Oleh Fredolin Tangang
Kejahilan cetus impak negatif kepada kemanusiaanPERUBAHAN iklim adalah fenomena sejagat yang berlaku akibat daripada proses pembangunan yang tidak mapan terutama di negara maju sejak zaman perindustrian mereka bermula.
Menurut laporan Panel Perubahan Iklim Antara Kerajaan (IPCC), Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), perubahan iklim ialah sesuatu kejadian yang tidak dapat disangkal lagi dan ia berlaku akibat kegiatan manusia membebaskan gas rumah hijau ke atmosfera menyebabkan suhu udara meningkat.
Peningkatan kepekatan gas rumah hijau terutama karbon dioksida, metana dan nitrus oksida di atmosfera terutama daripada pembakaran bahan api fosil seperti petrol, diesel, arang batu dan kegiatan guna tanah, memerangkap haba dan menyebabkan peningkatan suhu dan fenomena pemanasan global yang telah membawa pelbagai impak negatif kepada kehidupan manusia masa kini.
Menurut laporan panel itu suhu dunia akan terus meningkat, fenomena kemarau, banjir, peningkatan aras laut akan semakin teruk menjelang dekad akan datang jika dunia tidak berusaha mengurangkan pembebasan gas rumah hijau ini.
Di Malaysia, suhu udara yang meningkat menyebabkan berlaku perubahan pola kejadian fenomena cuaca ekstrem seperti banjir besar, peningkatan aras laut dan hakisan pantai yang serius adalah petanda impak perubahan iklim.
Kejadian banjir terburuk di Johor penghujung 2006 dan awal 2007 serta banjir teruk yang berlaku awal tahun ini juga di Johor, berkemungkinan ada kaitannya dengan perubahan iklim.
Kajian Jabatan Pengairan dan Saliran mendapati 30 peratus pantai di Malaysia mengalami hakisan yang teruk dan ini dijangka menjadi lebih teruk akibat perubahan iklim berterusan.
Perubahan iklim membawa pelbagai impak kepada kesejahteraan penduduk, alam sekitar dan pelbagai ekosistem serta ekonomi. Dengan suhu yang meningkat, banjir dan kemarau yang semakin kerap, keupayaan negara mengeluarkan makanan mungkin akan terjejas.
Menurut laporan IPCC lagi, jika kepekatan gas rumah hijau di atmosfera terus meningkat, dijangka purata suhu dunia akan meningkat melebihi enam darjah Celsius pada penghujung abad ke-21. Ini jauh lebih tinggi berbanding peningkatan kurang dari satu darjah Celsius sejak 100 tahun yang lalu. Dunia akan berada dalam keadaan kemusnahan sekiranya ini berlaku.
Justeru, saintis mencadangkan peningkatan ini dihadkan kepada dua darjah Celsius dan menyeru semua negara mengurangkan pembebasan gas rumah hijau.
Bagaimanapun, instrumen seperti Protokol Kyoto ternyata gagal. Data terkini menunjukkan kepekatan gas ini lebih tinggi daripada kepekatan bagi senario terburuk yang digunakan oleh IPCC. Perundingan antara negara anjuran PBB seperti Persidangan Parti (COP) mengenai konvensyen kepelbagaian biologi juga belum membuahkan sesuatu yang konkrit yang boleh dilaksanakan serta-merta.
Negara maju yang menjadi penyumbang utama kepada perubahan iklim akibat proses pembangunan dan perindustrian mereka sejak 100 lalu, masih gagal menunjuk-kan komitmen yang tinggi untuk menurunkan pembebasan gas rumah hijau dan membantu negara sedang membangun untuk bergerak ke arah ekonomi karbon rendah.
Keghairahan China dan India dalam pembangunannya menjadikan usaha menurunkan kepekatan gas rumah hijau semakin sukar.
Peningkatan penduduk dunia yang boleh mencapai lebih 10 bilion pertengahan abad ini daripada lebih kurang enam bilion kini juga akan menyukarkan usaha ini.
Sebilangan besar saintis tidak yakin kaedah perundingan akan menghasilkan satu perjanjian yang dipatuhi oleh semua negara untuk mengurangkan pembebasan gas rumah hijau mereka.
Kaedah manipulasi iklim dipanggil sebagai ‘geo-engineering’ berkemungkinan terpaksa dilakukan. Salah satu kaedah ialah menyembur partikel halus yang dipanggil aerosol ke stratosfera dan dengan jumlah kuantiti yang sesuai ia mampu mengurangkan kemasukan pancaran sinaran matahari dan mampu merendahkan suhu bumi.
Bagaimanapun ia mempunyai kesan sampingan bersifat negatif. Satu kajian di Amerika Syarikat contohnya, menunjukkan kejadian kemarau pada dekad akan datang di Amerika boleh dikurangkan tetapi ia juga melemahkan sistem monsun di rantau Asia Tenggara dan akan menyebabkan musim kemarau yang berpanjangan.
Ternyata impak positif kaedah seperti ini tidak menyeluruh dan pendekatan geo-engineering seperti ini sepatutnya hanya dilaksanakan dalam kerangka persetujuan semua negara.
Persoalannya apa jaminan negara kuasa nuklear yang mempunyai keupayaan teknologi tinggi untuk tidak bertindak memanipulasi iklim secara unilateral.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan