KUALA LUMPUR: Kontroversi membabitkan novel Interlok tidak harus menjadi penghalang kepada golongan karyawan untuk terus menghasilkan karya sastera yang bermutu, kata Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim.
"Apa yang berlaku di luar bidang kawalan penulis. Jadi kita nak beritahu penulis jangan takut walaupun Interlok sudah ''dikunci'' begitu. Teruskan menulis dan lahirkan pemikiran yang tajam dan tinggi tamadunnya," katanya.
Bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Sastera Pelbagai Kaum: Karya dan Aktiviti Sastera Sebagai Wahana Integrasi Nasional di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) di sini hari ini, Rais berkata, apa yang berlaku kepada karya Interlok tidak semestinya akan berlaku pada masa hadapan.
Walaupun Interlok sudah dibuat sedemikian, tidak semestinya ia terus menerus begitu. Yang saya hasratkan ialah buat masa depan, apabila sesuatu buku sastera itu sudah diterima, tidak wajar bagi kita untuk mengubahnya sekiranya buku itu sudah diterima sebagai buku sastera negara.
"Ini mesti saya katakan demi menjaga maruah kesusasteraan tanah air," katanya.
Novel Interlok karya Sasterawan Negara, Datuk Abdullah Hussain, menjadi kontroversi setelah diperkenalkan sebagai teks komponen sastera bagi mata pelajaran Bahasa Malaysia untuk murid Tingkatan Lima di Zon 2 iaitu di Kuala Lumpur, Putrajaya, Selangor dan Negeri Sembilan, kerana mengandungi beberapa perkataan yang tidak disenangai masyarakat India.
Kerajaan bagaimanapun bersetuju untuk membuat pindaan pada bahagian yang dianggap sensitif itu.
Rais berkata, penulis perlu diberi kebebasan dalam berkarya.
"Ini satu pendekatan yang saya sendiri perlu memberi takrif yang jelas. Saya masih tergolong dalam pihak yang memberi kebebasan kepada penulis melahirkan buah fikirannya," katanya.
Rais berkata, peranan bahasa Melayu dalam membina masyarakat pelbagai kaum di negara ini tidak boleh diambil ringan.
Katanya, seminar yang dianjurkan Aswara, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) serta Persatuan Penterjemahan dan Penulisan Kreatif Malaysia (Perspektif) hari ini adalah langkah awal dalam melahirkan penulisan yang bernilai antara penulis Melayu dan bukan Melayu.
Beliau berkata, kementerian akan bekerjasama dengan DBP dan Aswara dalam usaha memartabatkan bahasa Melayu demi menyatukan masyarakat pelbagai kaum, selaras dengan konsep Gagasan 1Malaysia.
Pada seminar itu, satu memorandum persefahaman ditandatangani antara Rektor Aswara, Datuk Dr Mohamed Najib Ahmad Dawa, Ketua Pengarah DBP, Datuk Termuzi Abdul Aziz dan Presiden Perspektif, Goh Hin San untuk bekerjasama dalam usaha memberi bimbingan kepada penulis menghasilkan karya bermutu. - BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan