Sabtu, 4 September 2010
Buang bayi : Busung luka-luka lama
- ABU ABDILLAH RIDUAN KHAIRI
Isu membuang dan membunuh bayi semakin menjadi-jadi. Yang dilaporkan media sahaja sudah hampir setiap hari. Laporan media adalah ibarat ‘ice berg’, yang tersembunyi jauh lebih besar dari yang nampak.
Masalah membuang bayi bukan masalah sehari atau seminggu. Membuang bayi adalah busung yang terpendam sekian lama dari luka-luka yang lain. Busung membuang bayi bermula dari luka lahirnya anak zina. Adalah sangat pelik atau ajaib anak yang halal dibuang sedemikian rupa. Anak zina lahir dari ‘luka’ perzinaan. Perzinaan lahir dari pergaulan bebas antara lain jantina.
Kata Allah dalam Kitabnya, “Dan janganlah kamu mendekati zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang sangat buruk.” (Surah al-Isra’, ayat 32)
Para ulama menjelaskan bahawa firman Allah Subhanahu wa Ta’ala : “Janganlah kamu mendekati zina”, maknanya lebih dalam daripada perkataan : “Janganlah kamu berzina” yang ertinya : Dan janganlah kamu mendekati sedikit pun juga daripada zina (Tafsir Al-Qurthubiy). Yakni : Janganlah kamu mendekati apa-apa yang berhubungan dengan zina dan membawa kepada zina apalagi sampai berzina (Tafsir Ruhul Ma’aaniy).
Anak luar nikah dan zina
Kelahiran anak zina bukan lagi satu fenomena yang luar biasa. Menurut rekod Jabatan Pendaftaran Negara, dari tahun 2000 hingga 2008 lebih dari 250,000 kelahiran tanpa nama bapa dicatatkan. Tiada nama bapa bukanlah akibat bapa yang mati perang atau isteri ditinggalkan suami, sebaliknya hasil hubungan haram.
Seorang pentadbir di sebuah sekolah di kawasan luar bandar menceritakan, pada setiap tahun guru-guru di situ akan mendapat gelaran ‘datuk’ kerana ‘meraikan’ pelajar yang melahirkan anak zina. Bayangkan, sebuah sekolah luar bandar dan perkara ini berlaku saban tahun.
Manakala situasi di beberapa buah pulau peranginan lebih tragik. Anak gadis tempatan sudah boleh memilih untuk meniduri siapa yang mereka ingin. Lelaki-lelaki tempatan dipandang sebelah mata sahaja, dengan kehadiran pelancong-pelancong asing.
Beberapa kes ini menunjukkan bahawa isu besar yang mendalangi kisah buang bayi ini ialah perzinaan dan pergaulan bebas.
Baru-baru ini sebuah institusi pengajian mengenakan peraturan untuk mengawal pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan. Pelajar lelaki tidak dibenarkan berdua-duaan dalam kereta dan larangan pelajar wanita membonceng pelajar lelaki. Tindakan ini wajar dipuji untuk menjauhi jalan-jalan menarik kepada perzinaan. Namun, sayang sekali tindakan ini mendapat reaksi sebaliknya daripada pihak atasan.
Solusi undang-undang!
Lantas kita tertanya-tanya apakah solusi atau tindakan yang boleh diambil untuk mengekang barah ini daripada merebak. Tidak sedikit jumlah wang sudah dibelanjakan kerajaan untuk melaksanakan bermacam-macam program dan kempen. Namun kesannya masih sangat minimum.
Nanti ada yang bertempik, “tukar kerajaan!”. Atas alasan pihak kerajaan kurang komited dengan isu-isu sosial. Benarkah begitu? Benarkan begitu mudah menangani permasalahan umat dengan hanya menukar parti yang memerintah?
Sejarah moden Amerika mencatatkan, kempen besar-besar terhadap bahaya arak telah pun dilakukan pada awal kurun ke-19. Arak diwartakan haram, dan hukuman penjara dikenakan kepada sesiapa yang meminumnya. Hasilnya, penjara penuh sedangkan masalah arak tidak diselesaikan.
Penguatkuasaan undang-undang atau menggubal undang-undang yang tegas bukanlah jalan pintas untuk membaiki situasi ini. Ini bukan metode yang ditunjukkan dalam sejarah tamadun manusia. Juga bukan metode yang ditunjukkan oleh Nabi Muhammad ketika merubah orang Arab yang bukan siapa-siapa menjadi bangsa yang kuat lagi dihormati.
Solusi metode kenabian
Sejarah Arab pasca Islam mencatatkan kerosakan akhlak dan sosial yang sangat teruk. Tidak kalah bandingnya dengan apa berlaku pada kita hari ini. Semuanya terakam dalam kitab-kitab sirah seperti ‘Raheeq al-Makhtum’ karangan Syaikh Sofiurrahman Mubarakfuri (telah diterjemahkan oleh Yadim)
Ketika al-Quran mula diturunkan di Mekah, orang-orang Arab bergelumang dengan macam-macam kerosakan. Di sebalik arak, zina, judi dan jenayah yang lain, Allah memerintahkan Rasulnya untuk ‘sekadar’ membaca. Melalui lisan Jibrail, Nabi Muhammad disuruh membaca. Bahkan 5 ayat pertama hanya menyebutkan tentang membaca, segumpal darah dan pen (qalam).
Prinsip yang pertama dapat diambil dari situasi ini ialah, setiap situasi perlu ditangani dengan pendekatan ilmiah dan kefahaman yang benar. Kata Allah, “Ketahuilah (fa’lam), Tiada Tuhan layak disembah melainkan Allah” (Surah Muhammad: 19). Untuk beriman sahaja, perlu kepada ilmu dan pengetahuan. Sebesar-besar urusan pun tetap dimulai dengan pengetahuan, apatah lagi menangani situasi sosial. Ia tidak akan berjaya selamanya, selagi kempen dan program sekadar berlegar poster yang emosional atau sambil berkonsert sambil beramal (konon).
Nanti akan ada pula yang tertanya-tanya, yang bobrok akhlak dan sosialnya bukankah sebahagiannya golongan terpelajar. Sebelum menghukum, nanti dulu. Jawapannya ada di sini.
Mentauhidkan Allah
Perintah membaca atau berilmu dalam al-Quran tidak berhenti sebatas 5 ayat. Sunnah mencatatkan ayat-ayat al-Quran berikutnya yang turun di Mekkah membawa satu mesej yang sepunya. Semuanya mengajak umat mentauhidkan Allah dan menjauhi syirik. Lantas bagaimana pula dengan arak, zina, buang bayi dan urusan lain. Adakah Tuhan terlupa, atau Jibrail yang salah memilih bingkisan? Tentu sekali tidak, Allah Maha Sempurna tidak pernah lupa dan lalai walau setengah saat pun. Dan Jibrail tidak pernah ingkar walau pada satu perintah Allah pun.
Sejarah mencatatkan ayat-ayat al-Quran yang diturunkan di Mekah mengutamakan isu akidah yakni memurnikan keyakinan umat dari sebarang bentuk perbuatan syirik. Mesej Allah jelas, jernihkan semula hubungan Allah dan hambanya, nanti Allah akan bantu membaiki masalah-masalah yang lain.
Proses memurnikan tauhid umat ibarat memasang pasak atau cerucuk dalam mendirikan sebuah bangunan. 13 tahun adalah masa yang diambil oleh Rasul untuk menanamkan cerucuk tauhid di dalam dada-dada sahabat. Sehingga mereka sanggup mengorbankan harta dan nyawa untuk melafazkan iman. Kemuncaknya berlaku apabila mereka ‘diusir’ dari kampung halaman, meninggalkan keluarga dan harta. Semuanya adalah kesan dari akidah yang benar.
Ini terlihat di Madinah. Selepas akidah dan keyakinan umat bulat bergantung kepada Allah, setiap perintah-perintah lain ditaati tanpa bantah. Manakala setiap larangan Allah dijauhi tanpa keluh-kesah.
Ketika ayat mengharamkan arak diturunkan di Madinah, umat Islam dengan rela hati pulang ke rumah terus memecahkan tempayan-tempayan arak di dapur-dapur mereka. Sehinggakan ahli sejarawan mencatatkan tanah-tanah kering Kota Madinah seakan-akan banjir dengan limpahan arak yang ditumpahkan. Inilah kesan tauhid dan akidah yang benar.
Jawapan kepada terlibatnya golongan terpelajar dalam masalah akhlak dan sosial ialah ilmu mereka pelajari tidak bertunjangkan akidah yang benar. Tidak memadai dengan hanya menghafal Rukun Iman yang enam atau menilik sifat 20 yang diragui kesahihannya sahaja.
Semoga Allah mengurniakan generasi kita ilmu bermanfaat seperti doa yang diajarkan Nabi,
“Ya Allah, berikan kami ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima” (Hisnul Muslim, Dr Said bin Ali Wahf Al-Qahthani).
Sumber : http://www.sinarharian.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan