Keramatlah engkau mengharum hati nurani bangsamu
bersama membangunkan peradaban senusantara
penyeri akal budi
para cendekia, sasterawan, dagang senteri
suaramu kini bertakhta di istana
santun bicara rakyat jelata
suaramu bergema di dewan parlimen
dalam sidang dan di kamar para hakim arif
membuka gelanggang hujah dan debat
menggubal kanun dan akta
menegakkan kebenaran dan keadilan.
Dahulu pun engkau memang telah dimahkotakan
di rantau damai ini beratus tahun silam
memberi makna dan tamsil ibarat
loghat dan dialek, puisi dan seloka
lingua franca dagang senteri , mubaligh dan upaduta,
lunak dan halus bicaramu di balairung seri
ketika merafak sembah, menerima anugerah
menjunjung kasih atau menjunjung perintah.
Denganmu lahir pujangga dan pendeta ilmuan,
Tun Seri Lanang, Raja Ali Haji, Abdullah Munsyi, Za’ba,
kecanggihan dan keindahan madahmu
meruntun anak-anak sekolah menelaah Sejarah Melayu
mengutip mutiara ilmu mengkaji siratan falsafah
menyusur dan mentafsir akal budi budaya sewilayah.
SHAMSUDDIN JAAFAR
Kuala Lumpur,
Disember 1989.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan