Penulis pernah ditanya oleh pelajar di dalam dewan kuliah, apakah asas penting di dalam membina hubungan guru dan pelajar di dalam sekolah atau bilik darjah dan bagaimanakah bentuk hubungan guru-pelajar yang seharusnya wujud di persekitaran sekolah dan bilik darjah.
Jawapan penulis ialah tahap hubungan kasih sayang. Elemen ini adalah asas dan nyawa kepada hubungan guru-murid terutama di dalam pendidikan sekolah rendah. Di peringkat sekolah menengah dan pendidikan tinggi, selain kasih sayang antara guru dan pelajar, tumpuan adalah pembinaan tanggungjawab merupakan elemen penting sebagai asas hubungan antara guru dan pelajar.
Jadi bagaimana kasih sayang ini dilaksanakan? Jawapannya dengan sentiasa memberikan pujian-pujian yang ikhlas dan tepat kepada para pelajar. Tentu sahaja guru juga boleh menerima pujian daripada pelajarnya.
Maka ucapan 'terima kasih', 'tahniah', 'bagus', 'saya bangga' dan pujian seumpamanya patut diamalkan secara ikhlas dan berterusan di sekolah. Kajian pendidikan membuktikan bahawa pujian merupakan kaedah utama dan berkesan untuk membina hubungan kasih sayang di sekolah.
Bagaimana jika pelajar melakukan kesalahan atau kesilapan. Maka mereka seharusnya diberikan nasihat yang tepat dan jelas oleh para guru. Apa yang pasti, memukul sesuka hati bukanlah amalan pendidikan yang sesuai untuk pendidikan di peringkat sekolah rendah.
Sedih rasanya melihat bagaimana ada guru yang sanggup menyakiti tubuh anak-anak kecil yang kononnya dikatakan nakal, tidak mematuhi arahan atau membuat bising di dalam bilik darjah.
Sebenarnya, atas apa jua alasan guru tersebut, hukuman tidak sekali-kali boleh dilaksanakan sehingga membawa kesakitan kepada pelajar. Amalan 'memukul' dengan tujuan menyakiti tubuh anak-anak kecil terutama di bahagian badan yang sensitif dan lemah tidak pernah dianjurkan oleh mana-mana agama dan kepercayaan.
Menyakiti pelajar seperti deraan adalah sesuatu yang keji dan tidak berperi-kemanusiaan. Biarlah apa pun kesalahan anak-anak di peringkat sekolah rendah, hukumannya sama sekali tidaklah boleh sampai kepada memukul, menumbuk atau menampar muka dan badan pelajar.
Saintis terkenal, Albert Einstein pernah berkata bahawa makna kepada pendidikan ialah sesuatu yang masih diingati oleh seseorang apabila beliau sudah terlupa tentang semuanya tentang zaman persekolahannya dahulu.
Maka apa yang masih terus diamalkan atau digunakan sebagai panduan hidup itulah ilmu hasil didikan daripada bekas guru-gurunya. Selama belasan tahun di sekolah, biasanya lebih banyak yang dilupakan oleh seseorang dan sangat sedikit sahaja yang diingati.
Penulis sendiri sudah tidak dapat mengingati banyak peristiwa semasa bersekolah dahulu secara jelas, tetapi masih dapat mengingati beberapa perkara baik semasa di sekolah dahulu.
Antara perkara yang tidak pernah dilupakan ialah pujian yang diberikan oleh beberapa orang guru kepada penulis. Pujian mereka bukan sahaja menyebabkan jasa dan nama mereka terus menjadi kenangan abadi penulis tetapi juga pujian ini banyak membina semangat dan keinginan penulis untuk cemerlang dalam pelajaran.
Sebab itu penulis sangat tidak percaya bahawa pujian boleh merosakkan pelajar. Mitos ini masih wujud di kalangan ramai guru-guru yang mengajar. Pada mereka, pujian akan menyebabkan seseorang atau sekumpulan pelajar menjadi bongkak, lupa diri dan akhirnya akan merosakkan pembelajaran mereka.
Maka tindakan seperti ugutan, memarahi serta memberikan amaran dikatakan lebih berkesan untuk memastikan pelajar belajar serta berjaya di dalam pelajaran mereka.
Mereka mungkin lupa bahawa pujian secara psikologinya jika dilakukan dengan cara dan gaya yang betul akan menjadi kaedah yang paling berkesan untuk mempengaruhi tindakan, pemikiran serta sikap pelajar.
Ramuan yang betul dalam memberikan pujian seperti pemilihan bahasa yang tepat, kesesuaian masanya dan dizahirkan dengan ikhlas dari hati guru akan membuatkan tingkah laku seseorang pelajar dapat ditingkatkan atau diperbaiki ke arah yang lebih positif.
Kadang kala pujian juga boleh menjadi tidak berkesan walaupun dilakukan berulang kali oleh guru. Sebagai contoh, memuji pelajar selepas beberapa lama perbuatan positif dilakukan tidak akan mengembangkan tingkah laku positif pelajar.
Misalnya adalah sangat berkesan jika guru memberikan pujian selepas seseorang pelajar berjaya menjawab dengan betul berbanding memberikan pujian beberapa lama selepas pelajar memberikan jawapannya.
Di luar kelas, adalah sangat berkesan guru memberikan pujian sebaik sahaja pelajar melakukan perkara yang baik misalnya membuang sampah ke dalam tong sampah atau pelajar berbaris semasa membeli makanan di kantin sekolah berbanding memberikan pujian secara umum semasa perhimpunan lama selepas tingkah lalu tersebut di lakukan.
Pujian yang tidak berkesan juga boleh berlaku apabila guru memberikan pujian yang berbentuk umum atau generalisasi sahaja kepada pelajar. Pujian seperti 'awak baik', 'awak pandai' atau 'awak bersih', sebenarnya kurang memberikan kesan kepada pelajar. Pujian seharusnya berbentuk khusus atau spesifik. Misalnya "Cikgu bangga dengan pencapaian markah kamu dalam ujian kali ini".
Ada juga pujian yang boleh dilakukan dengan menulis sesuatu di dalam buku atau kertas jawapan pelajar yang dapat dibaca atau difahami oleh pelajar tersebut sebagai satu pujian yang khususnya ditujukan kepada kebolehan atau pencapaiannya sama ada yang bersifat akademik, atau kerana tingkah laku atau sikap yang baik.
Malah lebih buruk lagi jika ramuannya tidak betul, pujian bukan sahaja boleh menjadi tidak berkesan tetapi boleh menyebabkan tingkah laku seseorang pelajar menjadi lebih buruk dari sebelumnya.
Misalnya apabila seseorang pelajar melakukan perkara yang baik dan diberikan pujian oleh guru tetapi dalam bentuk sindiran maka pujian seperti ini akan menyedihkan pelajar.
Sebagai contoh apabila seorang guru berkata kepada pelajarnya "awak ini bukanlah pandai sangat tetapi mungkin nasib anda baik mendapat markah yang tinggi dalam ujian ini kali ini, tahniahlah untuk awak".
Pujian seperti sindiran juga boleh berlaku dalam bentuk perbandingan, Misalnya, "tahniah kerana awak berjaya mendapat markah yang baik tetapi nampaknya markah awak masih rendah berbanding kawan awak si X". Usaha lagi nanti". Atau ada juga pujian seperti," Markah anda dalam ujian kali ini baik. Jadi jangan lagi seperti ujian-ujian yang lalu. Saya mahu setiap kali ujian markah anda akan baik daripada hari ini".
Perkara ketiga ialah pujian yang melibatkan soal kuantiti dan juga kualiti. Pujian merupakan kuasa positif yang jika selalu digunakan secara berkesan akan meningkatkan pembangunan positif pelajar.
Oleh itu lebih banyak pujian sebenarnya adalah lebih baik. Bagaimanapun kuantiti pujian seharusnya dilengkapi dengan pujian yang berkualiti. Jadi di sekolah rendah kualiti pujian yang baik seharusnya diikuti dengan pelukan guru kepada pelajar (tentunya guru perempuan sahaja yang sesuai melakukannya, pada guru lelaki bolehlah melakukan dengan memberikan senyuman menunjukkan rasa bangga).
Pujian yang baik ialah yang dilengkapi dengan sentuhan atau tingkah laku senyuman yang menunjukkan rasa kasih dan sayang seorang guru pada pelajarnya.
Sebenarnya ada kajian yang menunjukkan kebanyakan guru kurang atau tidak suka memberikan pujian kepada para pelajar. Malah di kalangan guru yang mengakui mereka telah memberikan banyak pujian kepada pelajar, sebenarnya pujian yang mereka berikan masih kurang daripada apa yang diharapkan atau di rindu oleh pelajar.
Percayalah, pujian boleh mengubah pelajar. Jika guru dapat melakukan secara berterusan dengan penuh hikmah dan sabar maka akan lebih ramai pelajar yang akan mengubah sikap dan tingkah laku menjadi lebih positif.
Amalan pujian bukan sahaja paling berkesan mengubah tingkah laku pelajar tetapi sebenarnya berkeupayaan untuk membina persekitaran bilik darjah yang penuh motivasi, kasih sayang dan harmoni.
Disebabkan oleh persekitaran, minda pelajar sebenarnya lebih cenderung untuk memberikan super-respons kepada perkara negatif yang diasak keadaan mereka berbanding perkara positif. Misalnya pelajar akan lebih cepat sedih bila dimarahi oleh guru berbanding gembira apabila mereka dipuji.
Mereka juga biasanya akan lebih cepat merasa malu apabila disindir berbanding merasa bangga apabila berjaya mencapai sesuatu. Oleh itu untuk membolehkan tingkah laku positif berkekalan dicapai, maka pujian secara berterusan, berkualiti serta ikhlas perlulah dilakukan oleh para guru.
Malah secara tidak sedar juga, kebanyakan guru juga lebih cenderung untuk cepat memberikan respons kepada tingkah laku negatif pelajar berbanding tingkah laku perbuatan positif pelajar lebih lagi bila guru berada di dalam tekanan kerja atau keadaan fizikal yang lemah atau letih.
Oleh itu jika para guru dapat memulakan pujian kepada pelajar secara berterusan maka satu hari nanti pelajarnya pula akan menjadi seorang dewasa yang akan pula sentiasa memberikan pujian kepada para rakan sekerja di tempat kerajaan atau anak-anak mereka di rumah. Semoga pelajar tidak akan lagi merindui pujian daripada guru-guru mereka.
Penulis ialah Pensyarah Sosiologi Pendidikan, Fakulti Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia
Sumber : http://www.utusan.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan