Khamis, 8 April 2010

Mekanisme sekat tabiat merokok mesti dipertingkat

WANITA sanggup melakukan banyak perkara untuk kelihatan cantik, langsing dan menawan. Terbaru, Kementerian Kesihatan mendedahkan peningkatan tabiat merokok di kalangan wanita di negara ini antara lain berpunca daripada kepercayaan bahawa merokok mampu menurunkan berat badan. Sesungguhnya, ini satu kepercayaan songsang yang mendedahkan wanita kepada satu lagi set atau pakej implikasi kesihatan, terutama risiko menghidap barah paru-paru, kerongkong, strok dan penyakit pada sistem pernafasan.

Semua sudah tahu dengan fakta perubatan bahawa wanita hamil yang merokok boleh menjejaskan perkembangan janin dan mendedahkan risiko bayi kepada kecacatan. Kesan merokok turut kelihatan pada fizikal seperti bibir, muka dan kulit selain nafas berbau. Maknanya, merokok turut menjejaskan ketrampilan seseorang individu dan pergaulan seharian. Pada masa sama, psikologi dan persepsi masyarakat pada perokok wanita juga masih negatif, walaupun ada pihak bersikap terbuka. Kini semakin ramai wanita, termasuk dalam golongan terpelajar dan mengisi jawatan penting dalam semua sektor.

Mereka tahu bahaya dan kesan merokok khususnya ancaman menghidap penyakit kronik. Namun agak mengejutkan apabila mereka mudah dikuasai kepercayaan bahawa merokok akan menurunkan berat badan. Di mana kefahaman mereka mengenai kepentingan menjaga pemakanan dan kandungan diet untuk mengawal berat badan? Sebenarnya, peningkatan perokok wanita adalah satu trend antara lain gara-gara tanggapan bahawa merokok melambangkan ketinggian status hidup dan sosial bagi golongan elit serta eksklusif. Kemampuan meraih pendapatan tinggi turut merubah pemikiran sesetengah wanita untuk hidup bergaya dan merokok kononnya bagi melengkapkan penampilan di khalayak ramai.

Jelas, trend wanita menjadi perokok perlu disekat. Rokok menjadi punca dan melambangkan pelbagai gejala. Agensi Dadah Kebangsaan difahamkan memperoleh fakta bahawa merokok menjadi punca utama penagihan dadah di negara ini. Jika semakin ramai wanita merokok, maka mereka turut terdedah kepada risiko berkenaan. Selepas ramai lelaki menjadi penagih dadah, kita tidak mahu wanita ditimpa gejala sama. Tabiat merokok di kalangan wanita juga berkait rapat dengan budaya berseronok (hedonisme) seperti meminum arak dan pergaulan bebas. Justeru, langkah menyekat tabiat merokok mesti dipertingkatkan kerana ini akan menyelamatkan sebahagian lagi struktur masyarakat yang sangat penting.

Contohnya, kerajaan perlu mewartakan lebih banyak kawasan larangan merokok; meningkatkan penerangan bahaya merokok; dan mempergiatkan kempen antimerokok di kalangan generasi muda. Harus diingat, hasrat atau tekad mahu menurunkan berat badan mesti bermula dengan membuat rujukan kepada doktor klinik atau hospital bagi memperoleh khidmat nasihat mereka. Kaunseling mereka lebih tepat dan tidak memudaratkan jika dipatuhi dengan tertib.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan