Isnin, 7 Mac 2011

ISU ANTARABANGSA : Sastera sumbang kejatuhan Hosni Mubarak

Oleh Hafizah Iszahanid
hafiza@bharian.com.my

KUASA rakyat menumbangkan Hosni Mubarak dalam masa dua minggu. Bagaimanapun, kekuatan itu sudah terkumpul terlalu lama. Di Mesir, kesusasteraan adalah antara kuasa paling penting. Justeru, bunga penentangan itu sudah wujud sejak berdekad lamanya. Golongan wartawan dan penulis yang marah dengan Hosni Mubarak sudah mula menulis mengenainya.

Di Mesir, kesusasteraannya selalu dikaitkan dengan politik, malahan penulis adalah golongan yang memainkan peranan penting dalam kehidupan masyarakat dan sebelum 1940, penulisan kesusasteraan kerap kali terarah kepada politik. Tulisan penulis mapan seperti Abdel Rahman Sharkawi dan Youssef Idris, selalunya bertumpu pada isu sosial.

Sonallah Ibrahim yang pernah dipenjarakan kerana dikaitkan dengan komunisme, antara penulis Mesir yang popular dan dikenali dengan karya satiranya. Ketika dipenjarakan, Sonallah sempat menulis mengenai realiti kehidupan di penjara Mesir melalui novelnya, Tilk al-Ra’eha, bagaimanapun pada 1966 ia diharamkan sebelum sempat dipasarkan!

Zaat kemudiannya lahir pada 1992. Novel yang berlatar masakan zaman pemerintahan Gamal Nasser, Anwar Sadat dan Hosni Mubarak, berkisar kepada masalah kemiskinan di Mesir. Hosni Mubarak menyedari mengenai Zaat dan beliau pernah dilaporkan berkata, “kita tidak patut malu adanya orang miskin di Mesir. Namun apa yang kita perlu buat ialah menulis mengenai negara ini yang bertamadun kerana kita mahu menarik pelancong”.

Sonallah dalam novel yang lain pula menulis mengenai watak yang menentang sejarah dunia Arab seperti dalam Beirut (1984) yang mengangkat perang di Lubnan, manakalaWarda (2000) berlegar pada revolusi Arab pada awal 1970 yang diketuai seorang wanita.

Novel, Stealth yang mengambil masa 40 tahun untuk disiapkan dan turut diterjemah ke dalam bahasa Inggeris, dianggap antara novel terbaik Sonallah.

Selain Sonallah, ramai pengkaji sastera Arab mendapati banyak karya sastera yang menulis mengenai tekanan kehidupan di bawah pemerintahan Hosni Mubarak. Pemenang Hadiah Nobel, Naguib Mahfouz juga berbuat demikian. Selain itu, Alaa Al-Aswany dalam The Yacoubin Building, novel popular mengenai sebuah apartmen di Kaherah adalah karya satira kepada seluruh Mesir.

Wajah Mesir abad ke-20 turut ditulis dalam memoir Taha Hussein, The Days yang bercerita tentang pendidikan, hilangnya kedudukan di universiti dan penulisan kontroversinya mengenai Islam di Mesir, sebingga beliau dianggap sebagai ‘hero’ budaya.

Selain penulis Mesir sendiri, penulis dan wartawan barat juga turut menulis mengenai isu sama dan antaranya, seorang wartawan, Max Rodenbeck yang menulis Cairo: The City Victorious is a cultural and social history of the Arab world’s largest city. Kemudian Mary Anne Weaver yang menulis A Portrait of Egypt examines Egyptian society in the 1990s, yang bercerita tentang politik di bawah Hosni Mubarak.

Dalam tahun kebelakangan golongan ini dan intelektual berdebat mengenai evolusi dalam pergerakan pembangkang utama di Mesir, selain pengkaji sastera Arab yang tertarik dengan perubahan itu, membincangkan mengenai tulisan sesetengah penulis di Mesir yang mula berani mengkritik Hosni Mubarak.

Malah kritikan terhadap Hosni juga dilakukan oleh penulis barat seperti Barry Rubin dalam The Muslim Brotherhood, Lawrence Wright ( The Looming Tower), Lee Smith (The Strong Horse) turut bercerita mengenai manipulasi sentimen popular dan usaha mengekalkan kuasa.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan