan provokatif di masa hadapan, silalah bertanya dahulu kepada ahlinya.

Hayatilah firman Allah: Maka bertanyalah kamu kepada orang yang mengetahui jika kamu tidak mengetahui (al-Anbiya'[21:7]).

Jangan sampai apabila kekacauan telah meletus kerana tindakan bodoh sesetengah pihak, pihak yang tidak bersalah pula menerima kesan akibatnya.

Renunglah ancaman Allah di dalam ayat ini: Dan jagalah diri kamu daripada (berlakunya) dosa (yang membawa bala bencana) yang bukan sahaja akan menimpa orang-orang yang zalim di antara kamu secara khusus (tetapi akan menimpa kamu secara umum). Dan ketahuilah bahawa Allah Maha berat azab seksa-Nya (al-Anfal[8:25]).

PENULIS ialah Pensyarah Jabatan TilawahAl-Quran, Pusat Bahasa, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia

Sumber : http: //www.utusan.com.my/

WATIKAH DI DAERAH MERDEKA

Telah berpesan Laksamana Hang Tuah kepada kita
‘Takkan Melayu Hilang di Dunia’

Ayuh! Mari kita susur pantai maknanya
di negeri tempat darah pahlawan Melayu mengalir
berselirat ke akar umbi buminya
mencengkam lumat hasad dan dendam
takkan sekalipun meracuni himpunan setia
meski dimesrai penjajah bersilih ganti.

Melayu yang dikurnia akal budi
tiadalah gentar mendaulatkan jati diri
meski dibelenggu derita dan mimpi ngeri
ayuh! Kita rentang semangat, tenaga dan minda
menghindar sengketa, menggarap cita di daerah merdeka.

Menjelang malam 31 Ogos
aromanya bak kasturi
menyusup ke tiap pelusuk empat belas negeri
dengan sejuta harapan dan doa
mengharum setiap nadi anak bumi
gemilangnya daerah merdeka milik abadi!

Di daerah merdeka yang permai ini
kita berdiri teguh bercakap tentang maruah bangsa
kedaulatan pertiwi dan gagasan mengangkat makna merdeka
di bawah rahmat Yang Maha Esa
siap siaga bukan sekadar sedar di mata
halangan dan cabaran menuntut ketelusan
menghayati tindakan dan kewajipan
menyelinap ke tiap kerangka visi dan misi
kemajuan dunia melangkah seiringan
tegas mendepani perubahan!

Dengan keyakinan dan iltizam bangsa
jihad ke daerah merdeka
menekuni perkongsian perjuangan dan kehidupan
jangan sampai tergadai diselar petualangan
yang sering datang bertandang mesra
sedang hati diulit dengki khianat
suka melihat kita tersungkur, memaut ehsan.

Demikian terkenang pesan pahlawan terbilang
gah! Suara anak Malaysia bergema di medan pembangunan
lantang meningkat ekonomi dan martabat
dunia menyaksi tamadun bergerak pantas
lenyaplah kesedihan bangsa kita!

Kini mendepani generasi bijak bestari
perdengar dan ajarkan perjuangan silam
jangan sampai terbiar hingga alpa
harga diri bukan pada kemajuan semata
kebebasan, keadilan dan teknologi canggih
tetapi jua menuntut pertanggungjawapan di jiwa!

Karya: Jariah Haji Taha

Sumber : http://penyair.wordpress.com/

ISU SELESEMA BABI (INFLUENZA A H1N1)

WHO dedah kemunculan Influenza A lebih teruk


SEORANG guru memberi gel antibakteria kepada murid sekolah di bandar raya Mexico, kelmarin.

Virus serang paru-paru mangsa tak kira usia, terus tenat

WASHINGTON: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), berkata pihaknya menerima laporan kemunculan virus selesema babi (H1N1) jenis teruk yang terus menyerang paru-paru menyebabkan penghidapnya sakit tenat serta perlu menjalani rawatan mahal di hospital.

Virus jenis teruk itu turut dilaporkan boleh menyebabkan pesakit muda yang tidak mempunyai masalah kesihatan jatuh tenat.

WHO ketika melaporkan perkembangan terkini wabak selesema babi menyatakan, sehingga 15 peratus pesakit dimasukkan ke hospital dengan virus H1N1 baru itu memerlukan penjagaan rapi, sekali gus meningkatkan lagi bebanan kepada sistem penjagaan kesihatan sesebuah negara.

"Pada musim dingin di Hemisfera Selatan, beberapa negara mengakui keperluan menambah unit penjagaan rapi menjadi beban terbesar dalam perkhidmatan kesihatan.

"Langkah persediaan mesti berupaya memenuhi tuntutan yang semakin meningkat terhadap unit penjagaan rapi selain memastikan ia mencukupi jika jumlah penghidap bertambah secara mendadak," kata WHO dalam laporannya.

WHO sebelum ini melaporkan bahawa H1N1 sudah berada pada peringkat wabak di Jepun, sekali gus memberi isyarat kemungkinan berlakunya musim influenza yang panjang tahun ini dan memburukkan lagi keadaan di wilayah tropika.

"Perkara paling jelas, kalangan doktor dari seluruh dunia sudah mula melaporkan jenis selesema babi paling teruk, menyerang golongan muda dan orang sihat, yang jarang dilihat ketika musim influenza.

"Virus menyerang terus ke paru-paru pesakit dan menyebabkan kegagalan pernafasan yang teruk. Usaha menyelamatkan mereka memerlukan penjagaan di unit rawatan rapi untuk tempoh lama dan menelan belanja besar," kata laporan itu lagi. - Reuters

Sumber : http ://www.bharian.com.my/