PESISIRAN pantai Pulau Sayak, Kota Kuala Muda dekat Sungai Petani, Kedah gempar pada 10 Februari lalu apabila didatangi 'tetamu' asing.
Tubuh agamnya yang berukuran lebih kurang 12 meter dengan berat antara empat hingga lima tan terjelepok di atas celahan batu. Itulah dia, seekor ikan paus malang yang tidak bernyawa lagi. Kejadian ikan paus terdampar di negara ini sebenarnya bukanlah asing. Berdasarkan sejarah Jabatan Perikanan, ikan paus pertama yang direkodkan terdampar di Malaysia adalah pada tahun 1892 di pesisir pantai, 29 kilometer ke arah selatan bandar Melaka.
Selain itu, rekod Utusan Malaysia menunjukkan lebih 12 ekor paus dijumpai di pesisir pantai negara ini sejak tahun 1999 dan ia didapati semakin bertambah saban tahun. Lebih membimbangkan, hampir kesemua mamalia yang dikesan terdampar itu, jarang-jarang ditemui hidup.
Bagi kes Pulau Sayak, pada hakikatnya tiada siapa yang tahu kenapa dan sebab paus yang dipercayai spesies Bryde itu ditemui mati dalam keadaan menyayat hati.
Malah, penduduk bingung kenapa paus berkenaan 'mendarat' di kawasan yang tidak pernah ditemui mereka sebelum ini. Mulalah timbul pelbagai andaian termasuklah dikatakan petunjuk tsunami bakal berlaku semula. Pada tahun 2004, tidak jauh dari tempat itulah kesan bencana tsunami dirasai di Malaysia. Mungkin kepada penduduk di kawasan tersebut, ia satu perkara ganjil kerana tidak pernah melihat kelibat paus mundar-mandir di kawasan perairan yang kaya dengan hasil laut berkenaan.
Sungguhpun begitu, insiden malang itu memberikan signifikan tersendiri. Ini kerana, tidak dapat tidak, kita terpaksa menerima hakikat bahawa hidupan laut diancam kepupusan yang semakin serius sejak akhir-akhir ini. Barangkali kedatangan haiwan ini juga sebagai peringatan buat kita, manusia yang terus-terusan lupa akan tanggungjawab memelihara khazanah alam.
Ikan paus, sama ada spesies Bryde, Fin atau sebagainya merupakan antara enam jenis hidupan marin yang dikategorikan sebagai paling terancam selain dugong, ikan lumba-lumba, ikan yu, penyu dan kerang gergasi kima. Kesemua spesies tersebut dilindungi sepenuhnya di bawah Akta Perikanan 1985 dan Peraturan-peraturan Perikanan (Pengawalan Spesies Ikan Marin Terancam 1999 (Pindaan) 2008.
Jika diamati secara menyeluruh, ancaman kepupusan tersebut merupakan perkara yang perlu diberi perhatian khusus dan sewajarnya, memandangkan ia telah lama berlaku dan masih lagi berterusan sehingga saat ini.
Salah satu faktor kepupusan beberapa spesies ikan ataupun khazanah laut itu adalah ketidakseimbangan antara tekanan daripada kegiatan manusia dan industri perikanan serta keupayaan alam sekitar menjana sumber aslinya.
Selain itu, sesetengah haiwan laut mempunyai kepentingan nilai ekonomi dan ini dieksploitasi dengan pelbagai cara. Antaranya, daging dijadikan makanan eksotik manakala cengkerang ataupun bahagian lainnya dijadikan perhiasan.
Ada juga teori mengatakan, penggunaan alat sonar oleh nelayan dan kapal dagang boleh merosakkan gegendang telinga ikan besar seperti paus yang menyebabkan ia hilang imbangan. Keadaan ini seterusnya menyebabkan mamalia tidak bertenaga melawan arus dan akhirnya cedera atau mati dihanyut ombak laut.
Tambah buruk lagi, sikap manusia sendiri yang menjadikan laut sebagai tempat membuang pelbagai jenis sampah sarap. Tidak hairanlah, masalah tersebut mungkin ada kaitan dengan kematian ikan paus di Pulau Sayak, baru-baru ini.
Benda asing seperti plastik, botol minuman dan gumpalan tali dipercayai menyebabkan usus ikan tersumbat dan sakit sehingga mengakibatkannya tidak berdaya untuk berenang ke habitat asal.
Apapun, kita tidak mahu salahkan sesiapa dalam hal ini. Perkara yang penting ialah satu pemahaman yang lebih ketara mengenai spesies terancam perlu dihebahkan kepada umum dari semasa ke semasa. Pihak berkuasa seperti Jabatan Perikanan dan agensi pelaksanaan undang-undang seperti Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM) serta Jabatan Alam Sekitar juga perlu peka dengan apa yang berlaku di sekitar kawasan pesisir pantai.
Di samping itu, institut penyelidikan ekosistem marin tempatan boleh mengambil inisiatif membiak atau menghasilkan benih-benih spesies ikan terancam. Perkara itu bukanlah sesuatu yang mustahil memandangkan beberapa negara yang mendokong khazanah marin seperti Jepun dan Kanada, berjaya melakukannya.
Pada masa sama, nelayan atau mereka yang mendiami kawasan pantai, harus sedar akan tanggungjawab memelihara keindahan dan kebersihan alam sekitar.
Sekiranya usaha berterusan tidak dilakukan, tidak mustahil dalam masa 30 hingga 50 tahun akan datang, khazanah laut sekitar negara ini akan pupus. Justeru, jangan biarkan suatu hari nanti, generasi akan datang hanya mengenali paus, penyu, dugong dan ikan yu melalui internet atau majalah. Jika benar-benar berlaku, ia suatu yang amat malang.
Sumber : http : //www.utusan.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan