Oleh Hafizah Iszahanid
hafiza@bharian.com.my
Alasan pemain industri iklan tidak munasabahEDARAN akhbar harian di Malaysia mencatat jumlah empat juta naskhah sehari dengan dua juta naskhah membabitkan edaran akhbar berbahasa Melayu. Angka yang besar ini memberi kelebihan apabila akhbar berbahasa Melayu menguasai 40 peratus daripada jualan pengiklanan.
Hakikat ini disedari pemain industri pengiklanan seperti ditegaskan Persatuan Agensi Pengiklanan Bertauliah Malaysia (4A) pada Dialog Penggunaan Bahasa Kebangsaan dalam Pengiklanan antara 4A dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) minggu lalu.Namun, apa yang menjadi persoalan adalah kesungguhan pemain industri pengiklanan dalam mempromosi iklan dalam akhbar berbahasa Melayu. Kerap kali, iklan dalam bahasa Melayu memiliki terlalu banyak kesalahan tatabahasa selain penggunaan bahasa slanga dan lisan yang keterlaluan.
Ada juga kes, iklan dalam bahasa Melayu diterjemah secara langsung daripada iklan berbahasa Inggeris yang kelihatan janggal.
Senario ini menyerlahkan keadaan menyedihkan - pemain industri pengiklanan hanya mahu mengaut keuntungan daripada komuniti pembaca berbahasa Melayu tanpa mahu memahami bahasa dan budaya komuniti itu. Persoalan itu yang berulang kali diperkatakan Ketua Pengarah DBP, Datuk Termuzi Abdul Aziz. Ini kerana, pemain iklan kerap kali berfikir dalam bahasa Inggeris apabila menulis iklan untuk bahasa Melayu. Justeru, keputusan yang terhasil sangat mengecewakan. “Bahasa Melayu sangat indah dan menunjukkan jati diri bangsa. Mungkin ada yang melihat bahasa Melayu tiada nilai komersial. Ini anggapan mereka yang masih terjajah daripada segi minda. Bahasa Melayu sudah menjadi lingua franca sejak kurun ke-13,” tegasnya.
Malah, sebaik saja sesi soal jawab dibuka, bertalu-talu soalan diajukan antaranya, bahasa Melayu disifatkan tidak cukup ‘cacthy’ untuk menarik perhatian pembaca, jumlah kosa kata terhad menyebabkan sukar menterjemah iklan berbahasa Inggeris ke dalam bahasa Melayu.
Soalan yang diajukan menunjukkan, orang Malaysia tidak pernah mahu memandang bahasanya mampu menjadi bahasa perdagangan yang baik. Justeru tidak hairan, banyak iklan sama ada di akhbar, majalah atau papan iklan menggunakan bahasa Melayu yang bercampur aduk.
Misalnya, iklan yang menggunakan campuran bahasa Melayu dan Inggeris, Super Power: Aku nak power, mesti power, relax la bro.., blogger selain penggunaan bahasa slanga seperti ciput. Atau penggunaan bahasa Inggeris seperti Prawn, If you don’t Eat is your loss, So Fresh so Less.
Mujurnya, dalam asakan soalan, Termuzi bijak mengawal keadaan dengan berkali-kali menegaskan apa pun alasan pemain industri pengiklanan, bahasa Melayu perlu diletakkan di tempatnya, sejajar dengan Perlembagaan Persekutuan Perkara 152. “Penggunaan bahasa Melayu yang betul adalah wajib dan perlu diutamakan begitu juga dengan tulisan dan tatabahasanya. Bahasa Melayu tulisan dan lisan berbeza. Kebanyakan iklan mengutamakan bahasa lisan, selain lebih kepada terjemahan bahasa Inggeris ke bahasa Melayu. Ini menyebabkan, terjemahan menjadi kaku. Penggunaan bahasa lisan juga melanggar aturan bahasa Melayu, dengan kecenderungan menggunakan campuran bahasa bahasa Melayu dan Inggeris, bagai sekerat ular sekerat belut,” tegasnya.
Meskipun beliau mengakui bahawa tidak salah menggunakan bahasa lisan, tetapi bahasa Melayu yang digunakan mesti betul. Lalu ketika menulis iklan untuk media berbahasa Melayu, bahasa Melayu yang betul perlu digunakan dan bukan sebaliknya.
“Tak timbul bahasa Melayu tak cukup menarik. Kita ada 150 juta kosa kata, ada banyak perkataan dalam bahasa Melayu. Apa salah berkorban sedikit masa dan usaha untuk memartabatkan bahasa Melayu?
“Ramai memilih jalan mudah dengan menggunakan bahasa Inggeris. Sebenarnya mengusahakan iklan, mengapa kita perlu menterjemahkan iklan dalam media berbahasa Inggeris untuk media berbahasa Melayu? Mengapa tidak guna idea yang sama untuk kedua-dua iklan tetapi pembinaan iklan itu berbeza?” soalnya.
Baginya, persoalan bahasa Melayu memiliki kosa kata terhad terlalu remeh. Bahasa Melayu kekal relevan hingga kini adalah kerana keupayaannya mengadaptasi persekitaran. Bahasa Melayu meminjam banyak kosa kata asing untuk terus bertahan kerana tiada satu pun bahasa di dalam dunia ini mampu bertahan tanpa meminjam daripada bahasa lain. Malah, bahasa Inggeris pun, hampir 75 peratus kandungannya adalah kosa kata pinjaman daripada bahasa Latin dan Sanskrit.
“Dalam soal ini, kita sebagai warga Malaysia dan pemain industri pengiklanan perlu tahu tanggungjawab. Jangan guna alasan remeh-temeh, jangan kata dalam bahasa Melayu tidak banyak kosa kata, kita ada lebih 150 juta kosa kata. Misalnya dalam bahasa Inggeris ada perkataan ‘carry’ dalam bahasa kita boleh cakap bawa, angkut, jinjing, kelek dan junjung. Jadi apa masalahnya nak buat iklan dalam bahasa Melayu, melainkan orang itu yang tidak mahu berusaha?,”tegasnya.
Dari segi undang-undang, sudah terlalu banyak peraturan mengenai memartabatkan bahasa Melayu dikuatkuasakan. Misalnya, Garis Panduan Perancangan Papan Iklan Luar yang dikeluarkan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) pada 2009.
Antara lain, garis panduan ini menetapkan setiap papan iklan mesti menggunakan bahasa kebangsaan sama ada bahasa kebangsaan saja atau bahasa kebangsaan dengan bahasa lain. Perkataan bahasa Melayu juga mesti diutamakan dari segi saiz, warna dan kedudukan berbanding bahasa lain. Namun, sehingga kini berapa ramai yang sudah didenda kerana melanggar peraturan dan sejauh mana pula kesedaran warga Malaysia tentang tanggungjawab memartabatkan bahasa Melayu.
Sumber : http : //www.bharian.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan