Kerajaan pada 31 Mac yang lalu memutuskan lokasi sambutan Hari Pahlawan yang sering diadakan di Tugu Negara pada setiap 31 Julai akan dipindahkan ke Putrajaya, kata Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.
Pemindahan lokasi itu adalah sebagai mematuhi garis panduan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sebelum ini yang menyatakan sambutan itu tidak boleh diadakan di kawasan yang mempunyai patung menyerupai manusia.
Saya gembira apabila mendengar keputusan kerajaan itu. Ini merupakan satu kemenangan pihak institusi agama dalam menegakkan kebenaran syarak, walaupun tradisi sambutan Hari Pahlawan di tugu negara seolah-oleh terlalu suci untuk diubah. Namun pengumuman terbaru itu menunjukkan bahawa tradisi boleh diubah jika kita serius dan mahu menjunjung perintah Allah SWT dan Rasulullah melebihi tradisi dan peraturan yang kita adakan sendiri. Sekalung tahniah saya ucapkan kepada Ahmad Zahid Hamidi yang kebetulan dulunya adalah Menteri di Jabatan Perdana Menteri ketika itu yang bertanggungjawab dalam hal ehwal agama. Begitu juga dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom yang dulunya orang kuat Angkatan Tentera Malaysia.
Sebenarnya fatwa ini bukannya baharu, tapi telah diputuskan oleh AJK Fatwa Kebangsaan pada 6 Oktober 1987 dalam Muzakarah Kali Ke-19 yang telah menetapkan bahawa :
(a) Amalan-amalan seperti tiupan Last Post bertafakur dengan menundukkan kepala selama 20 saat, meletakkan kalungan bunga, bacaan sajak, nyanyian dan tiupan Rouse yang dilakukan di hadapan Tugu Negara dalam upacara menyambut Hari Kenangan Rakan Seperjuangan olah Angkatan Tentera Malaysia bercanggah dengan Islam dan boleh membawa kepada syirik.
(b) Bacaan sajak yang boleh menimbulkan semangat kepahlawanan adalah diharuskan dengan syarat tidak dilakukan di hadapan tugu atau di tempat-tempat atau dalam suasana yang dilarang oleh syarak.
Kemudian pada 21 September 1995, Muzakarah Kali Ke-39 pula memutuskan bahawa :
'' Meletakkan kalungan bunga di Tugu Peringatan Negara sempena sambutan Hari Pahlawan adalah sama dengan keputusan yang telah diambil dalam Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan yang bersidang pada 7 Oktober 1987 iaitu bercanggah dengan Islam dan boleh membawa kepada syirik."
Apa yang saya ingin nyatakan di sini bagaimana pendekatan dakwah pada hari ini perlu diteruskan bersama dengan kekuatan kekuasaan. Fatwa berkaitan dengan Hari Pahlawan bukannya baru, malah sudah 13 tahun diputuskan, namun hanya pada 31 Mac 2010 fatwa itu diterima untuk dipatuhi.
AJK Fatwa Kebangsaan dan para mufti seluruh negeri umumnya bertindak sebagai penasihat dalam hukum syarak. Namun sejauh mana nasihat ini boleh diterima dan dipatuhi, semuanya bergantung kepada pemegang kuasa, pemerintah atau Umara. Saya melihat inilah cabaran utama para ulama hari ini.
Pengalaman
Golongan ulama banyak bertugas sebagai penasihat, ada yang menjadi Mufti, ada yang menjadi Panel Syariah di perbankan atau di syarikat-syarikat. Sedikit pengalaman saya sebagai Kadi Besar dan hari ini sebagai Mufti menunjukkan bagaimana para ulama perlu bijak mendekati para Umara. Di tangan merekalah kuasa untuk merubah polisi dan undang-undang.
Bukan saya kata mendekati di sini dengan maksud membodek atau sanggup menjadi pak turut, seperti tuan penasihat Sadiq Segaraga dalam cerita tiga Abdul. Asal saja dapat 25 peratus semuanya boleh. Maksud saya bagaimana hari ini kita berperanan menunjukkan 'permata' itu adalah permata dan bukan dipandang orang ia 'kaca'. Cuma mungkin gaya pendekatan, penghujahan dan metod dakwah yang perlu kita titik berat hari ini. Dengan itulah nanti setiap nasihat ulama akan berupaya membentuk dan dijadikan panduan oleh para umara dan masyarakat. Ulama perlu tegas namun berhikmah dalam menyampaikan dakwah mereka.
Perkembangan terbaru ini sudah nampak baiknya. Namun saya akan terus berjuang moga segala fatwa dan nasihat yang telah diputuskan akan terus dipatuhi oleh pemerintah dan masyarakat. Masih banyak keputusan atau fatwa tinggal terlipat dalam fail-fail muzakarah.
Saya juga mengharapkan institusi fatwa nanti akan kebal daripada tekanan politik serta mempunyai kekuatan untuk ditaati oleh semua pihak sama ada rakyat mahupun pemerintah. Keimanan kita terhadap Islam yang tinggi (Islamuya'lu wala yu'la alaih) dan sokongan Perlembagaan Persekutuan dalam perkara 3 perlu diterjemahkan dalam realiti negara pada hari ini, jika kita terus mahu melihat Islam dihormati. Saya mengharapkan ia menjadi realiti sebelum saya dipanggil Allah SWT satu hari nanti.Sumber : http : //www.utusan.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan