Oleh Abdul Latif Abu Bakar
TATKALA gempa bumi paling kuat dan paling hebat dalam sejarah moden manusia melanda perairan Aceh pada 26 Disember 2004, ia dikatakan gempa bumi paling menggerunkan dalam sejarah moden manusia. Dengan kekuatan 9.1 magnitud, gempa di dasar laut itu mencetuskan ombak besar tsunami.
Di Indonesia saja, sekitar 220,000 orang maut. Bumi Aceh diranapkan dan sehingga ke hari, masih ada kerja pembangunan semula Aceh dilaksanakan.Gempa berukuran 9 magnitud dan menjadikannya gempa bumi kedua paling hebat dalam sejarah manusia serta kekuatannya dikatakan 1,500 kali lebih hebat daripada kekuatan bom atom yang menjadikan Hiroshima, Jepun bagai padang jarak padang terkukur yang membunuh ratusan ribu manusia dan membawa kepada kekalahan Jepun di Asia dalam Perang Dunia Kedua.
Badai besar atau tsunami dari gempa bumi Aceh bergerak sangat hebat sehingga ke Thailand, membunuh ratusan manusia yang berada di tengah-tengah laluannya.
Tsunami itu juga bergerak ke Lautan Hindi dan singgah di kawasan pulau Andaman, India dan meranapkan segala binaan di sana. Badai juga menghentam pinggir pantai Sri Lanka dan menjejaskan teruk ibu negara Colombo.
Jumlah maut sebegitu besar dikatakan kerana negara terbabit tidak menyediakan sistem amaran awal bagi menggerakkan mereka yang tinggal di kawasan kritikal meninggalkan kawasan tempat tinggal.
Negara terbabit termasuk Indonesia, Thailand, Malaysia, India dan Sri Lanka adalah kelompok negara membangun yang kekuatan ekonomi dan teknologi pastinya tidak setanding Jepun.
Tiba-tiba igauan 2004 berlaku lagi dan kali ini di Jepun, ekonomi ketiga terbesar di dunia selepas Amerika Syarikat dan China. Gempa bumi berukuran 9 magnitud, hampir sama dengan kekuatan gempa yang melanda Aceh.
Gempa mencetuskan tsunami yang tidak pernah dilihat manusia sejak tsunami 2004 di Aceh. Seluruh dunia terkejut dan bersimpati.
Pihak berkuasa Jepun dalam kenyataan terbaru menganggarkan lebih 15,000 orang dikhuatiri sama ada terbunuh atau hilang dalam bencana tsunami yang melanda negara itu minggu lalu. Selain itu, 387, 000 orang lagi terpaksa dipindahkan dari kediaman mereka dan ditempatkan di sekitar 2,000 pusat pemindahan sementara.
Agensi Pengurusan Kebakaran dan Bencana pula mengumumkan bangunan atau binaan yang sama ada sebahagian atau keseluruhannya terbakar dalam bencana itu sudah mencecah 100,396 buah. Kekuatan dan kehebatan fenomena alam yang berlaku pada 11 Mac 2011 dikatakan sudah merubah kedudukan pulau utama Jepun kira-kira 2.4 meter dan seperti gempa bumi Aceh 2004, gempa di utara Jepun ini juga dikatakan turut merubah kedudukan paksi bumi seperti yang dicatatkan oleh Jabatan Ukur Geologi Amerika Syarikat (USGS). Institut Kebangsaan Geofizik dan Gunung Berapi Itali menganggarkan gempa bumi berukuran 9 magnitud itu mengalih kedudukan paksi bumi kira-kira 10 sentimeter.
Nilai sebenar kemusnahan di wilayah utara Jepun itu masih dalam penghitungan tetapi anggaran awal menunjukkan kos pembinaan semula rumah, kilang, jalan raya dan jambatan yang musnah itu mungkin mencecah AS$200 bilion.
Ramai khuatir kemusnahan ekonomi akibat gempa bumi kali ini mungkin meninggalkan impak besar dan berlarutan di Jepun. Jika ini berlaku, rantaian kerosakan ekonomi akan berlaku di banyak tempat dunia, termasuk Malaysia. Pemerhati yakin kemusnahan kali ini jauh lebih hebat berbanding gempa bumi Kobe pada 1995. Betapa tidaknya kerana gempa bumi Kobe dicatatkan pada kekuatan 7.2.
Jepun antara negara paling bersedia hadapi bencana berdasarkan perkiraan ilmu manusia menggunakan kemudahan teknologi paling canggih. Menurut pakar tsunami di Universiti Southern California AS, Costas Synolakis, Jepun sudah membina sistem amaran awal menghadapi tsunami.
Kesilapan utama, kata pakar itu kerana Jepun tidak menjangkakan gempa dan tsunami sehebat itu.
Begitulah, apabila alam menunjukkan kehebatannya tidak ada kuasa manusia dapat menyekatnya. Kalau begitu kehebatan fenomena alam, ini membawa kita untuk menginsafi dan akur dengan kehebatan pencipta-Nya.
Manusia mesti menerima hakikat kehebatan alam kerana jika manusia lupa, kehebatan alam tiada tolak ansur. Manusia mesti menerima ketetapan bahawa mereka dan alam wujud sandar -menyandar dan mesti saling berkompromi. Jangan mencabar alam dengan pembangunan tidak terancang dan kerakusan sehinggakan manusia ingin menjadi kuasa menentukan ketetapan alam.
Kita pernah melihat alam menempiaskan kemarahannya dengan kejadian tanah runtuh Bukit Antarabangsa dan keruntuhan Highland Towers. Fenomena alam di Jepun ini banyak mengajar kita dan kita perlu duduk dan banyak-banyak merenung dalam diri.
Sumber : http : //www.bharian.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan