Isnin, 11 April 2011

ISU BAHASA : Satu bahasa, satu sastera

Oleh Hafizah Iszahanid

Sastera pelbagai kaum akan hanya menghancurkan perpaduan

APABILA Perlembagaan Persekutuan Fasal 152 (1) mengangkat bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, kedudukan dan hak bahasa Melayu mengatasi semua bahasa lain di Malaysia, manakala Dasar Kebudayaan Kebangsaan 1971 pula menguatkan lagi kedudukan bahasa itu.

Justeru, ia juga sepatutnya menjadi titik tumpu sastera kebangsaan atau dalam bahasa mudah, sastera Malaysia mesti dihasilkan dan ditulis dalam bahasa Melayu, selari dengan kedudukannya sebagai bahasa rasmi serta kebangsaan negara ini.

Ketika Seminar Sastera Pelbagai Kaum di Akademi Seni Budaya dan Warisan (ASWARA), Kuala Lumpur, minggu lalu, tiada langsung ditemui titik kesamaan di antara enam pembentang kertas kerja.

Sasterawan Negara (SN), Datuk Dr Anwar Ridhwan mengeluh mengenai khalayak sastera berbahasa Melayu yang tidak mengenali penulis sastera Mahua, meskipun hebat hingga menerima Anugerah Sastera di Taiwan kerana mereka menulis dalam bahasa Cina.

Pensyarah Universiti Sains Malaysia (USM), Dr Goh Sang Seong pula, bercakap mengenai penulis sastera Mahua sangat mencintai Tanah Melayu sebagai tanah kelahiran, namun semua rasa cinta itu diluah dalam bahasa ibunda.

Pensyarah Universiti Malaya (UM), Dr Chew Fong Feng, pula sibuk menegaskan perlunya karya sastera Mahua diterjemah ke dalam bahasa Melayu dan dipilih sebagai teks Komponen Sastera Dalam Pengajaran dan Pembelajaran Bahasa Melayu (KOMSAS).

Pensyarah Universiti Malaysia Sabah (UMS), Henry Banting pula mengingatkan usaha Cosmos Abah yang mengeluarkan wang pencen untuk membiayai penerbitan himpunan puisi dalam bahasa Kadazandusun.

Hanya Pensyarah Sastera Bandingan UM, Dr Krishanan Maniam dan Pensyarah Kolej Seni dan Sains, Universiti Utara Malaysia (UUM), Phat Awang Deng, melakukan pembentangan yang hampir senada - semuanya kerana penulis India di Malaysia sebilangannya menulis dalam bahasa Melayu, manakala penulis keturunan Siam juga berkarya dalam bahasa Melayu hingga ada yang dinobat sebagai pemenang hadiah sastera.

Penulis bukan Melayu yang menulis dalam bahasa kebangsaan bukan seorang dan tidak juga fenomena luar biasa serta dibuktikan dengan keindahan puisi Prof Madya Dr Lim Swee Tin, kehebatan novel Jong Chian Lai atau cantiknya budaya dalam cerpen Jaya Ramba apalagi Jair Sulai.

Malah, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) juga sudah menjalankan tugas mengeratkan perpaduan dan keharmonian masyarakat melalui sastera seperti dapat disaksikan sejumlah antologi cerpen serta puisi, malahan novel bukan Melayu yang menulis dalam bahasa Melayu diterbitkan.

Aneh juga, jika Lee Keok Chih, Peter Agustine Goh, Selina SF Lee, Jong Chian Lai, Eh Deng Eh Chik, Saroja Theavy, Prasert Eh Chai, Joseph Selvam, Mahat Anak China, Poul Nanggang, Raja Rajeswari Seetha Raman dan Tan Bok Hoi boleh menulis dengan baik dalam bahasa Melayu, mengapa tidak penulis lain?

Dapat difahami kebanyakan penulis sastera Mahua mendapat pendidikan sekolah jenis kebangsaan dan begitu juga sebahagian penulis sastera Tamil, namun, seperti kata Dr Chew dan dipersetujui Dr Goh, subjek Bahasa Melayu sudah diperkenalkan di sekolah jenis kebangsaan sejak di tahun satu. Generasi muda Cina dan India hari ini sebenarnya boleh bertutur, menulis dan memahami bahasa kebangsaan dengan baik sekali, tetapi ia bukan jaminan mereka akan berkarya dalam bahasa kebangsaan kerana sesungguhnya, luahan rasa datang dari jiwa paling halus dan apa sebenarnya ternukil dengan indah adalah dalam bahasa yang terlalu dekat di hati pengarang.

Menulis dalam bahasa selain bahasa kebangsaan juga bukanlah bermaksud mereka tidak patriotik atau karya itu tidak indah seperti dipancarkan dalam puisi Wu Tianci yang merakam rasa cinta pada Tanah Melayu yang tidak berbelah bahagi.

Tanah Melayu - tempat tumpah darahku//air sungai menyanyikan lagu gembira/banjaran gunung mempamerkan muka manis//irama perkasa berdendang di ladang getah/ (Nyanyian Buat Pertiwi terjemahan oleh Yuen Boon Chan).

Fu Chengde pula berkongsi resah dan impian terhadap negara ini lewat puisinya, Salam Malaysia.

Salam pagi Malaysia/ apakah fajar mentari masih bebas menyinar/ apakah angin sepoi masih bebas menghembus/ apakah unggas pagi masih bebas berlagu/ jika ya/ salam pagi, pertiwiku/ (Terjemahan Thock Ker Pong)

Begitu juga Cosmos Abah, penulis puisi Kadazandusun, Siapalah anak emas Malaysia/ Seorang pemimpin negara Malaysia/ Kedudukan kukuh penuh kesabaran/ Seorang penuh visi dan misi (Anak Emas Malaysia, terjemahan Henry Bating).

Bagaimanapun, semua karya indah ini hanya dinikmati oleh kelompok yang boleh berbahasa berkenaan, lalu untuk menterjemahkannya agar difahami pembaca berbahasa Melayu turut sama menghayati karya seni bukan berbahasa kebangsaan adalah tugas yang sungguh mulia.

Walaupun demikian, untuk meletakkannya dalam definisi sastera kebangsaan adalah tidak molek, malahan melanggar Dasar Kebudayaan Kebangsaan, selain sastera pelbagai kaum dalam pelbagai bahasa sebenarnya hanya menjarakkan lagi silaturahim sesama warga negara.

Ini jika slogan bahasa lambang perpaduan diambil kira dan lagipun, bukankah sangat janggal dalam negara yang bahasa rasminya bahasa Melayu, sasteranya pula dipecah-pecahkan kepada sastera berbahasa kebangsaan dan sastera tidak berbahasa kebangsaan?

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan