Oleh Teo Kok Seong
teokok@ukm.my
Penggunaan satu bahasa pertuturan elak kecelaruan jati diri
MAKLUM balas kerajaan untuk meneliti kemungkinan dikembalikan Dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) dalam bentuk baru, iaitu penggunaan dua bahasa pengantar berlainan, bahasa Melayu dan bahasa Inggeris untuk dua kelompok pelajar, menimbulkan dua reaksi yang bertentangan. Ia disenangi oleh mereka yang inginkan PPSMI diteruskan. Sebaliknya, ia tidak dipersetujui oleh mereka yang inginkan hanya bahasa Melayu digunakan sebagai bahasa ilmu di negara ini.
Dalam hal kemungkinan ini, bahasa, sama ada bahasa Melayu mahupun bahasa Inggeris ataupun yang lain, dilihat sebagai semata-mata wahana untuk menyampaikan ilmu. Justeru, penggunaan mana-mana bahasa ini serta yang lain-lain khususnya sebagai alat untuk menyatakan pemikiran, merakamkan fakta serta menukar maklumat adalah lebih daripada sudah memadai. Fungsi asas bahasa begini dapat dimainkan oleh mana-mana bahasa moden, yakni yang telah dibakukan.
Dengan kata lain, untuk sekadar menyampaikan idea atau bertanya untuk memperoleh maklumat kita boleh menggunakan mana-mana bahasa yang menjadi pilihan kita. Syarat utama dalam hal ini ialah bahasa yang digunakan itu perlu difahami bersama. Inilah satu-satunya fungsi bahasa yang diketahui umum. Akan tetapi, ia bukanlah satu-satunya fungsi bahasa yang wujud atau cara tunggal ketika kita menggunakan bahasa.
Bahasa mempunyai banyak fungsi lain. Fungsi komunikasi adalah salah satu daripadanya dan sebetulnya ia adalah fungsi yang kecil saja. Sehubungan pelbagai fungsi lain ini, bahasa antaranya digunakan sebagai penanda jati diri, baik yang bersifat etnik mahupun nasional. Ia juga digunakan sebagai wahana untuk mengungkapkan budaya sesebuah kelompok itu. Bahasa adalah juga sumber perpaduan kaum dan integrasi nasional.
Ia juga adalah faktor penentu utama dalam pembentukan negara bangsa dan pembangunan negara itu sendiri. Bahasa adalah antara elemen yang paling sesuai digunakan untuk tujuan penyatuan dan pemupukan kesedaran kebangsaan, selain pelbagai tujuan kenegaraan yang lain. Hal ini sudah terbukti di merata tempat seluruh dunia.
Aspek politik bahasa inilah yang perlu diambil kira dalam isu PPSMI. Sehubungan ini, bahasa Melayu selaku bahasa negara ini, perlu dipastikan adalah faktor jati diri paling penting bagi menyatakan ciri, sifat, perasaan dan kepercayaan rakyat negara ini, yang dapat dibezakan dengan rakyat negara lain. Pernyataan begini menerusi bahasa Melayu bukan saja mampu membentuk jati diri nasional, tetapi juga semangat kebangsaan.
Pada kelazimannya, semangat kebangsaan, khususnya kecintaan terhadap negara dan jati diri nasional, lebih-lebih lagi pameran citra yang sama mana-mana negara diungkapkan dalam bahasa negara berkenaan. Bahasa negara adalah pengungkapan perasaan etnonasional yang paling dasar. Sehubungan ini, malangnya elit sesetengah negara didapati lebih selesa mengungkapkan jati diri nasional mereka melalui bahasa Inggeris, jika dibandingkan dengan bahasa negara mereka sendiri.
Dalam isu PPSMI yang antaranya adalah pertikaian mengenai kemampuan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu untuk bidang sains dan teknologi pada zaman globalisasi ini, bahasa Melayu sebetulnya memiliki warisan budaya yang amat mengagumkan untuk memikul tugas ilmiah ini. Sehubungan ini, kecemerlangan bahasa Melayu pada masa lampau sebagai lingua franca ikut menjadi landasan kuat kepada kemantapannya pada waktu kini sebagai bahasa ilmu tinggi.
Dengan warisan sedemikian, bahasa Melayu adalah pilihan tepat untuk memaju rakyat dan negara Malaysia pada setiap masa, dulu, kini dan akan datang. Pada masa dulu, khususnya selepas kemerdekaan, kerajaan menggunakan kaedah pujukan untuk merayu kepada semua rakyat agar menggunakan bahasa Melayu dalam kapasitinya sebagai bahasa negara. Kaedah ini selain proses perlahan didapati kurang berkesan dalam mencorakkan perwatakan kebangsaan pada sesetengah sektor rakyat Malaysia dengan menggunakan bahasa Melayu.
Untuk masa ini dan akan datang dalam usaha menangani masalah penggunaan ini, kerajaan perlu menggubalkan dasar yang boleh menghasilkan penyatuan bahasa yang lebih cepat. Untuk ini, barangkali kaedah yang lebih keras diperlukan. Ini penting sekali untuk tujuan penyatupaduan rakyat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum. Sehubungan ini, kerajaan perlu mengangkat hanya bahasa Melayu sebagai bahasa perantara untuk interaksi yang merentas etnik yang amat diperlukan untuk perpaduan kaum dan integrasi nasional. Bahasa Melayu saja yang mempunyai kelebihan ini di negara ini.
Dalam hal ini, kerajaan perlu menggunakan bahasa Melayu saja selaku bahasa negara untuk menggerakkan seluruh rakyat untuk tujuan kenegaraan, khususnya memupuk kesedaran kebangsaan dan membentuk jati diri nasional. Jika bahasa Melayu tidak berjaya digemblengkan untuk tujuan ini, bahasa Melayu boleh dikatakan gagal berfungsi sebagai bahasa negara.
Sesungguhnya kejayaan atau kegagalan bahasa negara berfungsi dengan baik, khususnya dalam melaksanakan peranan menasionalkan rakyat, dalam erti kata mereka memiliki perwatakan kebangsaan, terletak di tangan kerajaan.
Pelaksanaan Dasar Bahasa Negara adalah tanggungjawab kerajaan. Sehubungan ini, kerajaan mempunyai kuasa penuh untuk mempromosikan bahasa Melayu sebagai bahasa negara.
Untuk bahasa Melayu mendukung peranan menasionalkan rakyat ini dengan lebih berkesan, ia perlu diinstitusikan dalam sistem pendidikan kebangsaan, sebagai satu-satunya bahasa untuk tujuan penyatupaduan dan kemajuan negara. Ini perlu dilakukan dengan hanya menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa negara untuk mendukung pelbagai fungsi politik.
Fungsi politik ini perlu digemblengkan melalui saluran pendidikan, yang hanya menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama. Dalam konteks ini, kerajaan perlu bijak memanipulasikan bahasa Melayu, bukan saja untuk membentuk rakyat yang bangga, sayang dan setia kepada bahasa negara mereka. Tetapi juga bagi menyalurkan pelbagai nilai kenegaraan yang lain. Untuk melakukan semua ini dengan jayanya, kerajaan perlu melestari dan mengabsahkan bahasa Melayu pada setiap masa dan sekali-sekala menjadikannya relevan dengan perkembangan semasa.
Semua ini adalah untuk memastikan maruah budaya pada bahasa Melayu sentiasa dipelihara. Dengan hanya menggunakan bahasa Melayu, kesatuan budaya seluruh rakyat Malaysia terus berada dalam keadaan utuh. Lebih penting lagi ialah bahasa Melayu sentiasa berkait rapat dengan semangat kebangsaan dan jati diri nasional.
Penulis ialah Timbalan Pengarah Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)
Sumber : http : //www.bharian.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan