Kes penderaan dan penganiayaan terhadap pembantu rumah asing (PRA) di negara ini sering mendapat perhatian meluas media tempatan dan luar negara walaupun ia dianggap kes terpencil.
Bagaimanapun, kes-kes membabitkan penderaan terhadap majikan yang dilakukan pembantu rumah masing-masing kurang mendapat perhatian dan jarang disiarkan media.
Majikan sering dibebani dengan masalah PRA lari dan kes-kes kehilangan barangan sehingga menyebabkan berlaku tekanan mental dan kesusahan yang tidak dapat digambarkan melalui media.
Secara umumnya, undang-undang di Malaysia tidak menyebelahi mana-mana pihak sekiranya mereka melakukan kesalahan.
Ketua Pengarah, Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia, Datuk Sheikh Yahya Sheikh Mohamed, berkata di bawah Akta Kerja 1955, majikan atau pekerja yang melanggar kesalahan diperuntukkan, tindakan akan dilakukan bagi memastikan mereka dianiayai diberi perlindungan sewajarnya.
Di samping itu, sekiranya ia melibatkan kes-kes jenayah dan imigresen, pegawai polis dan imigresen akan mengambil tindakan bagi memastikan pihak yang teraniaya mendapat pembelaan sewajarnya.
“Pada masa ini, isu berkenaan masih terkawal dan kerajaan melalui agensi berkaitan sentiasa mengambil tindakan bagi memastikan isu-isu yang membabitkan PRA dapat ditangani dengan lebih berkesan.
“Tidak dinafikan, isu penderaan yang membabitkan PRA khususnya dari Indonesia sedikit sebanyak menjejaskan hubungan kedua-dua negara.
"Bagaimanapun, tindakan telah diambil kerajaan bagi memastikan isu yang berbangkit dapat diselesaikan dengan sebaik mungkin bagi mengelakkan ia menjadi lebih serius," katanya.
Dalam isu ini, pihak Polis Diraja Malaysia PDRM), Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), dan Jabatan Tenaga Kerja, Kementerian Sumber Manusia (JTKKSM) adalah agensi yang bertanggungjawab memberi perlindungan dari segi perundangan sekiranya berlaku masalah membabitkan jenayah, imigresen dan kebajikan perburuhan seperti penderaan, kes barang hilang, penyalahgunaan pasport, tidak dibayar gaji dan sebagainya.
Menurutnya, agensi berkenaan mempunyai peranan masing-masing bagi memastikan kes-kes berlaku dapat ditangani dengan baik, terutama PDRM berkaitan dengan kes jenayah, KDN/JIM (imigresen) dan JTKKSM (perburuhan).
Pada masa ini, Indonesia adalah pembekal tenaga kerja terbesar berbanding negara-negara sumber lain. Antara faktor mendorong majikan di Malaysia mengambil PRA dari negara berkenaan ialah sistem penggunaan komunikasi dan bahasa, lokasi/geografi/demografi serta pendekatan sosiobudaya hampir sama.
Selain itu, kerajaan juga mengadakan kerjasama dengan lapan lagi negara sumber seperti Thailand, Filipina, Sri Lanka, India, Laos, Nepal, Vietnam dan Kemboja.
Namun, negara sumber berkenaan tidak dapat memenuhi permintaan tinggi, di samping kecenderungan majikan yang lebih berminat untuk mengambil PRA dari Indonesia.
Malah, kerajaan pada masa sekarang menyarankan negara sumber sedia ada terus digunakan tanpa menambah negara sumber baru selaras dengan dasar kerajaan mengurangkan penggunaan tenaga kerja asing.
Seperti diberitahu sebelum ini, pengambilan PRA dari Indonesia masih relevan dan ia merupakan negara sumber terbesar membekalkan PRA ke negara lain.
“Di samping mempunyai persamaan dari segi bahasa, budaya dan adat resam dengan rakyat di negara ini, mereka juga merupakan jiran yang mempunyai pertalian rapat dengan negara ini, khususnya dari segi sejarah dan pertalian keluarga," katanya.
Persamaan ini menyebabkan kebanyakan majikan di negara ini lebih berminat mengambil PRA dari negara berkenaan berbanding negara sumber lain.
Beliau berkata, pada masa ini, pihak kerajaan tidak bercadang untuk mewujudkan geran atau subsidi bagi menggalakkan pengambilan PRA di negara ini.
Menurutnya, faktor kelayakan dan juga kemampuan adalah di antara perkara penting yang perlu diberi penekanan sebelum kebenaran diberikan untuk mendapatkan khidmat PRA (syarat-syarat pengambilan dan kelayakan mendapat khidmat PRA boleh dirujuk kepada pihak KDN).
Berdasarkan pengamatan pihak kerajaan, pengambilan PRA menjadi satu keperluan kepada rakyat di negara ini, khususnya yang berkerjaya, walaupun tujuan asalnya hanya dibenarkan kepada mereka yang mempunyai ahli keluarga mempunyai masalah kesihatan dan penjagaan ahli keluarga seperti anak-anak.
Senario semasa telah berubah apabila ramai suami isteri yang berkerjaya memerlukan khidmat PRA dan bukan lagi dilihat sebagai kehendak semata-mata.
Seperti dinyatakan sebelum ini, pihak kerajaan tidak bercadang untuk mewujudkan skim bagi membolehkan ramai rakyat yang memerlukan PRA mendapat kemudahan tersebut.
Katanya, tujuan utama kerajaan membenarkan pengambilan PRA adalah disebabkan permintaan pelbagai pihak, khususnya rakyat yang bekerja.
Walau bagaimanapun, kerajaan telah menetapkan beberapa syarat kepada bakal majikan sebelum pengambilan PRA dibenarkan. Antaranya kemampuan dari segi pendapatan di antara RM3,000 – RM5,000 mengikut PRA dari negara sumber yang hendak digajikan, mempunyai ahli keluarga yang mempunyai masalah kesihatan, mempunyai anak-anak kecil dan mempunyai isteri yang bekerja (ibu tunggal bekerja juga dibenarkan).
Sheikh Yahya berkata, ketika ini kerajaan sentiasa memantau operasi Agensi Pekerjaan Swasta (APS) yang menjalankan operasi bagi mengambil PRA masuk ke negara ini.
Dalam masa sama, kerajaan menjalankan proses pemantauan berterusan berkenaan dengan isu-isu ini dan menetapkan syarat supaya pihak agensi mendaftar sebarang maklumat mengenai pekerja yang digajikan di bawah agensi berdasarkan peruntukan ditetapkan mengikut Akta Agensi Pekerjaan Swasta 1981.
Sumber : http : //www.sinarharian.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan