Isnin, 18 Julai 2011

ISU BAHASA : Ke mana bahasa Melayu?

Oleh Hafizah Iszahanid
hafiza@bharian.com.my

Tindak-tanduk menidakkan wibawanya bawa padah

MESKIPUN sejarah bahasa Melayu itu sudah bermula berdekad lampau dan diiktiraf sebagai bahasa kerajaan sejak abad Ke-13, menjelang alaf baru, kedudukan bahasa Melayu benar-benar tercabar dalam negaranya sendiri. Malah sejak 50 tahun selepas merdeka, kedudukannya sebagai bahasa ilmu sudah merosot.

Kenyataan itu amat pedih, tetapi itulah hakikat yang ditegaskan bekas Ketua pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang juga Ketua Pegawai Eksekutif, Yayasan Karyawan, Datuk Dr Hassan Ahmad, pada ceramah umum di Ibu Pejabat DBP, Kuala Lumpur sempena ulang tahun ke-55 badan itu, baru-baru ini.

Malah titik kemerosotan itu semakin membesar apabila kerajaan sendiri pada 2003 mengubah dasar pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Melayu kepada bahasa Inggeris dengan alasan orang Malaysia tidak akan maju jika tidak belajar kedua-dua subjek berkenaan dalam bahasa penjajah!

“Krisis ini berlaku setelah dasar yang asal itu berjaya menghasilkan ratusan ribu, bahkan beberapa juta pelajar yang mempelajari Sains dan Matematik dengan jaya dalam bahasa kebangsaan sejak 1970-an. Dasar itu juga telah melahirkan ratusan profesor dan pensyarah yang mengajar Sains dan Matematik dalam bahasa kebangsaan, selain ratusan ahli sains dan pakar bidang lain termasuk perubatan,” katanya.

Dr Hassan menegur sikap sesetengah pihak berkenaan yang terlalu mudah melupakan kenyataan bahasa Melayu sudah pun digunakan untuk mengajar dan mempelajari ilmu ‘moden’ seperti linguistik umum, sosiologi, antropologi, selain bahasa dan kesusasteraan Melayu di Jabatan Pengajian Melayu sejak Universiti Malaya di Singapura pada 1954.

Lebih membanggakan tenaga pengajar pada masa itu ialah di kalangan sarjana Belanda dan Inggeris seperti Jesselin de Jong, Dr CC Mees, Dr MBSwift dan CC Skinner yang menguasai ilmu dalam bahasa Melayu dengan baik, selain berkesungguhan mengajarnya.

Beliau yakin bahawa kemerosotan itu berpunca daripada enam faktor, iaitu dasar bahasa yang ada selama ini tidak kuat atau lemah; pelaksanaan dasar itu lemah atau tidak tegas; perancangan bahasa atau cara membina dan mengembangkan bahasa sebagai bahasa kebangsaan Malaysia tidak cekap atau tidak kena atau tidak sesuai dengan taraf bahasa Melayu sebagai bahasa yang sudah maju sebelum 1957.

Tidak ketinggalan, pendidikan bahasa Melayu atau bahasa kebangsaan di sekolah gagal melahirkan generasi pasca kemerdekaan yang tertarik untuk terus menggunakan bahasa Melayu sebagai alat kemajuan negara dalam semua bidang selepas meninggalkan bangku sekolah.

Begitu juga pusat pengajian tinggi awam dan menteri atau Perdana Menteri yang sepatutnya melaksanakan dasar bahasa kebangsaan tidak berpengetahuan, semangat dan komitmen yang kuat untuk mendukung dasar itu sepenuh hati atau tiada ‘model’ pengguna bahasa kebangsaan yang terbaik di kalangan pemimpin negara, menteri, pegawai kerajaan dan ahli korporat perniagaan yang dapat diteladani atau dicontohi anggota masyarakat atau rakyat.

“Taraf bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dalam sektor pendidikan dan pentadbiran kerajaan yang lemah akan merebak ke DBP menjadikan tugas mereka sia-sia. Apa perlunya DBP menggubal ratusan ribu istilah baru pelbagai bidang ilmu, jika tidak digunakan atau penulisan dan penerbitan buku ilmu tinggi dalam bahasa ini kian lama kian merosot?,” soalnya.

Justeru, DBP perlu kuat dan memperkukuhkan tugasnya seperti diamanahkan sejak 1959 dan diperkemaskan lagi melalui Akta DBP (Pindaan) 1995, iaitu amanah untuk mengembangkan dan memperkukuh bahasa Melayu melalui pembinaan sastera dalam bahasa kebangsaan melalui penulisan dan penerbitan karya ilmu yang besar dalam bahasa ini.

“DBP jangan lari daripada tugas asal. Saya juga mengingatkan orang DBP bahawa mereka semua diamanahkan untuk ‘memajukan’ bahasa dan sastera Melayu yang sudah maju beratus tahun sebelum 1957. Janganlah kita merosakkan ‘martabat’ bahasa yang sudah maju ini dengan melakukan kaedah ‘perancangan bahasa’, ‘perancangan sastera’ dan ‘perancangan penerbitan’ seolah-olah bahasa ini bahasa yang mundur, bahasa tidak maju, bahasa yang tidak pernah meninggalkan tradisi sastera dan penulisan ilmu yang tinggi,” tegasnya.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan