Selasa, 19 April 2011

ISU SAINS DAN TEKNOLOGI : Hargai budaya inovasi tempatan

Zulkifli Haron bersama ciptaan terbarunya, Hoverkraf

Oleh AZNAN BAKAR
aznan.bakar@utusan.com.my

MENONTON siri Howe and Howe Tech di saluran Discovery kita terdedah tentang kreativiti dua beradik kembar Micheal dan Geoffrey Howe berinovasi. Mereka menghasilkan kenderaan ekstrem termasuk bagi kegunaan tentera.

Idea dan inovasi mereka diterjemahkan kepada penghasilan produk unik yang kemudiannya di tempah untuk kegunaan pelbagai pihak terutama tentera Amerika Syarikat. Siri itu secara tidak langsung turut mengajar kita bahawa sesuatu inovasi hanya akan berjaya jika ada sokongan.

Tanpa sokongan sama ada daripada kerajaan mahupun syarikat-syarikat yang ada kemampuan kewangan besar, inovasi akan mati.

Beberapa minggu lalu Utusan Malaysia menyiarkan kejayaan pereka cipta tempatan Zulkifli Haron menghasilkan hoverkraf yang sesuai untuk pelbagai kegunaan.

Hoverkraf itu amat mudah dan praktikal. Ia menggunakan bahan-bahan yang senang diperolehi termasuk enjin kereta biasa berkuasa 1,600 kuasa kuda. Ia juga berfungsi dengan baik setelah diuji. Malah setanding dengan yang dicipta syarikat-syarikat besar dari luar negara.

Sekiranya Zulkifli berada pada kedudukan adik beradik Howe itu, sudah tentu dia telah ditawarkan kontrak bernilai jutaan ringgit. Tetapi, situasi itu jarang berlaku di negara ini. Reka cipta tempatan belum mendapat pengiktirafan setinggi dan sebesar itu.

Selain Zulkifli yang sudah lebih 30 tahun berkreatif dan berinovasi, terdapat ramai lagi rakyat Malaysia yang kreatif sepertinya termasuk di kalangan pelajar sekolah dan institusi pengajian tinggi (IPT).

Tetapi kebolehan mereka itu sekadar untuk kepuasan sendiri. Idea yang dicurahkan tidak diberi pengiktirafan dan tidak diangkat ke tahap sepatutnya. Lebih teruk lagi, kreativiti dan inovasi mereka itu adakalanya diperlekehkan atau dipandang remeh kerana budaya masyarakat kita yang terlalu mengagung-agungkan ciptaan luar.

Zulkifli misalnya mula berinovasi ketika berusia empat tahun. Produk pertama ciptaannya ialah lori mainan dari kayu. Tetapi dia mula dikenali dan mula terkenal pada tahun 1984. Ia gara-gara kereta serba-serbi automatik yang diciptanya di kampungnya, Kampung Batu 16 Rawang.

Ajaibnya ketika itu, kereta tersebut boleh dihidupkan dari jauh dan digerakkan melalui alat kawalan. Pengelap hujannya pula berfungsi secara automatik apabila cermin terkena air. Tetapi kira-kira 25 tahun lalu siapa yang tahu tentang inovasi? Hasilnya kebolehan Zulkifli itu dikatakan mempunyai kaitan dengan penggunaan jin dan hantu.

Kereta ciptaannya dikatakan digerakkan oleh hantu. Lalu digelarnya kereta hantu. Zulkifli turut digelar Zul Hantu. Disebabkan inovasi bukan budaya kita, mereka tidak boleh mengaitkan ciptaan itu dengan aplikasi elektrik dan elektronik.

Hingga kini selepas lebih 30 tahun berinovasi, Zulkifli telah menghasilkan hampir 1,000 produk. Kebanyakan dicipta dan dibina untuk kepuasan peribadi dan bagi memenuhi keperluan orang tertentu.

Daripada hampir 1,000 ciptaannya itu, tidak ada satupun yang dikeluarkan secara komersial. Juga, tidak ada satupun yang ditawarkan kontrak untuk dibekalkan secara besar-besaran.

“Saya macam inilah... akan teruskan apa yang telah saya lakukan,” itu kata Zulkifli ketika ditanya adakah dia kecewa dengan situasi yang berlaku. Saban bulan dan saban tahun ada saja ciptaan-ciptaan unik yang dihasilkan rakyat Malaysia.

Kebanyakannya sesuai dengan kegunaan harian malah mengagumkan banyak pihak. Tetapi ia tidak dapat dikembangkan kerana sokongan dan pengiktirafan tidak ada.

Banyak juga ciptaan itu yang telah menang pelbagai anugerah dalam dan luar negara. Tetapi semuanya senyap begitu sahaja atau sekadar disimpan untuk pameran. Idea dan reka cipta yang sepatutnya boleh memberi manfaat kepada masyarakat dan negara terbiar seolah-olah tidak ada nilainya.

Yang menjadi persoalan sekarang kenapa tidak ada pihak yang tampil untuk memberi nilai kepada pelbagai produk inovasi tempatan ini? Kenapa agensi-agensi kerajaan terutamanya agak keberatan untuk menyokong idea-idea yang diketengahkan itu supaya ia bukan sahaja membudayakan inovasi di negara ini, tetapi pada masa sama mampu membantu negara menghasilkan produk yang inovatif.

Sedangkan di Barat, Jepun dan Korea inovasi amat dihargai. Mereka yang bergelar pereka cipta atau inovator pasti menjadi billionaire. Syarikat-syarikat multinasional ternanti-nanti ciptaan golongan itu. Sama ada untuk kegunaan khusus atau bagi tujuan komersial.

Kerajaan pula akan mengutamakan ciptaan-ciptaan tempatan terlebih dahulu untuk digunakan oleh agensi-agensinya. Tetapi, di Malaysia inovasi dan idea kreatif ciptaan tempatan sukar mendapat penghargaan.

Tentu kita masih ingat kejayaan pelajar Sekolah Menengah Teknik Seri Pelindung Kuantan menghasilkan rostrum pintar pada 2008. Keistimewaan rostrum itu mikrofonnya akan naik dan turun secara automatik berdasarkan ketinggian orang yang berucap. Tetapi selepas lebih tiga tahun ia masih di peringkat kajian untuk dikomersialkan.

Banyak lagi ciptaan para pelajar yang sehingga kini terperap begitu sahaja. Jika mahu dikatakan kerajaan tidak menyokong perkembangan inovasi tidak mungkin kerana terdapat Kementerian Sains Teknologi dan Inovasi.

Sepatutnya agensi-agensi yang berkaitan dengan inovasi di bawah kementerian ini bertindak sebagai penyelaras. Mereka perlu himpun apa juga data mengenai produk inovasi yang dihasilkan supaya boleh dikembangluaskan.

Maklumat yang dikumpulkan itu boleh disalurkan kepada agensi kerajaan lain dan sektor swasta kerana kemungkinan ia boleh diguna pakai atau dikomersialkan mengikut kesesuaian produk yang dihasilkan.

Hoverkraf ciptaan Zulkifli misalnya, yang jauh lebih murah dan cukup mudah diselenggara mungkin sesuai untuk kegunaan Jabatan Bomba dan Penyelamat mahupun Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang kini sedang meninjau-ninjau untuk membeli kemudahan seperti itu.

Apa salahnya jika mereka menguji produk yang dihasilkan Zulkifli itu. Jika perlukan apa-apa pengubahsuaian ia boleh dilakukan mengikut kesesuaian dan keperluan.

Jika ia sesuai untuk kegunaan bomba dan angkatan tentera kita kemungkinan ia akan membuka mata negara-negara lain untuk mengimportnya. Tidakkah itu akan membantu membina satu industri baru untuk negara?

Sokongan dan penghargaan seperti itu juga sudah tentu akan mendorong melahirkan lebih ramai pereka cipta negara. Ia merupakan satu keperluan jika Malaysia mahu menjadi sebuah negara maju.

Jika kita tidak mampu menghargai dan memberi pengiktirafan kepada golongan pencipta ini walaupun kita ada kementerian khusus untuknya, maka impian menjadi sebuah negara maju sukar untuk dicapai.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan