Isnin, 7 Disember 2009

Ayat SMS cemari usaha martabat bahasa Melayu

Oleh Azrul Affandi Sobri

Pengaruh penggunaan singkatan perkataan boleh menyebabkan kualiti bahasa semakin merosot

"kan kt ne? kt lai wah ah. pe je g g? te we ah. cun bj bro. cam bj ak nix ja an." Apa agaknya perasaan anda apabila menerima mesej sebegini melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) dan kadangkala mesej itu pula boleh dikatakan menggunakan 100 peratus perkataan singkatan.

Tahukah anda mesej di atas membawa maksud sebegini "Makan kat mana? Kat gulai kawahlah. Siapa saja pergi? Kita berdua sajalah. Cantik baju awak. Macam baju aku ni saja kan."

Membaca SMS sebegini memang memeningkan kepala dan kadangkala membuatkan kita jadi berang lantaran terpaksa mengamati secara teliti apa mesej yang mahu disampaikan sehinggakan ada kalanya terasa seakan mahu saja dimaki hamun si pengirim SMS.

Mulanya, penghantaran SMS ringkas sebegitu bertujuan menjimatkan masa menaip perkataan panjang lebar tapi sudahnya membuatkan si penerima mesej terpaksa meluangkan lebih banyak masa memahaminya, malah mungkin terpaksa pula menghantar semula mesej minta si pengirim tadi menjelaskan maksudnya bukankah ia lebih membuang masa?

Lebih menyakitkan hati apabila SMS itu dikirim kepada orang tua yang kebiasaannya tak begitu memahami gaya bahasa remaja kerana kerap kali suka bereksperimen dengan penggunaan perkataan abstrak atau lenggok bahasa selanga sehingga kerap kali mereka (orang tua) merungut "Apa benda yang dia tulis ini. Pening aku!"

Tidak dinafikan penggunaan perkataan singkat dalam SMS adalah satu kaedah mengurangkan penggunaan aksara dalam penulisan bagi menjimatkan ruang dan kos kerana setiap SMS ada hadnya iaitu tidak lebih 60 karakter bagi setiap SMS yang kebiasaannya dicaj sebanyak 10 sen bagi satu SMS.

Meskipun penggunaan perkataan ringkas itu kurang disenangi banyak pihak, ia seperti dihalalkan apabila ramai juga orang tua sudah selesa menggunakan gaya bahasa serupa dengan sudah ada yang memendekkan banyak perkataan seperti okay menjadi k, makan menjadi 'mkn', kereta menjadi 'kete' dan banyak lagi.

Tidak boleh dinafikan, boleh dikatakan hampir sebahagian komunikasi kita setiap hari menggunakan SMS kerana berasakan ia cara paling murah dan mudah sehinggakan ada juga yang suka bermain SMS sedangkan penerima dan pengirim hanya berada dalam jarak dekat, malah sebelah menyebelah saja.

Apabila kaedah komunikasi itu sudah mula menjadi perantara paling popular, tak dapat tidak ia pasti mempengaruhi gaya bahasa lain dan ia diakui sudah mula menular dalam konteks penulisan lain dengan ada pensyarah memberitahu bahawa ada pelajar menghantar e-mel dengan bahasa singkat yang kurang disenangi pensyarah itu.

Paling merisaukan, pengaruh gaya bahasa sebegini boleh menyebabkan kualiti bahasa di negara ini semakin merosot atau lebih buruk lagi sehingga boleh menjejaki senario di Indonesia yang menghalalkan penggunaan akronim secara berlebihan dalam penulisan formal termasuk di media bercetak negara itu.

Di Indonesia, perkataan Menteri Luar sudah diringkaskan menjadi 'Menlu' dan Duta Besar menjadi 'Dubes'. Itu mungkin sudah popular dan difahami tetapi mereka bagai tidak kisah penulis akhbar di negara itu menggunakan akronim ciptaan sendiri sehingga langsung tidak difahami dan ia adalah budaya di sana.

Tidak kisah sangat jika bahasa digunakan sudah biasa dibaca dan mudah difahami seperti 'org' (orang), 'tpt' (tempat), 'jln' (jalan) dan 'tmn' (taman) tetapi jika perkataan itu memeningkan kepala, siapa yang suka menerimanya seperti menggunakan nombor untuk mewakili ringkasan aksara seperti '2nang' (tunang) dan '3ma' (terima).

Malah, ada juga ringkasan yang membawa pelbagai maksud seperti 'pg' (pergi atau pagi?), 'sex' (sekali atau seks?) dan bagaimana tanggapan orang tua jika tiba-tiba menerima SMS sebegini "Jom pergi sex (jom pergi sekali)."

Bukan setakat perkataan diringkaskan tetapi ada pula ayat digabungkan menjadi satu perkataan ringkas seperti 'atm' (at the moment), 'brb' (be right back), 'asap' (as soon as possible) dan 'tqvm' (thank you very much).

Seorang pensyarah di Universiti Putra Malaysia (UPM) yang hanya mahu dikenali sebagai Dr Intan memberikan satu contoh kiriman e-mel oleh seorang pelajar yang memohon untuk menyambung pengajian "Sy sgt berminat untuk smbung master tapi intake master upm already closed. so dr. msih ade kekosongan x untuk master students? if dr. ade kosong sy boleh jd RA dhlu b4 apply utk master for next semester.sy attch skali resume sy utk rujukan.sy harapkan respon yg baik dr pihak dr. thanx in advance=)"

Jika penulis sebagai pensyarah itupun, e-mel sebegini jangankan tidak dilayan, malah tak dibaca langsung kerana sepatutnya urusan rasmi sebegini tidak boleh dicampur aduk dengan bahasa singkat yang sudah terbiasa digunakan dalam SMS.

Gambaran itu menunjukkan penggunaan bahasa ringkas dalam SMS sudah mula menular dalam konteks rasmi dan ia perlu dibendung supaya tidak menjadi barah yang bakal merosakkan kualiti bahasa masyarakat di negara ini.

Cukuplah masyarakat kita dipengaruhi dengan pelbagai bentuk bahasa selanga remaja yang sudah mula sebati dan mula diterima semua kelompok usia seperti awek, makwe, bohsia dan bohjan. Jangan nanti satu hari nanti, bahasa ringkas SMS ini pula menjadi bahasa baru dan dihalalkan di mana- mana saja.

Bukan tidak boleh meringkaskan penggunaan bahasa dalam SMS tapi biarlah berpada dan kena pada tempatnya. Jangan pula sampai si penerima langsung tidak faham sekali gus merosakkan konsep komunikasi yang sepatutnya berjalan lancar.

Jangan juga bahasa dalam SMS dibawa keluar dalam konteks lain kerana tidak semuanya sesuai digunakan secara membuta tuli. Setuju sangat dengan kenyataan pakar komunikasi, Dr Muati Ahmad "Loghat Kedah tempatnya di Kedah, bukan dibawa sampai ke Johor. Bahasa SMS hanya dalam SMS, salah sangat dipakai di saluran lain."

Sumber : http://www.bharian.com.my/

Ungkapan untuk berkomunikasi perlu kena pada tempat, lingkungan

PENGGUNAAN bahasa untuk berkomunikasi perlu kena pada tempatnya dan digunakan dalam lingkungannya berpandukan prinsip komunikasi sebenar supaya mesej yang mahu disampaikan dapat difahami kedua-dua pihak dalam konteks komuniti.

Maksudnya, tidak semua bahasa boleh digunakan secara membuta tuli dalam semua kelompok kerana ia akan menyebabkan kegagalan dalam komunikasi boleh berlaku sekali gus merosakkan fungsi berbahasa itu sendiri.

Pakar komunikasi yang juga Timbalan Dekan (Akademik) Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Abdul Muati Ahmad, berkata bahasa slanga hanya sesuai dalam kelompok remaja, dialek Kedah hanya sesuai dalam kalangan orang Kedah dan begitu juga bahasa dalam SMS hanya sesuai digunakan dalam mesej di telefon bimbit.

Justeru, katanya, semua pengkhususan bahasa itu tidak boleh dikeluarkan daripada konteks sebenar penggunaannya sama sekali dan jika berlaku, ia dianggap melanggar dan merosakkan prinsip komunikasi dalam menyampaikan mesej.

"Pakar bahasa di Indonesia, Sutan Takdir Ali Sjahbana pernah berkata, bahasa adalah satu simbol arbitrari iaitu dicipta manusia untuk tujuan komunikasi sesama sendiri. Justeru, jika bahasa itu sendiri tidak mampu menyampaikan mesej dengan sempurna, ia bukanlah ejen komunikasi yang sesuai.

"Dalam hal penggunaan SMS, telefon bimbit adalah satu perantara dalam komunikasi dan tidak boleh disamakan dengan komunikasi lisan atau bersemuka. Jadi, ia perlu sekadar digunakan dalam SMS saja. Tidak boleh keluar dalam konteks itu, malah adalah satu kesalahan jika ia turut digunakan dalam e-mel.

"Ini kerana, e-mel adalah satu konsep penulisan komunikasi surat yang menggunakan sistem dalam talian (online). Ia sepatutnya menggunakan kaedah penulisan yang sama seperti kita menulis surat. Tidak boleh diringkaskan dan menggunakan singkatan seperti di SMS," katanya.

Beliau berkata, tidak ada alasan bahasa dalam penulisan lain perlu diringkaskan kerana berbanding SMS, ia tidak membabitkan sebarang kos tambahan jika ia ditulis secara sempurna dan mengikut laras serta gaya bahasa yang betul.

Namun, beliau berkata, tidak menjadi sebarang kesalahan menggunakan singkatan dalam SMS selagi ia difahami kerana hakikatnya singkatan itu dibuat untuk menjimatkan ruang dan kos yang perlu dibayar.

"Namanya pun khidmat pesanan ringkas. Memanglah perlu diringkaskan seboleh mungkin. Selagi ia boleh difahami dan mesej itu sampai, tak ada sebarang kesalahan berlaku dalam komunikasi itu. Terpulang sama ada ringkasan itu dibuat bagaimana sekalipun, ia tak salah.

"Contohnya, memang ada yang marah apabila orang menaip 'askum' (Assalamualaikum), namun sebenarnya dalam konsep komunikasi ia tidak salah kerana sepatutnya si penerima perlulah membacanya sebagai Assalamualaikum, bukan 'askum'.

"Sama juga dalam singkatan lain. Kita selalu guna Rasulullah SAW, tapi apabila dibaca orang akan menyebutnya Sallalahu Alaihi Wassalam. Mana ada orang sebut 'saw'. Jadi, ia sepatutnya tak jadi isu sensitif. Penerima SMS itu sewajarnya menyebutnya dengan betul dan jika dia faham bahawa 'askum' itu mewakili Assalamualaikum, apa masalahnya?" katanya lagi.

Abdul Muati bagaimanapun berkata, bahasa SMS tetap tidak boleh dipakai dalam konteks lain, sama juga bahasa slanga yang popular dalam kalangan remaja tetap hanya sesuai dalam kelompok mereka juga dan menjadi satu kesalahan apabila digunakan dengan kelompok lain seperti orang tua.

"Konsep komunikasi mudah. Ia mesti membolehkan mesej sampai dan difahami. Sebagai contoh, kurang sesuai dan menjadi kesalahan sebenarnya jika orang Kedah menggunakan dialek Kedah di Johor sehinggakan orang tak faham. Sama juga dengan SMS.

"Berkenaan penyaluran emosi pula. Diakui memang sukar untuk memahami emosi dalam bahasa SMS kerana ia tiada intonasi tetapi jangan lupa bahawa sekarang ini ramai yang sudah suka menggunakan simbol emosi (emoticons) dan ia secara jelas melontarkan maksud dan emosi pengirim SMS ketika itu.

"Namun, ada juga orang masih tak faham simbol yang digunakan sekali gus membuktikan begitu terhad sekali kaedah komunikasi dalam penulisan terutama SMS. Namun, ia tetap teknologi terbaik dan jimat" katanya.

Beliau turut mengakui bahawa akibat penggunaan SMS secara berlebihan ketika ini memungkinkan ia bakal mempengaruhi penggunaan bahasa dalam konteks lain seperti penulisan e-mel dan surat rasmi tambahan pula telefon bimbit kini menjadi alat wajib yang dimiliki oleh hampir semua orang tak kira kanak-kanak, remaja mahupun dewasa.

Sumber : http://www.bharian.com.my/

Kurang mahir memendekkan perkataan punca banyak mesej sukar difahami

KURANGNYA kemahiran dalam memendekkan perkataan menjadi antara punca mengapa banyak SMS sukar difahami terutama apabila membabitkan terlalu banyak singkatan dalam satu mesej yang mahu disampaikan.

Pakar bahasa, Prof Datuk Dr Nik Safiah Karim, berkata kegagalan memendekkan bahasa dengan tepat menyukarkan ramai memahaminya kerana ia mungkin membawa pelbagai maksud lain.

"Selalunya, orang dipendekkan menjadi 'org'. Tapi ada juga yang sekadar menaip 'or' menyebabkan kadangkala sukar untuk penerima SMS mentafsirkannya. Itu masalah utama kini. Penghantar SMS sepatutnya tahu kaedah sebenar memendekkan bahasa.

"Tak salah nak memendekkan bahasa dalam SMS kerana ia menjimatkan ruang dan wang. Ia tak boleh dihalang dan sudah menjadi tabiat ketika ini. Namun, jika ia menyebabkan orang lain tak faham, ia akan menyebabkan rasa terganggu teramat kepada si penerima," katanya.

Selain itu, beliau turut menyatakan kerisauan kerana kebelakangan ini, penggunaan bahasa dalam SMS mencerminkan penyampaian mesej yang tidak indah dan bahasa tidak cantik sekali gus menggambarkan kekurangan besar dalam berkomunikasi.

Namun, katanya, sikap tidak ambil peduli dalam kalangan masyarakat terutama remaja menyebabkan berlaku kepincangan besar dalam berbahasa serta menjanjikan kesan buruk kepada masa depan bahasa dan budaya.

"Bahasa SMS ini mungkin akan kekal lebih lama kerana ia sudah mula popular dan diterima banyak pihak. Dulu, remaja cukup suka berbahasa slanga dan ia akhirnya menjadi satu perkara biasa. Senario sama bakal berlaku dalam bahasa SMS apabila lambat laun ia akan menjadi budaya dalam berbahasa.

"Lebih merisaukan apabila pemimpin dan golongan korporat juga seakan selesa menggunakan gaya bahasa sama serta kadangkala nampak melampau. Contohnya, sekarang ini perkataan Assalamualaikum sudah popular dengan kependekan 'askum', 'akum' dan banyak lagi. Bukankah ia nampak tidak beradab," katanya.

Nik Safiah berkata, apa yang dikhuatiri ialah apabila penggunaan bahasa SMS secara berlebihan sehingga menjadi tabiat bakal mempengaruhi penggunaan bahasa dalam konteks lain dan ia sebenarnya sudah pun berlaku apabila ada pelajar terlajak menggunakan singkatan SMS dalam penulisan karangan.

Justeru, katanya, menjadi tanggungjawab besar kepada ibu bapa dan guru untuk memberi pendidikan sewajarnya kepada golongan remaja mengenai penggunaan bahasa yang kena pada tempatnya supaya tidak memberi masalah kepada individu itu sendiri.

Sementara itu, bekas Pengarah Bahasa Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Noresah Baharom, menyatakan kerisauan kemungkinan masyarakat di negara ini terikut-ikut dengan budaya Indonesia yang kini membenarkan penggunaan akronim dipakai secara berlebihan dalam semua aktiviti sama ada rasmi atau sebaliknya.

"Ketika ini, bahasa SMS lebih popular dalam kalangan remaja. Apa yang dikhuatiri ialah budaya itu akan kekal digunakan sehingga mereka dewasa dan ketika itu generasi sekarang sudah memonopoli banyak sektor di negara ini. Jadi, ketika itu, mana tahu mungkin kita sama seperti Indonesia yang membenarkan bahasa singkat digunakan sesuka hati.

"Diakui, kita tak boleh menyeragamkan penggunaan bahasa dalam SMS kerana itu adalah hak peribadi yang sebenarnya tidak membawa sebarang masalah jika digunakan dalam kelompok mereka saja. Namun, masalahnya kini, sudah banyak bahasa SMS dipaparkan secara langsung di televisyen menerusi ucapan dan pelbagai lagi seperti ruangan sembang.

"Apabila ia sudah dipaparkan kepada umum, ia sudah jadi terbuka dan dibaca semua orang. Dikhuatiri ia akan mempengaruhi golongan kanak-kanak dan akhirnya diterima menjadi bahasa harian. Ia pasti mendatangkan masalah," katanya.

Noresah menyatakan kerisauan itu kerana ketika ini nada dalam kiriman SMS tidak kira sama ada sesama rakan atau dipaparkan di televisyen sering berbunyi kasar, sukar difahami dan hilang kesantunan bahasa sekali gus boleh mempengaruhi minda ramai orang.

Lebih merisaukannya ialah penggunaan ringkasan dalam SMS sudah berlaku membabitkan lapisan usia berbeza dan boleh mengganggu sensitiviti mereka yang lebih berusia.

"Jika ia membabitkan komunikasi antara remaja dan orang tua, bahasa SMS memang kurang elok digunakan dan ia sebenarnya merisaukan. Ia boleh mengganggu sensitiviti orang tua. Lebih kurang enak apabila aras bahasa remaja digunakan dengan orang tua.

"Apapun, penggunaan singkatan dalam SMS tidak salah jika kena pada tempatnya tetapi perlu berpada-pada. Ibu bapa dan guru perlu lebihkan pemantauan supaya ia tidak menjadi satu budaya pula," katanya.

Sumber : http://www.bharian.com.my/