Sabtu, 21 Ogos 2010
KEMALANGAN SIFAR CARA ISLAM
Oleh DR. JASRI JAMAL
Ramadan kembali untuk memberikan kerahmatan kepada umat Islam selama sebulan dan akan disusuli dengan kemenangan pada 1 Syawal nanti. Seperti kebiasaan umat Islam di seluruh negara, kita akan berpusu-pusu pulang ke kampung masing-masing untuk meraikan hari lebaran dengan keluarga tercinta.
Ada yang akan menaiki kenderaan persendirian, bas, motosikal dan kenderaan awam dengan satu matlamat iaitu pulang ke destinasi dengan selamat. Malangnya setiap kali cuti umum atau hari perayaan, maka pokok perbincangan kita adalah kematian disebabkan kemalangan jalan raya.
Masalah ini seolah-olah tiada noktah akhirnya di Malaysia. Setiap hari, media massa menyiarkan dan memaparkan kemalangan ngeri yang menyebabkan kecederaan dan kematian kepada individu tertentu termasuklah orang yang kita kenali dan sayangi.
Paparan oleh pihak media seolah-olah tidak lagi menjadi perhatian masyarakat Malaysia, malahan mereka menerimanya sebagai takdir daripada Allah.
Adakah kemalangan jalan raya yang menyebabkan kecederaan dan kematian adalah takdir daripada Allah? Bagaimanakah Islam melihat kemalangan jalan raya yang menyebabkan kecederaan dan kematian ini dari sudut undang-undang jenayah Islam?
Bagaimanakah Islam sebagai agama yang syumul ini dapat mengurangkan kadar kemalangan maut sekali gus 'kemalangan sifar' di Malaysia? Bagaimanakah Islam melihat kemalangan jalan raya dari sudut maqasid al-syariah iaitu dalam hal menjaga nyawa sama ada nyawa sendiri atau nyawa orang lain?
Statistik menunjukkan bahawa kemalangan jalan raya yang menyebabkan kematian dan kecederaan berlaku hampir setiap hari. Perangkaan oleh Polis Trafik Bukit Aman mengesahkan bahawa kadar kematian rakyat Malaysia di jalan raya meningkat setiap tahun dan konsisten iaitu 6,745 orang pada 2009 dan 6,527 pada tahun sebelumnya.
Sehingga Jun 2010, kadar kemalangan jalan raya yang melibatkan kematian adalah seramai 3,379 dan angka ini dijangka meningkat pada hari-hari perayaan.
Jika dilihat daripada statistik tersebut, secara purata kadar kemalangan maut yang berlaku di Malaysia adalah di antara dua hingga tiga orang dalam sehari. Cuba kita bayangkan, angka kematian dalam seminggu, sebulan, atau setahun hanya disebabkan oleh kecuaian manusia di jalan raya.
Menurut perangkaan yang dikeluarkan oleh Malaysian Institute of Road Safety Reseach (MIROS), bangsa Melayu yang beragama Islam adalah bangsa yang paling ramai maut disebabkan kemalangan jalan raya.
Pada tahun 2008, 62 peratus daripada 10,753 kematian yang dikenal pasti sebagai bangsa Melayu adalah sebanyak 6,703, diikuti bangsa Cina sebanyak 2,190 dan bangsa India sebanyak 1,137.
Jika menurut peringkat umur pula, mangsa yang berumur 18 hingga 30 tahun adalah penyumbang terbesar kematian diikuti peringkat umur 31 hingga 50 tahun. Ini menunjukkan bahawa peringkat umur yang masih muda dan boleh menyumbang kepada pendapatan keluarga, masyarakat dan negara terbunuh di atas jalan raya.
Menurut DSP Zainal Abdul Abdul Hamid dari Cawangan Bukit Aman, faktor utama yang menyumbangkan kemalangan jalan raya adalah sikap manusia sendiri ketika memandu di jalan raya.
Antara kesalahan yang dikenal pasti menyebabkan kematian antaranya pemandu kenderaan yang cuba/sedang memotong/tukar lorong, cuai ketika keluar masuk simpang jalan susur, makan jalan, membuat pusingan U/patah balik/menyeberang, berhenti mengejut, memandu laju, mengekori rapat kenderaan lain, memotong kenderaan lain secara berbahaya atau tiba-tiba, tidak menggunakan isyarat memotong, membelok secara merbahaya, memandu secara cuai, tidak mengikuti peraturan lampu isyarat, melawan arah trafik, tidak menggunakan lampu isyarat ketika hendak mengubah laluan, terbabas, memandu dalam keadaan mengantuk, letih dan pelbagai lagi kesalahan lain yang kesemuanya menjurus kepada kecuaian pemandu itu sendiri.
Umat Islam di Malaysia yang telah diterapkan sikap yang mahmudah sejak dari kecil seperti sabar, bekerjasama, berhati-hati, mendahulukan orang lain, menghormati perasaan orang lain, saling bantu membantu sesama Islam dan hendaklah mempraktikkan amalan mulia yang amat dituntut oleh Islam ketika berada di jalan raya.
Mungkin hubungan kita dengan Allah, hablum min Allah adalah baik terutamanya di bulan Ramadan seperti berpuasa, bertadarus, bersedekah, mengerjakan amalan wajib dan sunat dan amalan-amalan yang baik. Tetapi kita sering terlupa bahawa hubungan kita sesama manusia, hablum min al-nas ketika berada di jalan raya perlu juga dijaga.
Ini kerana jika kita melakukan dosa terhadap Allah dengan melakukan kemungkaran, kita boleh terus memohon keampunan daripada Allah secara terus. Tetapi jika kita menyakiti hati pengguna jalan raya yang lain, seperti memandu laju, cuai, mengekori rapat kenderaan lain, meletakkan kenderaan sesuka hati tanpa mengira perasaan orang lain, tidak memberikan isyarat ketika ingin menukar haluan, berlumba dan tidak mematuhi peraturan dan undang-undang jalan raya, maka dosa itu tidak akan diampunkan oleh Allah kecuali kita memohon maaf daripada individu tersebut.
Oleh itu, hilangkanlah perasaan riak, takbur, ingin menunjuk-nunjuk, tidak bertimbang rasa, pemarah dan tidak sabar ketika berada di jalan raya. Marilah kita budayakan budaya Islam ketika memandu bagi mengelakkan menyakiti hati sesama manusia sekali gus dapat menghindari kemalangan maut yang saban tahun semakin bertambah.
Jika ditinjau dari sudut undang-undang jenayah Islam, kematian disebabkan kemalangan jalan raya dikategorikan sebagai pembunuhan yang tersilap kerana kecuaian. Ini disebabkan pelaku tidak mempunyai niat untuk menyebabkan kematian tetapi kematian tetap berlaku disebabkan kecuaian pelaku di jalan raya.
Ia dikenali sebagai al-qatl bi khata', pembunuhan disebabkan oleh kesilapan. Hukuman bagi mereka yang menyebabkan kematian disebabkan kecuaian ketika memandu boleh dikenakan diyah yang ringan iaitu membayar kepada ahli waris si mati sebanyak 100 ekor unta atau yang senilai dengannya.
Malahan pesalah juga dikehendaki membayar kafarah iaitu memerdekakan seorang hamba, jika dia tidak mampu maka hendaklah dia berpuasa selama dua bulan berturut-turut. Begitu beratnya hukuman bagi mereka yang melakukan jenayah pembunuhan tidak sengaja menurut undang-undang jenayah Islam.
Hukuman ini dianggap adil, setiap pemandu sepatutnya mempunyai sikap berhati-hati di jalan raya dan jika dia menyebabkan kemalangan dan kematian kepada mangsa, pemandu terbabit perlu membayar diyah kepada ahli waris si mati.
Kemungkinan besar, mangsa yang terbunuh adalah ketua keluarga yang menyara anak isteri atau ahli keluarganya dan dengan adanya pampasan bernilai 100 ekor unta atau nilaiannya sama, maka ia dapat meringankan bebanan ahli waris yang masih hidup.
Jika ditinjau undang-undang jenayah di negara lain seperti di Pakistan, pemandu yang memandu dengan melulu dan cuai dan menyebabkan kematian kepada mangsa boleh dikenakan hukuman diyah dan ditambah dengan hukuman takzir yang boleh membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun.
Hal ini jelas dinyatakan di dalam Seksyen 25, Ordinan Berkaitan Dengan Nyawa ( Perlaksanaan Qisas dan Diyah) 1984. Diyah yang dikenakan bernilai 10,000 dirham atau bersamaan dengan 30.63 kilogram perak atau senilai dengan wang semasa. Mungkin sudah tiba masanya pihak kerajaan menilai dan mengetatkan undang-undang jalan raya dengan memasukkan peruntukan berkaitan pampasan kepada ahli waris si mati yang terbunuh di jalan raya disebabkan kecuaian pemandu lain atau sebab-sebab lain.
Sehingga kini, Seksyen 41, Akta Pengangkutan Jalan Raya 1987 (Akta 333) hanya memperuntukkan hukuman bagi pemandu cuai atau merbahaya jika disabitkan hanya akan dikenakan hukuman penjara tidak kurang daripada dua tahun sehingga 10 tahun dan boleh dikenakan hukuman denda tidak kurang RM5,000 hingga tidak lebih daripada RM20,000.
Tiada langsung konsep diyah diberikan kepada waris mangsa yang mana ahli keluarganya terbunuh disebabkan kesalahan pemandu lain atau agensi-agensi lain seperti mengorek lubang di jalan raya tetapi tidak menyediakan papan tanda secukupnya sehingga pemandu jatuh dan mati.
Oleh itu, kutiplah pahala di bulan Ramadan ini sebanyak-banyaknya ketika kita berada di jalan raya. Ia sesuai dengan hadis Rasulullah yang bermaksud: "Mengelakkan bahaya daripada jalan raya adalah satu kebaikan."
Penulis ialah Pensyarah Kanan di Fakulti Undang-Undang, Universiti Kebangsaan Malaysia.
Sumber : http : //www.utusan.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan