Khamis, 13 Januari 2011
ISU PENARIKAN BALIK NOVEL SPM : Kerajaan 'jangan ketar dagu'
Siapa yang menyangka bahawa Interlok, salah satu hasil sastera hebat Malaysia, boleh dicemuh, dibakar dan wajah foto pengarangnya Sasterawan Negara Datuk Abdullah Hussain hangus. Orang itu pula sekelompok masyarakat yang tidak memahami erti sebuah karya sastera, tidak membaca teks berkenaan dan mungkin kerana ada agenda politik tertentu, maka mereka tergamak bertindak liar sedemikian.
Memanglah, kerja membakar sesebuah karya, baik karya apa pun, sama ada teks sastera, agama, falsafah atau pemikiran lain adalah kerja orang-orang yang biadab, tiada adat dan di luar tamadun kemanusiaan. Akibat kandungan dan semangatnya tidak difahami secara keseluruhan, maka orang yang buta budaya dan hakikat sejarah begitu tidak akan malu untuk bertindak lebih jauh lagi, hatta kepada bidang-bidang lain pula.
Bagi saya, kerajaan 'jangan ketar dagu'. Maknanya kerajaan jangan bimbang dalam debar dan ragu, terpengaruh dengan sikap, tabiat dan pandangan serong segelintir warga Malaysia seperti itu yang kebetulannya keturunan India. Saya mempunyai ramai penulis, sasterawan dan sarjana pengajian India, tetapi sejauh bergaul dengan mereka sekian lama, tidak pernah timbul sebarang isu mengenai Interlok.
Interlok sudah berusia lebih 40 tahun dan sejak diterbitkan tidak pernah timbul bantahan. Benar, kalau dikatakan Interlok adalah sebuah karya sastera. Juga benar, jika kita mahu melihat perkembangan sejarah Malaysia sejak ratusan tahun yang lalu berdasarkan fakta sejarah dan kebudayaan.
Interlok telah ditulis indah melalui proses kreatif seorang sasterawan negara yang bijaksana. Jangan sekali-kali kita, bangsa Malaysia, mudah terikut-ikut dengan emosi yang kini sedang menyerang kelemahan pemikiran rasional. Ada puak-puak tertentu sekarang merujuk segala sesuatu atas dasar perkauman semata-mata.
Peristiwa 'tunjuk perangai' sekumpulan 100 penduduk kaum India di hadapan Dewan Sentosa (MPK) Kelang pada 8 Januari 2011 telah mencoretkan tanda hitam dalam persuratan bangsa Malaysia. Kerajaan perlu menegakkan 'berani kerana benar' seperti keberanian penulis Interlok itu sendiri. Kerajaan kena bertegas. Apakah perlu ditakutkan sebab takut itu tandanya diri terikut-ikut kepada pemikiran sempit tanpa bersandarkan ilmu dan fakta.
Saya sendiri mengenali Abdullah Hussain sejak lama. Malahan kejujuran intelektual beliau dan beberapa orang sasterawan dan penulis tanah air yang lain jangan dipandang mudah atau diperlekehkan akibat ikutan kepada kelompok orang yang tidak berilmu.
Abdullah Hussain mempunyai keikhlasan yang tinggi melalui hasil-hasil karya beliau, tidak sepadan dengan gelaran sasterawan bodoh. Satu persatu penghinaan sedang menimpa peradaban bangsa kita sekarang ini. Malahan jika dikaji novel Imam, rujukan lengkap telah Abdullah lakukan, menterjemahkan pengalaman, kesimpulan dan pemikiran tentang konflik dan dilema dalam kehidupan masyarakat Melayu atau umat Islam serantau.
Dunia telah tahu bahawa agama dan tradisi budaya India itu amat rigid sekali. Ini adalah fakta. Jika di India sering terjadi konflik dalaman agama dan budaya mereka, maka kesan psikologi dari sistem kasta India itu sentiasa timbul. Sistem kasta dengan pembahagian strata sosial berasaskan pembahagian seawal kelahiran seseorang manusia dengan Brahmin, Ksyatriya, Vasya dan Sudra tidak dapat terelak lagi.
Malahan istilah parya itu wujud disebabkan ada golongan yang tidak diterima oleh mana-mana golongan tadi. Mereka tergolong sebagai untouchable group, tidak dapat dipegang, disentuh atau masuk ke dalam kategori. Di bawah sistem begitu mobiliti sosial tidak terjadi dengan bebas, maknanya seorang parya itu akan tetap kekal parya. Mereka tidak akan dibenarkan mendaki puncak kehidupannya, hatta cemerlang dalam pendidikan sekalipun. Kastanya akan kekal.
Senario di atas itulah yang cuba dibezakan dan mahu dibandingkan antara negara Malaysia, asalnya Tanah Melayu, berbanding dengan tanah air asal orang keturunan India. Abdullah Hussain tidak sekali-kali menghina, apalagi memandang rendah kepada kaum lain. Kerja tidak matang atau tunjuk perangai itu adalah kerja orang terburu-buru dan kerja budak-budak.
Cubalah fahami bahawa sikap orang Melayu yang sentiasa terbuka - ada prinsip penerimaan, bukan sekadar bertolak ansur dan akomodatif - sudah dibuktikan sejarah sejak ribuan tahun. Jadi sungguh melampau perbuatan melabel dan mengesyorkan karya besar seorang sasterawan negara dibuang mudah akibat tidak celik budaya dan buta sejarah. Rakyat Malaysia sedang menyaksikan agenda politik bagi meraih sokongan kaum India dalam banyak perkara.
Kisah Maniam, watak seorang India dari India Selatan itu adalah pengalaman silam yang boleh dikatakan dilalui setiap orang India. Mereka menjadi perantau dan ternyata apabila memilih Malaysia sebagai tempat mencari rezeki dan tanah baru kediaman, perbezaannya jauh sekali. Di Malaysia, sistem masyarakat induknya tidak ada kasta dan kasta tidak berfungsi di kalangan keturunan mereka sendiri.
Di Malaysia sesiapa pun bebas cari makan, asalkan berikrar setia kepada satu bangsa dan satu negara. Mereka bebas ke mana-mana, hatta bercampur gaul dengan sesiapa jua, termasuk mereka keturunan yang sama dan berada di kasta tertinggi sistem keagamaan Hindu itu. Itulah sistem sosial Malaysia yang mesti difahami semua. Malaysia juga tidak mengamalkan politik kasta.
Interlok sama sekali tidak menghina kaum India. Jadi, kerajaan dan Kementerian Pelajaran mesti menerima hakikatnya. Belajarlah untuk berpegang kepada 'takut kerana salah, berani kerana benar', dan jangan 'ketar dagu' untuk mempertahankan sesuatu kebenaran demi ilmu dan peradaban.
Apa yang dikatakan isu sensitif itu pun tidak sensitif sekiranya dibaca dalam konteksnya. Jika Interlok ditarik balik, maka seolah-olah kerajaan menarik keputusan yang sudah ditimbang terima selepas kajian dan usulan asal perakuan pasukan kajian teks sastera yang memperakukannya. Sikap demikian akan hanya menggambarkan kelemahan pendirian.
Kita mahu mendidik anak bangsa agar tahu sejarah, sahsiah diri dan menghayati sastera, maka selama itulah kita tidak akan cuba memahami persoalan rentas budaya. Babak lama pemisahan akan kekal dan terus menerus akan melebarkan jarak kefahaman tanpa memberikan fakta yang tepat. Pemisahan pula akan hanya merenggangkan lagi hubungan kaum. Prinsip penerimaan adalah salah satu prinsip gagasan 1Malaysia selain menjunjung Perlembagaan dan Rukun Negara serta keadilan sosial.
Pada saya kerajaan tidak perlu menubuhkan pasukan pengkaji untuk menilai semula teks Interlok ini atau dibuat perubahan kandungannya. Pandangan badan-badan bukan kerajaan (NGO), badan bahasa dan sastera, ilmuan persuratan dan tokoh-tokoh sarjana sehingga ini sudah cukup untuk Kementerian bekalkan masukan pandangan kepada Jemaah Menteri.
Kerajaan tidak perlu membuang masa, tenaga dan kos disebabkan segelintir pandangan yang bersifat emosional kerana semuanya bukan kritikan yang membina. Rupa-rupanya di Malaysia sekarang, apa sahaja atau segala sesuatu itu sangat nyata mahu dipolitikkan, walhal politik tidak segala-galanya.
Semua orang hendaklah kembali kepada ilmu dan tradisi keilmuan, bukan bertindak menyalakan api perkauman. Apa sahaja kenyataan perlu diperjelaskan dan sangat tidak bijak seandainya Interlok yang mendukungi tema perpaduan dan kesatuan bangsa Malaysia itu dinyahkan disebabkan kita dipengaruhi kejahilan ilmu yang dibawa orang yang tidak bertanggung jawab.
DATUK A AZIZ DERAMAN
Bekas Ketua Pengarah
Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP)
Kota Bharu, Kelantan
Sumber : http : //www.utusan.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan