Khamis, 24 Mac 2011

ISU BAHASA : Jujurkah kita terhadap bahasa Melayu?

Oleh Salbiah Ani

TERASA ralat dan pedih apabila membaca perlunya satu kaedah dirangka bagi menilai tahap pencapaian bahasa Melayu di sektor awam dan swasta negara ini minggu lalu dan diberi ruang dalam Indeks Prestasi Utama (KPI) pada semua peringkat eksekutif.

Ini kerana selepas hampir 54 tahun Malaysia merdeka, bahasa Melayu masih berdepan dengan kemelut, meskipun hakikatnya haknya sudah dilindungi seperti termaktub dalam Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan dan Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67 (disemak pada 1971).

Penulis yakin bahawa langkah sedemikian tidak akan timbul pada abad ini sekiranya setiap warganegara mengetahui tanggungjawab, sama ada dalam sektor awam mahupun swasta kerana mereka hidup berlangitkan Malaysia yang mendaulatkan bahasa terbabit sejak pasca kemerdekaan.

Perkara ini sempat penulis bincangkan dengan seorang teman yang turut sependapat bahawa kaki tangan awam khususnya, memang sepatutnya wajib menguasai bahasa Melayu dengan baik kerana syarat pengambilan kakitangan mewajibkan mereka memenuhi aspek terbabit.

“Bukan saja kelulusan atas kertas diambil kira, tetapi juga bahasa pertuturan mereka dinilai dalam sesi temu duga. Begitu juga dengan kenaikan pangkat ke jawatan kanan apalagi sekiranya mereka ditempatkan di luar negara kerana membawa imej negara.

“Amat memalukan umpamanya sekiranya duta Malaysia di luar negara tidak menguasai bahasa Melayu dengan baik kerana bahasa berkenaan adalah bahasa kebangsaan dan rasmi negara, tanpa menafikan mereka juga perlu menguasai bahasa negara tempat mereka bertugas.”

Hakikatnya dengan segala peraturan dari segi undang-undang yang sudah disediakan bagi melindungi bahasa Melayu sejak lama dulu, sepatutnya ia sudah lama menjadi bahasa bermaruah yang dimartabatkan bukan saja di sektor awam, tetapi juga swasta.

Jika sektor awam sejak lama dulu menetapkan bahawa segala urusan dalam semua bidang dengan pihaknya wajib menggunakan bahasa Melayu, pasti sudah lama baik sektor swasta tempatan mahupun luar negara akan memastikan mereka mempunyai pegawai yang mahir bahasa terbabit.

Beberapa negara seperti Indonesia, Cina, Jerman, Jepun, Korea Selatan dan Perancis umpamanya membuktikan dasar mengangkat bahasa ibunda mereka mencapai matlamat, hatta sekalipun untuk menembusi pasaran negara asing.

Bukan saja mereka yang hendak menembusi pasaran negara itu perlu menyertakan sama bahasa ibunda negara terbabit dalam kertas keterangan produk, peraturan yang sama turut dikenakan untuk barangan yang dieksport dari negara terbabit.

“Sekarang ini saya tengok sektor swasta menggunakan bahasa Inggeris untuk berurusan dengan sektor awam. Sepatutnya segala surat-menyurat, urusan dengan imigresen, kastam, tender, pelesenan, perbankan, percukaian, pendaftaran syarikat mewajibkan penggunaan bahasa Melayu.

“Kepada yang enggan menggunakan bahasa Melayu jangan dilayan kerana tidak menghormati undang-undang negara ini. Dengan cara ini, mahu tidak mahu pihak berkenaan terpaksa memastikan mereka menguasai atau sekurang-kurangnya ada kakitangan yang mahir bahasa itu.

“Kita sendiri sebenarnya bersifat munafik terhadap bahasa Melayu kerana enggan menguatkuasakan apa yang sudah ada dalam peruntukan undang-undang negara dan kerap bersikap seperti sumpah-sumpah dalam hal memartabatkan bahasa rasmi.”

Kebetulan ketika penulis menyiapkan bahan ruangan ini terpandang iklan berhubung Permohonan Tajaan JPA Dan MARA Untuk Lepasan Sijil Pelajaran Malaysia 2010 Di Bawah Program Ijazah Luar Negara 2011 yang disiarkan dalam beberapa akhbar.

Penulis tabik hormat kerana iklan berkenaan ditulis dalam bahasa Melayu meskipun ia diterbitkan dalam akhbar berbahasa Inggeris kerana ia menjadi bukti betapa pengiklan sebagai badan yang mewakili kerajaan menghormati peruntukan Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan.

Bagaimanapun penggunaan istilah ‘on-line’ yang diterjemahkan sebagai atas talian yang disertai dengan kurungan bagi memastikan pembaca memahami apa yang dimaksudkan menyebabkan penulis tertawa dalam hati.

Ini kerana terjemahan yang betul untuk istilah terbabit ialah dalam talian dan jika ia dirujuk kepada Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) terlebih dulu sebelum dihantar ke akhbar untuk terbitan, tentu perkara terbabit tidak akan berlaku.

Fikiran nakal penulis membayangkan terjemahan itu seperti melihat sekumpulan semut dalam baris panjang berjalan mencari makanan untuk dikongsi sesama mereka dan ia membawa citra positif iaitu kesepaduan, tetapi bagaimana dengan bahasa Melayu?

Kebetulan juga seorang teman editor ketika mengedit terjemahan wartawannya mengesan kesilapan yang sangat melucukan, ‘a jump in economy’ diterjemahkan secara harafiah sebagai lompatan dalam ekonomi dan bayangkanlah sekiranya itu berlaku.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan