Isnin, 28 Mac 2011

ISU AGAMA : Umat Islam perlu berjiwa besar bina tamadun sempurna

Oleh Nik Mustapha Nik Hassan

SUASANA mutakhir di Barat sepatutnya membuka hati umat Islam kepada keyakinan mutlak perlunya membina kekuatan dalam semua aspek untuk membangun tamadun menepati tuntutan Ilahi.

Kejahilan dan perpecahan menyebabkan ummah sentiasa dipermain Barat. Teriakan berbentuk retorik agama untuk membangunkan ummah patut menjadi perkara lampau. Islam dan umatnya hanya boleh dibangunkan dengan asas ilmu yang mantap dan pengikut yang faham serta yakin hanya dengan pendekatan Islam.

Pendekatan sekular yang menumpu kepada pembangunan ekonomi untuk membina peradaban manusia sudah menghasilkan kegagalan ketara kepada kebajikan manusia termasuk keunggulan ekonomi negara terbabit.

Kemiskinan yang melarat, pengagihan kekayaan tidak seimbang, keruntuhan institusi keluarga, akhlak, alam sekitar dan pelbagai masalah kemanusiaan patut membuka hati agar pendekatan alternatif untuk membina peradaban manusia perlu diusaha segera.

Pendekatan membina kemajuan masyarakat dan negara melalui pencapaian pertumbuhan ekonomi jelas mempamerkan, walaupun pertumbuhan ekonomi tercapai masalah lain seperti kemiskinan, pengangguran dan hutang turut mencatat angka membimbangkan.

Contohnya, hutang ekonomi negara maju kini semakin meruncing. Beban hutang sektor awam Amerika Syarikat pada 2010 melebihi AS$14 trilion, meningkat 72 peratus daripada lima tahun lalu. Jumlah ini tidak termasuk hutang sektor swasta yang lebih besar lagi.

Jepun turut mencatat hutang dua kali ganda ekonominya iaitu AS$5 trillion. Mengikut John Lipsky dari Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), nisbah purata hutang negara maju akan melebihi 100 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar tahun ini sejak peperangan dunia lalu.

Keadaan ini akan menempah krisis fiskal yang ketara pada masa depan. Jika dasar fiskal sukar untuk berperanan dengan baik dalam menyusun ekonomi negara, cuba bayangkan apa akan jadi kepada ekonomi negara itu. Persoalan perlu umat Islam ambil iktibar ialah pendekatan Barat yang kita sanjungi tidak boleh lagi dijadikan panduan. Di samping itu, pendekatan dikatakan menurut kehendak syariah juga perlu kepada pengkajian semula.

Pelaksanaannya yang bersifat ‘literal’ tidak menghasilkan natijah berkesan ke arah pencapaian matlamat syariah. Matlamat pelaksanaan mengikut kehendak syariah ialah untuk membina peradaban manusia bukan hanya membicara hal serpihan. Justeru, pendekatan yang bagaimana mampu membawa kebajikan dan kesejahteraan menyeluruh kepada kehidupan manusia keseluruhannya.

Untuk membina peradaban ummah yang kuat bersesuaian suasana semasa, panduan agama yang tepat, sempurna dan menyeluruh berpandukan semangat al-Quran dan al-Sunnah wajib diketengahkan secara terperinci serta realistik keadaan dan tempat.

Ini memerlukan ilmuwan Muslim menguasai ilmu al-Quran dan hadis serta memahami perjalanan sistem hidup semasa untuk membimbing kemajuan ummah.

Keadilan sosial bernegara mengikut Islam dapat difahami sebagai suasana apabila sektor awam dalam negara pada asasnya dapat menyedia keperluan hidup asasi rakyat dengan pembinaan keimanan individu Muslim melalui sistem pendidikan.

Menaikkan taraf daya kemahiran hidup untuk semua lapisan masyarakat, memberi kebebasan dan jaminan perundangan, memberi jaminan untuk menentu atau berusaha bersama dalam kegiatan ekonomi dan berusaha membina tamadun utuh untuk generasi masa depan.

Dengan kata lain pendekatan kepada amalan perniagaan adalah untuk memberi kesejahteraan dan kebajikan kepada seluruh masyarakat. Pendekatan ini memerlukan amalan ikhlas dan kecekapan dalam urusan perniagaan. Abad ke-21 ini adalah era pertembungan tamadun. Justeru, untuk umat Islam menonjol dan menjadi ikutan, perlu berjiwa besar dan jujur membentuk kemajuan ke arah membina sebuah tamadun sempurna dan mulia.

Penulis ialah Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan