ADALAH sesuatu yang menakutkan untuk membayangkan kerajaan boleh bankrap dalam masa sembilan tahun lagi jika dasar pemberian subsidi ketika ini diteruskan. Inilah yang dibayangkan oleh Makmal Rasionalisasi Subsidi (MRS) yang mana hutang negara dijangka meningkat 100 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menjelang 2019 ekoran pelaksanaan dasar itu. Keadaan itu mengambil kira jumlah pembiayaan subsidi yang ditanggung kerajaan mencecah lebih RM70 bilion setahun.
Sehubungan itu, MRS mencadangkan kerajaan memansuhkan pemberian subsidi bagi mengukuhkan kedudukan ekonomi negara untuk terus berdaya saing. Dari satu sudut, apa yang dicadangkan oleh MRS adalah wajar sekiranya negara mahu mengelak daripada terjerumus ke dalam krisis ekonomi yang lebih memburuk.
Namun, dari sudut yang lain pula, pemansuhan subsidi waima berperingkat dalam tempoh sembilan tahun akan datang bukanlah satu tindakan yang praktikal. Ini kerana perlu diakui, masih terdapat golongan berpendapatan rendah yang memerlukan bantuan kerajaan. Sementelah penarikan semula subsidi juga tidak selari dengan konsep Rakyat Didahulukan yang menjadi salah satu komponen daripada gagasan 1Malaysia.
Subsidi boleh dimansuhkan jika rakyat mampu membeli barangan keperluan asas pada harga sebenar. Malangnya, sebahagian besar daripada rakyat masih tergolong dalam kelompok berpendapatan sederhana dan miskin.
Golongan ini memerlukan bantuan kerajaan dalam bentuk subsidi untuk meneruskan kehidupan di sebalik kos sara hidup yang tinggi, lebih-lebih lagi di bandar besar. Melainkan kerajaan bersedia menyemak semula pendapatan semua sektor pekerjaan di negara ini kepada nilai yang munasabah, masyarakat boleh berkompromi sekiranya subsidi mahu ditarik semula.
Apa yang dapat diperhatikan daripada isu ini adalah pemberian subsidi tidak diuruskan menerusi satu mekanisme yang tersusun.
Subsidi yang turut dinikmati oleh golongan kaya masih lagi menjadi cabaran kepada pelaksanaan dasar ini sehingga hari ini. Beberapa langkah yang diambil seperti program Subsidi Beras Untuk Rakyat (Subur) dan pembelian petrol menggunakan kad pengenalan yang dilaksanakan nampaknya tidak menunjukkan hasil memberangsangkan.
Antara yang sering ditekankan ialah mengenal pasti kumpulan sasaran yang layak menikmati subsidi menerusi pengelasan penduduk kepada tiga kategori iaitu miskin, sederhana dan tinggi. Pengelasan itu perlu mengambi kira beberapa perkara seperti jumlah tanggungan, pendapatan dan kos sara hidup setiap isi rumah.
Maklumat-maklumat itu pula perlu setara dengan lokasi tempat tinggal sama ada di luar, pinggir atau di tengah-tengah bandar besar. Perincian juga perlu dijalankan dengan teliti kerana tidak semua yang tinggal di bandar adalah golongan berpendapatan tinggi dan begitu jugalah sebaliknya penduduk di luar bandar. Maklumat mengenai isu rumah rakyat ini boleh dikumpul menerusi program bancian penduduk yang dijalankan saban tahun oleh Jabatan Perangkaan Malaysia. Menerusi satu pangkalan data khusus mengenai penduduk pula, kerajaan dapat mengenal pasti golongan mana yang layak mendapat subsidi dan sebaliknya.
Dari situ juga, kerajaan dapat merangka satu sistem pemberian subsidi secara terus kepada rakyat yang layak dan tidak lagi menerusi pemberian secara langsung seperti ketika ini. Masalahnya negara ketika ini tidak mempunyai pangkalan data yang lengkap mengenai latar belakang isi rumah. Sebab itulah, program Subur iaitu salah satu subsidi secara langsung kepada penduduk miskin yang sepatutnya dilaksanakan awal tahun ini terpaksa ditangguhkan.
Alasan campur tangan politik bagi menentukan penduduk yang layak menerima subsidi itu menyebabkan ia tertangguh tidak akan berlaku sekiranya kerajaan mempunyai pangkalan data yang lengkap bagi setiap isi rumah. Sistem pemberian kupon itu jika berjalan lancar dan telus boleh menjadi sistem yang sangat berkesan serta cekap.
Misalnya, di Amerika Syarikat (AS), sistem yang hampir serupa dikenali sebagai 'food stamp' sudah memberi manfaat kepada golongan miskin sejak lebih 30 tahun yang lalu. Agak menghairankan kenapa maklumat sebegitu tidak dimuatkan di dalam kad pengenalan bercip MyKad yang dikatakan paling canggih di dunia. Jika aplikasi MyKad itu benar-benar diperluas, kerajaan seharusnya tidak mempunyai masalah untuk mengenalpasti pendapatan isi rumah.
Ia juga boleh menjadi penyelesaian dalam pemberian subsidi petrol kepada golongan sasaran. Kaedah penggunaan MyKad di stesen minyak sebelum ini pernah dicadangkan, namun masih belum dilaksanakan sepenuhnya sehingga hari ini.
Kaedah ini serta pendekatan lain yang dilihat sesuai wajar diperhalusi sebelum kerajaan mengambil keputusan memansuhkan subsidi waima secara berperingkat.
Penarikan semula subsidi dalam keadaan ekonomi rakyat yang tidak menentu ketika ini dibimbangi akan mencetuskan masalah sosial yang lain.
Kerajaan masih mempunyai kira-kira sembilan tahun lagi menjelang 2019 seperti yang dibimbangkan oleh MRS. Tempoh ini sangat kritikal kepada kerajaan untuk menilai semula mekanisme subsidi sama ada diteruskan atau sebaliknya.
Tetapi dalam tempoh itu juga, kerajaan masih mempunyai masa dan peluang untuk memperkemas pemberian subsidi supaya menguntungkan rakyat sekali gus mengurangkan risiko kerugian kepada pendapatan negara. Adalah satu kerugian kepada rakyat dan kerajaan sekiranya subsidi dimansuhkan sepenuhnya sedangkan kerajaan sebenarnya mempunyai pilihan untuk memberikan yang terbaik kepada rakyat.
Sumber : http : //www.utusan.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan