Oleh Nazri Hussein
Halal, berkhasiat serta tak membazir ciri-ciri utama lahir masyarakat berkualiti
ISLAM bukan sekadar menuntut umatnya menitikberatkan persoalan kerohanian tetapi juga mendidik manusia bagaimana menjaga pemakanan yang betul untuk kesihatan tubuh badan. Anggota fizikal yang sihat, cergas serta bertenaga akan membina jiwa bersemangat, beriltizam, istiqamah dalam semua urusan serta memiliki kekuatan rohani melaksanakan ibadah kepada Allah.
Adab dan akhlak dalam soal pemakanan seperti mengawal nafsu makan, mengelak daripada makan terlalu kenyang, memilih makanan halal dan berkhasiat serta tidak membazir adalah ciri-ciri yang sangat diutamakan demi melahirkan masyarakat berkualiti yang terhindar daripada gejala penyakit.
Allah berfirman yang bermaksud: “Makanlah makanan yang halal dan baik daripada rezeki yang telah Allah kurniakan kepada kamu. Dan patuhlah kepada Allah yang kepada-Nya kamu telah beriman.” (Surah al-Maidah, ayat 88)
Isu obesiti atau kegemukan tidak terkawal dalam kalangan kanak-kanak sekolah mendapat perhatian umum akhir-akhir ini sewajarnya dapat diatasi jika pendidikan mengenai etika pemakanan dianjurkan Islam dilaksanakan dengan sempurna dan bersungguh-sungguh.
Dalam soal ini, ibu bapa sebagai kaunselor pertama wajar memainkan peranan penting dengan mendidik anak cara pemakanan yang betul bermula dari rumah. Ibu bapa wajar memastikan sumber rezeki yang akan dikongsikan bersama anak datang daripada sumber halal.
Rezeki dalam bentuk makanan, minuman atau wang ringgit yang jelas haram, syubhat, akan membentuk generasi lemah fizikal, mudah dijangkiti penyakit sama ada rohani atau jasmani selain sukar menguasai ilmu.
Malah, darah daging yang tumbuh hasil daripada rezeki haram akan dilaknat Allah serta disediakan pembalasan dalam bentuk seksaan neraka.
Rasulullah SAW mengingatkan perkara ini kepada umat Islam dalam hadis yang bermaksud: “Setiap daging yang tumbuh dari sumber yang haram, maka api neraka saja yang layak untuknya.” (Hadis riwayat Muslim)
Islam tidak boleh memandang mudah atau mengambil sikap acuh tidak acuh dalam soal makanan kerana apa saja yang masuk ke dalam halkum akan dinilai oleh Allah. Ia bukan sekadar untuk mengenyangkan perut semata-mata tetapi makanan turut mempengaruhi akidah.
Rezeki dalam bentuk makanan atau minuman yang berkat tentulah menjernihkan minda serta memudahkan kita menghafaz ayat al-Quran sebagai amalan seharian.
Rasulullah SAW sentiasa berhati-hati menjaga pemakanan. Baginda sama sekali tidak akan memakan sesuatu makanan yang dihidangkan jika tidak mengetahui sumbernya yang sebenar. Malah, bentuk badan Rasulullah SAW yang sederhana iaitu tidak terlalu kurus dan tidak terlalu gemuk menunjukkan keprihatinan Baginda dalam aspek pemakanan seimbang.
Sabda Baginda yang bermaksud: “Tiada satu tempat yang dipenuhkan oleh anak Adam yang lebih mencelakakan dirinya selain daripada perutnya. Memadailah untuk anak Adam itu beberapa suap makan untuk menguatkan tulang belakangnya (bagi menahan kelaparan dan untuk berdiri ketika beribadah). Jika itu tidak dapat dipertahankan, maka hendaklah bahagikan perut kepada tiga bahagian; satu untuk makanan, satu untuk minuman dan satu lagi kosongkan untuk bernafas.”
Sebagai umat akhir zaman yang sentiasa terdedah dengan pelbagai penyakit kronik, sewajarnya saranan Rasulullah SAW dicontohi dan diikuti kerana kesejahteraan hidup bermula daripada tubuh badan yang cergas dan sihat serta akal yang cerdas.
Allah amat melaknat orang yang gemuk kerana terlalu banyak makan dan minum. Kegemukan menjadikan seseorang itu lemah, malas melakukan sesuatu usaha dan membantutkan produktiviti.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Bala yang pertama sekali berlaku kepada umat ini sesudah pemergian Nabi ialah kekenyangan perut. Sebab apabila sesuatu kaum itu kenyang perutnya maka akan gemuklah badannya, lalu akan lemahlah hatinya dan akan bermaharajalelalah syahwatnya.” (Hadis riwayat Bukhari)
Antara adab dan amalan Nabi ketika makan adalah makan mengguna jari tangan, tidak bernafas ketika minum, makan hanya ketika lapar dan berhenti sebelum kenyang serta mengunyah makanan sehingga halus dan menghabiskan sisa makanan tanpa dibiarkan membazir.
Baginda juga tidak tidur selepas makan kerana tabiat ini memberi kesan buruk pada kesihatan. Antara makanan digemari Rasulullah SAW ialah susu, buah-buahan, kurma, daging kambing, madu, sayur-sayuran serta bubur yang mempunyai khasiat kepada tubuh badan.
Baginda sepanjang hayatnya tidak pernah mengalami penyakit berat kecuali penyakit ringan yang biasa dialami oleh manusia biasa. Kehebatan Rasulullah SAW menjaga gaya pemakanan menjadikan Baginda pemimpin disegani, ketua keluarga yang cergas, pahlawan perang yang kuat dan bertenaga selain memiliki kebijaksanaan akal yang tinggi.
Pelbagai penyakit kronik yang melanda umat Islam di seluruh dunia hari ini dapat dihindari andai kita berusaha bersungguh-sungguh menjaga tabiat pemakanan serta mengamalkan penjagaan kesihatan yang betul.
Sumber : http : //www.bharian.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan