Kemiskinan berkait rapat dengan status sosial. Orang kaya walaupun tidak bermoral biasanya lebih dihormati dari yang miskin.
Dalam konteks lebih luas segala yang kurang daripada piawai adalah miskin. Jika seseorang miskin minda bermakna ia kurang berilmu, miskin hati bermakna kurang budi pekerti dan miskin badan bermakna kurang kesihatan.
Dalam bahasa mudah kemiskinan adalah kekurangan dalam keperluan hidup, kerap disinonimkan dengan kekurangan makanan, pakaian dan perlindungan.
Berbincang tentang isu kemiskinan bukanlah perkara baru. Pendeta Za’ba pada 1923 pernah menulis berkaitan dengan kemiskinan menerusi rencana Kemiskinan Orang Melayu dan Jalan Keselamatan Orang Melayu. Za’aba merumuskan kemiskinan orang Melayu adalah kerana mereka miskin hemat dan cita-cita, miskin pada pelajaran dan latihan pengetahuan.
Memperbaiki ilmu pengetahuan adalah jalan keluar untuk membasmi kemiskinan. Pada 1957, Prof Ungku Aziz ada menulis rencana bertajuk Zahir dan Batin Ekonomi Melayu membincangkan tentang punca kemiskinan di kampung iaitu hasil usaha yang kecil, penindasan dan tiada pembelaan.
Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang diperkenalkan pada 1971 juga bermatlamat untuk menyusun semula masyarakat dan membasmi kemiskinan. Prof Muhammad Yunus penerima hadiah Nobel pada 2006 adalah individu yang bertanggungjawab menubuhkan Bank Grameen dalam usaha membasmi kemiskinan di Bangladesh menerusi pinjaman kredit mikro.
Mengapakah pentingnya membasmi kemiskinan dan adakah kemiskinan itu boleh dihapuskan? Kestabilan dan kerukunan hidup bermasyarakat diukur daripada keharmonian hidup, kurangnya jenayah dan pertembungan sosial antara kelompok kaya dan miskin. Oleh sebab itu menjadi tanggungjawab kelompok kaya untuk membantu yang miskin dan pihak yang miskin mesti terus berusaha untuk keluar dari belenggu kemiskinan.
Rasulullah SAW bersabda agar menjauhi kemiskinan kerana ia boleh membawa kekufuran. Benjamin Franklin mencetuskan bahawa kemiskinan akan mengambil semua semangat dan kekuatan yang dimiliki oleh seseorang. Oleh itu berusahalah supaya tidak menjadi miskin.
Isu kemiskinan tidak mengenal usia. Fokus yang harus tidak dipinggirkan ialah kemiskinan dalam kalangan golongan belia. Kira-kira 43 peratus atau hampir 12 juta penduduk di negara ini adalah golongan belia. Walaupun mereka ditakrif berumur dari 15 hingga 39 tahun, namun belia yang berusia 25 tahun ke atas biasanya sudah berkahwin dan mula menjadi ketua isi rumah. Ia mungkin seawal usia remaja apabila dalam kes-kes tertentu bapa mereka meninggal dunia dan beban tanggungjawab berpindah kepada belia-belia.
Penyelesaian isu kemiskinan merupakan sesuatu yang kompleks kerana punca seseorang menjadi miskin adalah berbeza dalam kalangan setiap individu. Antara faktor yang menyebabkan kemiskinan ialah kematian ketua keluarga, keadaan ekonomi semasa, kehilangan pekerjaan serta sikap dan mentaliti individu. Faktor ini adalah berbeza di antara satu sama lain dan penyelesaian juga berbeza.
Ini tidak termasuk pendekatan yang berbeza antara miskin bandar dan luar bandar. Walau bagaimanapun secara umumnya kemiskinan belia berkaitan rapat dengan isu pendidikan, peluang pekerjaan dan perumahan.
Keberkesanan program membasmi kemiskinan biasanya diukur dari jumlah pendapatan keluarga melebihi pendapatan garis kemiskinan (PGK). Di Malaysia PGK ialah sebanyak RM720. Jumlah ini boleh diperdebatkan kerana di kawasan bandar pendapatan keluarga di bawah RM2,000 juga boleh dikategorikan sebagai ‘miskin’.
Membasmi kemiskinan adalah bertitik tolak daripada usaha meningkatkan pendapatan dan mengurangkan beban isi rumah. Sehubungan dengan itu aspek pendidikan adalah sangat penting. Pendidikan sama ada bersifat formal atau tidak, akademik atau kemahiran merupakan pengetahuan yang mesti dimiliki oleh belia. Peluang meningkatkan tahap pendidikan mesti direbut oleh belia. Pujian wajar diberikan kepada kerajaan kerana menawarkan kursus melalui institusi seperti Giat Mara, Kolej Komuniti dan Institut Kemahiran Belia.
Belia-belia mesti mempunyai kemahiran mengenal potensi diri. Potensi inilah yang diterjemahkan dalam bentuk pengeluaran produk atau memberi perkhidmatan dan boleh disesuaikan dengan kehendak pasaran pekerjaan. Potensi yang disesuaikan dengan kehendak pasaran akan menjadikan usaha tersebut mendapat imbuhan kewangan. Wang membeli makanan, pakaian dan perlindungan. Oleh itu peluang pekerjaan tidak hanya semata-mata mengharapkan pihak kerajaan dan swasta, tetapi pada masa sama dicipta oleh belia-belia ini.
Perumahan menjadi isu dalam kalangan belia, tidak kira di kawasan bandar dan luar bandar. Bukan menjadi rahsia lagi apabila pasangan muda yang baru berkahwin tinggal bersama ibu bapa mereka kerana ketidakmampuan memiliki rumah. Masalah bertambah rumit dari sudut sosial apabila lebih dari dua kelamin tinggal di dalam sebuah rumah. Ini ditambah lagi dengan masalah ketiadaan peluang kerja di bandar dan mereka pulang ke kampung membawa keluarga tinggal bersama ibu bapa.
Menerusi Bajet 2011, Perdana Menteri telah memperkenalkan inisiatif kerajaan terhadap Projek Bantuan Perumahan Bandar, Program Perumahan Rakyat dan Projek Bantuan Sewa Rumah. Inisiatif sebanyak RM568 juta mestilah dimaklumkan secara menyeluruh dan belia-belia serta pasangan muda perlu mendapat kuota yang khusus.
Membasmi kemiskinan memerlukan tindakan yang menyeluruh antara pemerintah, golongan kaya dan miskin. Golongan miskin mesti bersedia untuk berubah minda dan tindakan, golongan kaya berperanan memberi bantuan dan pertolongan apabila melihat individu miskin, manakala pemerintah juga mesti menyediakan iklim kehidupan harmoni dan menggerakkan inisiatif untuk membasmi kemiskinan.
Ahli falsafah British, George Bernard Shaw menulis, kemiskinan adalah jenayah yang paling dahsyat, segala kejahatan yang ada, berkumpul dalam kemiskinan. Jom marilah kita berubah keluar dari belenggu kemiskinan!
* Penulis ialah Naib Presiden MAYC Kebangsaan
Sumber : http : //www.sinarharian.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan