Pengarah projeknya, Rafi Osman Mohamad, 23, berkata idea melaksanakannya timbul September lalu atas dasar mahu melakukan perkara yang dapat mengharumkan nama UM.
Katanya, sebagai pelajar, tergerak di hatinya mahu memberi penghargaan kepada universiti tertua negara itu atas jasanya mendidik anak bangsa.
“Pada mulanya kami merancang melakukan larian mengelilingi kampus dalam tempoh 48 jam, namun terpaksa dibatalkan kerana khuatir tahap kelajuan setiap pelari tidak sama.
“Pihak MBOR mencadangkan kami melakukan larian di atas treadmill bagi memudahkan pihak mereka mengukur kelajuan dan tempoh masa,” katanya.
Menurutnya, acara itu sebenarnya terbuka kepada semua penuntut UM yang mempunyai daya ketahanan fizikal mahupun mental tinggi.
Pada peringkat awal, pihaknya menerima 30 penyertaan namun selepas melalui peringkat saringan bagi mengukur tahap kecergasan, hanya enam layak memikul cabaran itu.
Katanya, antara ujian kecergasan dilakukan adalah ‘multi-stage fitness stage’ bagi menguji tahap kecergasan kardiovaskular.
Tempoh dua bulan selepas pemilihan peserta akhir dijalankan, ia digunakan sepenuhnya untuk melakukan latihan di makmal fizikal UM.
“Mereka perlu menjalani latihan di atas treadmill selama dua hingga tiga jam sehari bagi memastikan tahap kecergasan konsisten.
“Selain latihan fizikal, mereka perlu menjaga pemakanan kerana ia sedikit sebanyak mempengaruhi corak larian,” katanya.
Rafi berkata, sebelum cabaran bermula, dia 80 peratus yakin rakannya berupaya menamatkan larian itu.
Tidak bermaksud menafikan kemampuan mereka, sebaliknya baki 20 peratus itu adalah persiapan jika berdepan masalah teknikal atau kecederaan.
Katanya, peserta dipecahkan kepada dua kumpulan dan mereka melakukan larian secara bergilir-gilir selama dua jam dan berehat empat jam sebelum kembali berlari.
Secara puratanya, setiap pelari berlari 12 kali iaitu bersamaan 24 jam bagi melengkapkan tempoh 72 jam yang ditetapkan.
Larian itu bermula tepat jam 7 malam dengan dua peserta memulakan larian pertama pada 4 Mac lalu dan berakhir pada waktu sama tiga hari kemudian.
Sebanyak tiga treadmill digunakan setiap kumpulan kerana setiap alat senaman itu memerlukan lima jam untuk ‘rehat’ sebelum boleh digunakan semula.
Setiap treadmill diprogram dengan kelajuan 60 kilometer sejam (km/j), justeru, setiap pelari berlari dengan kepantasan sama.
Ditanya mengenai cabaran sepanjang acara itu berlangsung, pelajar tahun akhir Ijazah Sarjana Muda Sains Sukan ini berkata, masalah kecederaan adalah perkara yang sering menghantuinya.
“Antara kecederaan lazim yang mereka hadapi adalah di pergelangan kaki, betis dan paha sehingga ada ketikanya membuatkan mereka mahu menarik diri.
“Sebagai pengarah projek, saya bertindak memberi motivasi dan meniup semangat mereka untuk meneruskan larian,” katanya.
Bagaimanapun, jika kecederaan mereka teruk, dia tidak akan memaksa peserta meneruskan larian kerana bimbang keadaan menjadi lebih buruk.
Acara julung kali diadakan itu juga bertujuan menyebarkan mesej mengenai kepentingan mengamalkan gaya hidup sihat.
Gintell selaku penaja utama menjadikan acara itu sebagai satu tanggungjawab sosial korporat kepada masyarakat di negara ini, khususnya mahasiswa, dalam usaha memberi kesedaran mengenai pentingnya mengamalkan gaya hidup sihat dalam kehidupan.
Bagi See Thiam You, 22, kali pertama pengarah projek mengajaknya menyertai larian itu, dia terus bersetuju tanpa berfikir panjang.
Dia yang sememangnya meminati aktiviti sukan berkata, dia yakin kemampuan dirinya untuk menamatkan larian.
“Mungkin ada orang beranggapan saya terlalu yakin, tetapi bagi saya apabila Rafi (pengarah projek) menawarkan peluang itu kepada saya, dia memang yakin dengan kemampuan saya.
“Saya sering memastikan tidak terlepas walau sekali pun latihan ditetapkan. Walaupun ketika latihan peserta wajib melakukan larian sejauh 6 km, saya biasanya melakukan lebih dari itu,” katanya.
See berkata, tempoh sejam pertama larian itu tidak memberi masalah kepadanya, namun kepenatan mula terasa apabila memasuki jam ketiga dan keempat.
Lebih mencabar apabila dia terpaksa melakukan larian pada jam 3 pagi yang kebiasaannya waktu itu adalah masa untuk matanya ‘berehat’.
“Memang mencabar kerana saya terpaksa menahan rasa mengantuk dan pada masa sama perlu fokus pada larian dan ia hampir saja mengganggu saya.
“Saya mengambil keputusan berbual dengan rakan daripada kumpulan lain bagi menghilangkan rasa mengantuk dan kami saling memberi semangat antara satu sama lain,” katanya yang aktif bermain bola baling dan bola keranjang.
Mohd Nor Hafizan Abdul Hamit, 23, antara peserta yang mengalami banyak kecederaan, terutama pada kaki.
Katanya, selepas selesai tempoh 24 jam pertama, dia mula merasakan kesakitan pada buku lali kedua-dua kakinya.
Ketika itu terlintas juga di hati untuk menarik diri, namun apabila memikirkan usahanya selama 24 jam itu akan sia-sia jika berbuat demikian, dia tekad untuk meneruskan.
“Walaupun tiada siapa memaksa saya meneruskan larian, semangat untuk mencipta rekod Malaysia dan mengharumkan nama UM semakin berkobar-kobar.
“Saya katakan pada diri, jika saya boleh menghabiskan tempoh 24 jam pertama itu, saya pasti boleh menghabiskan baki 48 jam lagi,” katanya.
Menurutnya, ilmu diperolehnya di dalam bilik kuliah banyak membantunya untuk pulih dalam masa singkat.
“Ketika tidur, saya memastikan kaki saya diletakkan pada permukaan lebih tinggi daripada kepala supaya aliran darah tidak melalui bahagian yang cedera itu.
“Malah, penjagaan makanan juga dititikberatkan di mana saya mengelak hidangan berat dalam tempoh dua jam sebelum larian kerana ia akan mengganggu kelancaran larian,” katanya.
Bagi Amirul Syazwan Samad, 22, dia sudah biasa menyertai larian jarak jauh dan cabaran melakukan larian ini tidak menjadi masalah besar padanya.
Walaupun mempunyai pengalaman itu, dia tetap memberi komitmen tinggi dan menjalani latihan ditetapkan.
“Saya meminati larian jarak jauh sejak kecil dan minat itulah membawa saya ke sini (UM). Kebiasaannya saya melakukan larian sejauh 20km hingga 30km.
“Larian di atas treadmill mungkin baru bagi saya tetapi saya cuba mengaplikasikan pengalaman saya sepanjang acara itu berlangsung,” katanya.
Ditanya mengenai perbezaan antara larian jarak jauh dengan di atas treadmill, katanya, kedua-dua larian itu mempunyai cabarannya.
“Larian jarak jauh mungkin ‘tenang’ kerana dilakukan di kawasan terbuka dan pelari lebih relaks di samping dapat membina keyakinan diri.
“Oleh kerana larian atas treadmill ini dilakukan di kawasan tertutup, pelari mungkin berdepan sedikit tekanan dan ketika itu, ketahanan mental memainkan peranan,” katanya.
Anak muda ini antara atlet harapan UM dan meletakkan sasaran memenangi pingat emas acara larian jarak jauh dalam kejohanan Majlis Sukan Universiti Malaysia tidak lama lagi.
PROFIL:
NAMA: See Thiam You
UMUR: 22 tahun
ASAL: Muar, Johor
KELUARGA: Kelima daripada enam beradik
PENDIDIKAN: Tahun ketiga Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Kimia, UM
PROFIL
NAMA: Mohd Nor Hafizan Abdul Hamit
UMUR: 23 tahun
ASAL: Rompin, Pahang
KELUARGA: Kelima daripada sembilan beradik
PENDIDIKAN: Tahun akhir Ijazah Sains Sukan, UM
PROFIL
NAMA: Amirul Syazwan Samad
UMUR: 22 tahun
ASAL: Nibong Tabal, Pulau Pinang
KELUARGA: Sulung daripada enam beradik
PENDIDIKAN: Tahun kedua Ijazah Sains Sukan, UM
INFO:
Larian Bergilir Tanpa Henti di atas ‘treadmill’ dilakukan selama 72 jam
Diiktiraf dalam Buku Rekod Malaysia (MBOR) sebagai larian paling lama
Seramai enam peserta mengambil bahagian
Acara bermula jam 7 malam pada 4 Mac lalu dan berakhir pada jam sama tiga hari kemudian.
Sumber : http : //www.hmetro.com.my/
Cikgu turut tumpang gembira dengan pencapaian ini kerana salah seorang daripada peserta (Mohd Nor Hafizan Abdul Hamit) merupakan bekas pelajar Tingkatan Enam SMKTPPTM Sesi 2006-2007.Syabas!
BalasPadam