Cikgu,
coretanmu pada papan tulis
penuh tanda bermakna
biarpun orang tak pernah
bertanya
merungkai maksud di
sebaliknya.
Terima kasih, cikgu
pena di tanganmu itu
juga tutur bagai ucap pendeta
dan obor nurani bernyala-nyala
cahayanya menerangi buana
menjadi agam cintaku
pada keajaiban ilmu.
Kini aku turut mencoret
pada papan tulis
dengan huruf-huruf pekerti
membina ayat-ayat bestari
menjadi ikrar perlu dihafal
berakar pada jiwa anak
merdeka
kerana pena dan tuturmu, cikgu
telah aku warisi.
M.ARIF
Bachok, Kelantan
Tiada ulasan:
Catat Ulasan