Isnin, 20 Jun 2011

ISU BAHASA : Pentingnya budaya merujuk pakar

Oleh : Ridhuan Tee Abdullah

Saya berasa pelik kenapa kerajaan masih mahu melayan tuntutan kumpulan yang terlal minoriti seperti The Parent Action Group for Education Malaysia (PAGE) yang mahu kembali semula kepada Pengajaran Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI). Jika itu kemahuan mereka, biarlah mereka yang buat, kita lihat sejauh mana hebatnya mereka mahu mengubah sistem pelajaran, bukan memperbaiki penguasaan bahasa Inggeris mengikut pandangan pakar.

Pertubuhan ini nampaknya begitu agresif bersama pertubuhan bukan Melayu yang lain, mahukan PPSMI dikembalikan semula. Pertubuhan ini tidaklah terlalu berpengaruh. Saya yakin ahli-ahlinya hanya ada sekelumit, tetapi mungkin kabel mereka agak besar. Mereka berhujah menggunakan pendapat segelintir ibu bapa dan bukan Melayu yang memang mahu melihat bahasa Melayu terkubur serta respons yang diperoleh melalui perbahasan dalam talian internet.

Ingin saya bertanya pimpinan mereka ini mengkhusus dalam bidang apa? Jika berada di luar bidang kepakaran, lebih baik senyap dahulu. Jangan ikut pandai sendiri sahaja, sedangkan kelulusan tidak seberapa. Jika sakit pergilah berjumpa doktor perubatan, jangan jumpa doktor falsafah atau jurutera. Begitulah pentingnya budaya merujuk pakar, supaya mendapat input yang betul.

Tidak ada seorang pun yang menolak akan kepentingan bahasa Inggeris sebagai bahasa dunia. Persoalan pokok adalah, janganlah sampai merubah sistem. Jika bahasa itu yang lemah, maka perbaikilah bahasa tersebut seperti cuba dilakukan Kementerian Pelajaran hari ini, bukan dengan mengorbankan identiti dan jati diri.

Kementerian Pelajaran sedang bertungkus lumus untuk memperhebatkan penggunaan bahasa Inggeris dalam pelbagai aspek. Biarlah pakar-pakar yang menentukan dan menanganinya. Siapakah kita jika dibandingkan dengan pakar-pakar bahasa?

Hormatilah budaya merujuk pakar. Sama juga dengan isu novel Interlok. Majoriti pakar bahasa dan sasterawan mengatakan bahawa isi kandungan novel tersebut sebenarnya tiada masalah langsung. Kenapa kita seperti cacing kepanasan kalau bukan kerana ada udang di sebalik batu?

Namun, setelah dipinda pun, masih ramai yang tidak berpuas hati. Kenapa? Jawapannya mudah, kumpulan ultra kiasu ini ada agenda lain. Komuniti besar kepala ini merasakan diri mereka telah kuat melalui keputusan pilihan raya umum 2008. Kerjanya tidak ada lain, ugut, desak dan tuntut. Saya yakin mereka tidak akan berani angkat kepala sedikit pun jika umat Islam bersatu atau keputusan pilihan raya 2008 tidak ‘menyebelahi’ mereka.

Kalau tidak percaya, bacalah laman-laman web ultra kiasu. Bacalah komen-komen negatif mereka. Saya syorkan Kementerian Dalam Negeri mengambil inisiatif menterjemahkan akhbar, majalah dan buku-buku karangan pengarang bukan Melayu terpilih, kita lihat berapa banyak pujian dilontarkan kepada bangsa Melayu, negara Malaysia dan 1Malaysia. Kita lihat siapakah yang paling banyak menabur racun. Sekurang-kurang novel Interlok berani berterus terang menceritakan realiti sebenar masyarakat berbilang kaum di negara ini, daripada lempar batu sembunyi tangan.

Sebenarnya, kita amat memerlukan ramai rakyat Malaysia seperti ini. Bukannya, mereka yang akan mencari seribu satu alasan untuk mematahkan apa jua idea baik yang dikemukakan. Hari ini, mereka menggunakan gagasan 1Malaysia sebagai hujah utama jika tidak berpuas hati. Misalnya, terbaru, pertubuhan Kristian terus mencabar Kementerian Dalam Negeri, berkaitan isu-isu sensitif seperti alkitab dalam bahasa Melayu, kalimah Allah dan sebagainya.

Kenapa perkara ini perlu diperbesarkan sedangkan populasi mereka hanya di sekitar di bawah 10 peratus? Jawapannya juga mudah, mereka ada agenda lain. Kita yang terlalu bersangka baik dan terlalu menjaga hati mereka untuk mendapatkan undi. Sedangkan belum tentu mereka mengundi kita. Tidak cukupkah lagi kebebasan beragama yang diamalkan di negara kita?

Gagasan 1Malaysia bukan bermakna memadamkan semua unsur Melayu dan Islam sehingga menjadikan ia sama rata dan sama rasa. Bayangkan jika tidak diperkenalkan gagasan 1Malaysia, apakah kita yakin mereka tidak akan mencari apa jua hujah untuk mematahkan hujah-hujah kita. Kadangkala terfikir juga saya apakah gagasan ini satu kesilapan kerana ramai sangat orang yang memperalatkannya?

Sumber : http : //www.sinarharian.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan