SETELAH beberapa kali menafikan dunia akan kembali terjerumus ke kancah kenaikan harga makanan dan barangan keperluan, Pertubuhan Makanan dan Pertanian (FAO) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) akhirnya mengakui fenomena itu tidak dapat dielakkan.
Timbalan Ketua Pengarah FAO, He Chang Chui dalam satu kenyataan pada 8 Mac lalu berkata, Indeks Harga Makanan pertubuhan itu pada Februari lalu menunjukkan harga makanan dan barangan keperluan utama di seluruh dunia mengalami kenaikan untuk tempoh lapan bulan berturut-turut.
''Indeks pada bulan berkenaan mencatatkan angka 236 unit dan ia mengatasi paras tertinggi yang dicatatkan ketika krisis makanan dunia pada 2008 iaitu purata sebanyak 200 unit.
''Faktor luar kawalan termasuk cuaca buruk yang melanda negara pengeluar makanan telah menyebabkan peningkatan harga barangan termasuk daging, hasil tenusu, biji-bijian, minyak masak dan lemak serta gula," ujarnya.
Negara pengeluar makanan yang dilanda bencana alam terburuk baru-baru ini adalah Rusia dan Kazakhstan dengan musim kemarau manakala India dan Australia pula mengalami banjir.
Dalam pada itu, krisis makanan global juga berpunca daripada peningkatan penduduk dunia yang lebih tinggi iaitu sebanyak empat peratus setahun berbanding kapasiti pengeluaran makanan yang hanya meningkat sebanyak dua peratus setahun.
Menurut Chang Chui, Indeks Harga Makanan FAO pada Februari lalu jelas menunjukkan senario peningkatan harga makanan dan lain-lain barangan keperluan belum reda dan langkah-langkah segera perlu diambil kerajaan bagi memastikan tidak tercetus protes seperti yang berlaku di sebahagian besar negara di Asia Barat.
''Antara langkah yang boleh dilakukan adalah untuk mengelak daripada mengeluarkan perintah larangan eksport barangan makanan ke negara lain," katanya.
Sebelum ini, Rusia telah melarang eksport gandum dan India menegah eksport bawang merah sehingga menyebabkan harga barangan berkenaan naik secara mendadak di seluruh dunia.
Tambah Chang Chui, kerajaan sesebuah negara juga perlu memastikan rakyat tidak membeli barangan dalam kuantiti banyak kerana panik disebabkan perbuatan itu akan menyebabkan bekalan makanan berkurangan dengan mendadak.
''Kerajaan juga perlu memberikan tumpuan untuk melabur secara besar-besaran dalam sektor pertanian dan memperkenalkan dasar-dasar baru bagi membantu rakyat miskin yang merupakan golongan paling terjejas dengan kenaikan harga barangan tersebut,'' katanya lagi.
Mengulas mengenai fenomena kenaikan harga makanan dan barangan keperluan itu, penganalisis ekonomi dan pensyarah Pengurusan Strategik Kolej Perniagaan, Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr. Haim Hilman Abdullah berkata, perkara itu tidak dapat dielakkan kerana ia bersifat global.
''Perkara ini berlaku apabila permintaan pengguna yang melebihi penawaran. Ia akan menyebabkan mereka terpaksa membayar melebihi daripada harga asal.
''Inflasi ini bukan sahaja berlaku disebabkan kenaikan harga makanan dan komoditi, malah ia juga berpunca daripada kenaikan harga minyak," katanya.
Seperti yang disebut oleh Haim Hilman, kenaikan harga minyak dunia yang sekali gus akan menyebabkan peningkatan kos pengangkutan bagi mengangkut makanan dan barang keperluan adalah fenomena yang tidak dapat dielakkan berikutan krisis politik yang sedang berlaku di Asia Barat.
Bagi memastikan kenaikan itu tidak terlalu membebankan rakyat, kerajaan telah memberikan subsidi petrol dan diesel sebanyak RM7.61 bilion setahun.
Bagaimanapun, rakyat harus sedar bahawa kerajaan tidak boleh selama-lamanya memberikan subsidi tersebut kerana wang berkenaan juga amat diperlukan untuk bidang-bidang lain termasuk dalam membangunkan kawasan pertanian baru.
Sementara itu, Pensyarah Ekonomi Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Amir Baharuddin berkata, inflasi kini berlaku di seluruh dunia akibat permintaan barangan yang melebihi penawaran.
''Kenaikan harga barangan akan memberi tekanan kepada rakyat terutama mereka yang berpendapatan rendah tetapi kita tetap tidak boleh lari daripada inflasi.
''Cara terbaik untuk menghadapi fenomena ini adalah dengan menyesuaikan diri dan belajar untuk meningkatkan lagi produktiviti agar permintaan barangan dapat dipenuhi," jelasnya.
Bagi memastikan rakyat tidak terbeban dengan kenaikan harga itu, katanya, pemantauan dan penguatkuasaan perlu dilakukan dari semasa ke semasa selain menggerakkan kempen bagi meningkatkan kesedaran pengguna untuk berjimat cermat.
Seperti yang disyorkan oleh Amir, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, sejak dahulu lagi telah melaksanakan proses pemantauan dan penguatkuasaan bagi memastikan fenomena peningkatan harga barangan global tidak dijadikan alasan oleh peniaga untuk menaikkan harga barangan sewenang-wenangnya.
Pemantauan dan penguatkuasaan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Akta Kawalan Harga 1946 adalah bagi memastikan 12 jenis bahan makanan yang dikategorikan sebagai barangan kawalan mencukupi dan dijual pada harga munasabah.
Langkah lain melibatkan kawalan harga pada musim perayaan yang membabitkan 28 jenis barangan termasuk ayam, daging, telur ayam, kubis, tomato dan cili merah.
Segala langkah yang diambil itu telah menyebabkan harga barangan keperluan di negara ini masih lagi yang terendah berbanding negara ASEAN lain.
Misalnya beras kini dijual pada harga antara RM1.65 hingga RM1.80 sekilogram berbanding Indonesia (RM2.59) dan Singapura (RM5.06).
Petrol RON 95 pula dijual pada harga RM1.90 seliter berbanding Thailand (RM4.77), Indonesia (RM3.21) dan Singapura (RM5.06).
Pihak kementerian turut melaksanakan kempen bagi menjelaskan senario kenaikan harga barangan menerusi slot di radio dan televisyen termasuk Selamat Pagi 1Malaysia di TV1.
Sumber : http : //www.utusan.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan