Khamis, 23 Jun 2011

ISU ALAM SEKITAR : Pelan pengurusan bencana strategik mampu elak risiko

Oleh Hasliza Hassan

JIKA takut bermain ombak jangan berumah di tepi pantai. Jika takut tanah runtuh, jangan berumah di lereng bukit. Tetapi jika itu memang sudah jadi kediaman sejak dulu atau hanya tanah di lereng bukit yang ada untuk didirikan bangunan, apakah kita ada pilihan.

Adakah mereka yang sekian lama tinggal berdekatan lereng bukit perlu mengambil tindakan drastik untuk berpindah bagi mengelak bencana tanah runtuh. Bagaimana pula yang tinggal di kawasan banjir, adakah mereka juga perlu mencari rumah di kawasan lain jika tidak mahu berdepan dengan banjir?

Andainya mereka ingin terus tinggal di kediaman sedia ada, adakah ini bermakna mereka perlu berdepan dengan risiko kemalangan dan jika berlaku tragedi, siapa perlu dipertanggungjawabkan.

Yang pasti, apabila berlaku bencana alam tiada siapa akan mengaku itu tanggungjawab mereka. Lebih-lebih lagi yang membabitkan kehilangan nyawa. Sebaliknya berlakulah drama tuduh menuduh atau tuding-menuding.

Terbaru ialah tragedi tanah runtuh di Hulu Langat yang mengorbankan 16 nyawa. Nampaknya, isu itu pun sudah sejuk atau terus ditangani pihak tertentu tanpa publisiti besar-besaran.

Kejadian tanah runtuh yang berlaku memperlihatkan sikap ‘gempar, kesal, prihatin dan simpati’ yang bersifat sementara kerana keadaan akan kembali ‘reda’ selepas beberapa ketika dan hanya hangat apabila berlaku lagi tragedi menggemparkan.

Presiden Pertubuhan Perancang Malaysia, Prof Dr Alias Abdullah, berkata negara memerlukan pelan pengurusan bencana yang strategik untuk menangani isu membabitkan keselamatan rakyat, selain meningkatkan kefahaman masyarakat terhadap pengurusan risiko.

Katanya, dalam keadaan sekarang adalah sukar untuk meminta pemilik rumah atau premis terletak di kawasan berisiko berpindah terutama apabila tiada tempat lain hendak dituju.

“Masyarakat sendiri akan berdegil, khususnya pemilik tanah dan rumah. Pastinya mereka tidak mahu berpindah kerana sudah lama menetap di situ. Tetapi kita tidak boleh salahkan mereka kerana itulah saja harta mereka ada.

“Lagipun, pemberian tanah zaman dulu tidak terancang dan tanah status pertanian memang dibenarkan dibina rumah separuh kekal. Sebab itu kita lihat rumah dibina tidak mempunyai pelan. Jika dari dulu mereka tinggal di situ, tiba-tiba disuruh pindah, ke mana mereka hendak pergi,” katanya.

Bagaimanapun katanya, masih ada cara bagi mengurangkan risiko serta membantu mereka yang tinggal di kawasan terdedah kepada bencana alam memastikan keselamatan terjamin.

Katanya, pihak berkuasa negeri dan pihak berkuasa tempatan perlu menyediakan satu pelan kawasan penempatan merangkumi lokasi penempatan lama, baru serta mengenal pasti kawasan berisiko terhadap bencana alam dengan mengkategorikannya mengikut kelas risiko seperti A untuk kawasan berisiko tinggi terhadap tanah runtuh, banjir, tanah mendap atau bencana alam lain sementara B untuk berisiko sederhana dan seterusnya.

Pada peringkat Persekutuan pula, perlu ada kerangka lebih besar bagaimana hendak menukar kawasan penempatan berisiko sedia ada kepada keadaan lebih baik, selain pelan strategik dirangka dengan jelas supaya risiko dapat dikurang atau dielakkan pada masa depan.

“Kawasan yang dikenal pasti sebagai kawasan berisiko, kita kena maklumkan kepada penduduk supaya mereka lebih berhati-hati. Tidak boleh beritahu kawasan ini berisiko dan awak kena pindah. Hendak pindah ke mana, siapa hendak beri tanah?,” katanya.

Katanya, pihak berkuasa tempatan perlu bekerja lebih jika tidak mahu kejadian tidak diingini berlaku kerana mereka tidak boleh pergi dan tengok tanpa melakukan usaha pencegahan atau penambahbaikan.

Dr Alias berkata, masyarakat juga perlu sentiasa peka dengan persekitaran premis mereka dan jika berlaku perubahan hendaklah memaklumkan kepada pihak berkuasa supaya tindakan segera diambil.

Katanya, pihak berkuasa tempatan juga perlu mengambil langkah proaktif untuk memantau kawasan sedia ada yang terdedah kepada risiko bencana alam seperti banjir, tanah runtuh, pokok tumbang atau bencana lain.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan