Khamis, 14 Januari 2010

Perjuangan bahasa Melayu tiada noktah!

Bersama Salbiah Ani

BAGI sesetengah orang, bahasa Melayu mudah dan tidak perlu dipelajari apalagi jika bahasa terbabit adalah bahasa ibunda sehingga jika gagal mencari kata sepadan untuk bahasa Inggeris, maka bahasa Melayu dipersalahkan serta dilabelkan sebagai tidak lengkap.

Alasan lapuk yang diulang-ulang bagi menutup kelemahan diri kelompok taksub bahasa Inggeris ini, mengakibatkan mereka alpa terhadap penguasaan bahasa Melayu dan mengambil jalan mudah dengan menafikan wibawa bahasa yang pernah menjadi lingua franca dunia.

Dua minggu lalu, penulis menerima panggilan daripada seorang wanita di utara tanah air yang terkilan apabila disapa pegawai kastam bertugas di Lapangan Terbang Kota Bharu dengan panggilan ‘mak’ dan menelah kemarahan itu berkemungkinan disebabkan dirinya dimamah usia!

“Saya terkejut apabila seorang pegawai bertugas menyapa: “‘Mak’ banyak beli barang” ketika turun di Lapangan Terbang Kota Bharu dan sapaan sedemikian nampaknya menjadi budaya di Kelantan, seolah-olah mereka tidak mengetahui maksud daripada perkataan berkenaan,” luah pemanggil ini.

Rupa-rupanya pemanggil ini tidak bersetuju disapa dengan panggilan mak bukan kerana enggan mengakui dirinya sudah berusia, tetapi disebabkan baginya mak adalah kata penghormatan hanya kepada wanita yang melahirkan seseorang dan tidak sewajar digunakan secara semberono!

“Panggilan ‘mak’ sudah menjadi gejala di Kelantan dan diberikan kepada wanita berusia, seolah-olah tidak mengetahui ruang lingkup penggunaannya dan saya geram sebab orang Melayu yang membuat kesilapan ini, tetapi apabila penumpang Inggeris, pandai pula mereka berbahasa ‘ma’am’ dan ‘sir’.”

Perbincangan turut beralih kepada penggunaan kata warga emas yang tidak merujuk kepada ketinggian nilai di sebalik barangan berharga terbabit, sehingga ada anak yang sanggup bergaduh di tanah perkuburan untuk berebut harta serta tergamak menghantar mereka ke rumah orang tua.

“Orang Melayu suka mengulangi kesilapan penggunaan perkataan sehingga budaya yang mengikut ruang lingkup asalnya digunakan untuk sesuatu bernilai indah, berkaitan dengan bahasa, keturunan dan diwarisi, kini dikaitkan dengan maksud negatif seperti lepak, bojan, mat rempit dan bohsia.”

Rungutan wanita ini berasas kerana di sebalik penggunaan perkataan di kalangan individu, perkara sama turut dilakukan Kementerian Kesihatan dalam iklan mereka ketika memperingatkan rakyat Malaysia agar berwaspada dengan virus H1N1.

‘Letih’ melihat Kementerian Kesihatan mengulangi kesilapan dalam usaha mereka mesra dengan rakyat bagi membantu meningkatkan kefahaman masyarakat terhadap bahaya penularan virus H1N1 yang kini berada pada gelombang kedua.

Ini kerana dalam memberi ingatan agar masyarakat berwaspada, dua kesilapan berlaku iaitu ejaan ‘selesema’ menjadi ‘selsema’ dan ancaman menjadi bersama dalam slogan ‘H1N1 Masih Bersama Kita’ yang sepatut berbunyi ‘H1N1 Masih Mengancam Kita’.

Kamus Dewan Edisi Keempat dalam halaman 1376 menjelaskan bersama bermaksud berserta, bergandingan, serentak dengan, semuanya sekali, seluruh, untuk sekaliannya dan lebih haru-biru apabila jika ia dibaca dengan maksud melakukan hubungan jenis atau bersetubuh!

Sikap memandang ringan kepada bahasa Melayu memaksa penulis berhujah dengan seorang editor yang sengaja mengumpan amarah penulis ketika bertanya mengenai penggunaan perkataan ‘mengecek’ dengan maksud memeriksa, meneliti dan menyemak.

Editor berkenaan memaklumkan kepada penulis bahawa Dewan Bahasa dan Pustaka menerima pakai cek sebagai entri dalam halaman 225, Kamus Dewan Edisi Keempat, lalu mengecek boleh diterima bagi merujuk kepada tiga maksud di atas.

Bagi penulis cek hanya boleh digunakan ketika merujuk kepada ‘perintah bertulis kepada bank supaya membayar wang sebanyak yang dinyatakan’ dan kata mengecek tidak boleh hadir dalam bentuk penulisan rasmi dan ketidakwajaran penggunaannya dapat dirasakan apabila ayat dibaca!

Pendedahan ini membuktikan sebahagian besar orang Melayu tidak menghargai bahasa mereka dan hendaknya usul Persatuan Penulis Kuala Lumpur (Kalam) agar penggunaan perkataan Melayu dan bahasa Melayu kembali diperkasakan pada Mesyuarat Agung Ke-15 Kalam lalu, diberi perhatian.

Sudah sampai masanya persatuan penulis dan bahasa bergerak dengan mengambil tahu isu semasa, meskipun tanpa wewenang dan jangan hendaknya ketiadaan iltizam politik dijadikan alasan untuk berdiam diri kerana tanpa kesungguhan ia dilihat menjadi publisiti murahan.

Kes terbaru berhubung penggunaan kalimah Allah dalam penerbitan Herald-The Catholic Weekly contoh terbaik betapa persatuan penulis dan bahasa tidak melihatnya sebagai suatu yang perlu diperjuangkan serta merelakan maruah terus tercalar selain relevan mereka dipersoalkan!

Sumber : http://www.bharian.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan