KEMENTERIAN Pelajaran Malaysia (KPM) ingin merujuk kepada laporan akhbar Berita Harian bertarikh 21 April 2011 – Khidmat guru tempatan terlatih diperlukan di Sabah, Sarawak.
Dalam situasi yang ideal, penempatan guru tempatan bagi sesebuah negeri mungkin menjadi satu kaedah terbaik untuk menyelesaikan isu keperluan guru. Namun, hakikatnya, ia masih tidak dapat dilaksanakan seperti yang dicadangkan dan sedang ditangani secara berperingkat oleh KPM.
Berhubung permohonan guru dari Semenanjung yang ingin kembali berkhidmat di Semenanjung, ia adalah satu amalan biasa dan dalam hal ini sebarang permohonan diteliti secara individu dan diberi pertimbangan sewajarnya oleh KPM. Sungguhpun demikian, perlu diingati bahawa masih terdapat ramai guru berpengalaman dari Semenanjung yang masih kekal berkhidmat di Sabah dan Sarawak.
Untuk memastikan guru berpengalaman ini kekal berkhidmat di kawasan pedalaman dan luar bandar, KPM melaksanakan pelbagai strategi termasuk menempatkan suami isteri di sekolah yang sama atau berhampiran di Sabah dan Sarawak disamping pemberian Elaun Khas Mengikut Lokasi dan Tahap Kesusahan (EKMLTK) sebagai salah satu insentif untuk mereka.
Ia juga mencerminkan satu bentuk pengiktirafan kerajaan terhadap khidmat bakti mereka selama ini terhadap pembangunan pendidikan pelajar di pedalaman dan luar bandar di seluruh negara.
Mengenai latihan guru pula, ia menjadi satu usaha berterusan yang dilaksanakan oleh KPM. Berhubung cadangan membina Institut Pendidikan Guru (IPG) baru di Sabah dan Sarawak, KPM berpandangan bahawa tiada keperluan buat masa ini untuk berbuat demikian berdasarkan beberapa faktor.
Pertama, bilangan IPG sedia ada masih berupaya melatih bakal guru untuk keperluan pendidikan negara.
Kedua, pembinaan sesebuah IPG tidak hanya khusus untuk masyarakat setempat tetapi lebih menjurus kepada memenuhi keperluan pendidikan guru bagi seluruh negara.
Oleh itu, faktor lokasi IPG dilihat tidak begitu kritikal dalam hal ini. Selain itu juga, pemilihan anak tempatan Sabah dan Sarawak untuk menjalani latihan di IPG di Semenanjung seperti amalan sekarang harus dilihat sebagai satu perkara yang positif khususnya bagi mereka untuk menimba pendedahan dan pengalaman yang amat bermakna dalam pembangunan profesionalisme keguruan mereka sendiri.
Ini juga sejajar dengan matlamat gagasan 1Malaysia yang diperjuangkan oleh kepemimpinan negara. Dari aspek jangka panjang, KPM berpandangan bahawa bagi memastikan lebih ramai guru tempatan terlatih di Sabah dan Sarawak, minat golongan belia tempatan perlu terus dipupuk untuk menyertai profesionalisme keguruan.
Sungguhpun begitu, KPM berpandangan bahawa faktor siapa dan dari mana asal negeri guru itu tidak begitu penting. Walau di sekolah mana pun mereka ditugaskan baik di Semenanjung, mahupun Sabah dan Sarawak, apa yang lebih penting adalah komitmen dan profesionalisme guru yang jitu terhadap tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan khususnya dalam mendidik dan melakar masa depan yang lebih cemerlang buat anak bangsa.
UNIT KOMUNIKASI KORPORAT,
Kementerian Pelajaran Malaysia.
Sumber : http : //www.bharian.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan