Oleh Adli Shahar
adli@bharian.com
Dakwaan berkenaan dianggap tidak semestinya benar OLEH sebab ruang penulisan karya sastera terhad dalam media dan penerbitan arus perdana, semakin ramai pengkarya sastera terutama yang baru berjinak-jinak dalam bidang ini mengambil kesempatan menerbitkan karya mereka di alam siber.
Laman seperti www.eSastera.com dan www.penulisan2u.com adalah antara laman sesawang yang kerap digunakan oleh pengkarya siber pada masa ini untuk menerbitkan karya mereka bagi tatapan peminat.
Kedua-dua laman sesawang terbabit menyediakan gelanggang pengkarya siber untuk menerbitkan karya sastera seperti puisi, sajak, pantun, syair dan cerpen dengan mudah, sebaik mendaftarkan nama mereka.
Selain ruangan penerbitan sastera yang terhad, pengkarya siber juga menjadikan laman sesawang bagi menerbitkan karya kerana ia menyediakan perkhidmatan percuma, mudah dan pantas bagi sesebuah karya itu dibaca pembaca.
Tidak dapat dinafikan juga, sesebuah karya sastera yang diterbitkan di alam siber akan dapat dicapai lebih ramai pembaca kerana pada masa kini, kemudahan internet boleh didapati secara meluas dan digunakan oleh sesiapa saja.
Namun, tidak seperti penerbitan karya sastera terbitan media arus perdana, hasil kerja pengkarya siber kebanyakannya tidak melalui proses suntingan serta kawalan kualiti kerana cara penerbitan menerusi internet menyukarkan perkara itu untuk dilaksanakan.
Hal ini menimbulkan persoalan sama ada penerbitan sastera elektronik oleh pengkarya siber sebenarnya pemusnah atau pembina industri sastera di negara ini kerana menerusi internet, ia boleh diterbitkan sesuka hati dalam jumlah yang banyak tanpa mengira mutu.
Penulis yang pernah terbabit dalam penulisan karya sastera dalam media arus perdana dan internet, Shamsudin Othman, mengakui sastera elektronik boleh menjadi pemusnah kepada industri sastera jika penulis yang terbabit, sebagai contoh, menolak unsur moral dalam karya mereka.
“Perkara ini sebenarnya bergantung kepada penulis itu sendiri kerana sesetengah laman sesawang memberi kebebasan sepenuhnya kepada penulis,” katanya ketika diminta Sastera mengulas perkara terbabit.
Shamsudin bagaimanapun berkata, laman sesawang karya sastera yang sudah terkenal kebiasaannya mempunyai editor dan moderator yang memantau karya yang diterima bagi menjaga kualiti karya yang diterbitkan dalam laman sesawang mereka.
“Jika dilihat daripada satu sudut, ruang internet hakikatnya memainkan peranan penting dalam perkembangan sastera tanah air kerana ia boleh dibaca oleh peminat sastera di seluruh dunia. Ada pengkarya tersohor meletakkan karya mereka di internet sebelum diterbitkan dalam media arus perdana seperti novelis, Azizi Abdullah dan Penerima Anugerah Penulisan Asia Tenggara (SEA) 1980, Datuk (Dr) Baharuddin Zainal,” ujarnya.
Tidak ketinggalan, ada juga laman sesawang sastera yang mengambil langkah menerbitkan buku daripada karya sastera yang pernah diterbitkan dalam simpanan mereka atas permintaan penulis terbabit.
Laman sesawang www.eSastera.com sebagai contoh, sentiasa bersedia menerbitkan karya sastera yang pernah diletakkan di laman mereka, dengan kos penerbitan ditanggung oleh eSastera atau penulis sendiri.
Walaupun eSastera tidak akan terbabit dalam mengawal mutu karya yang diterbitkan, Pengerusi eSastera, Dr Irwan Bakar mengakui tidak timbul isu yang mengatakan langkah terbabit akan merendahkan kualiti sastera negara.
Selain setiap karya yang diletakkan dalam laman sesawang perlu melalui sistem penilaian daripada pembaca, penulis juga tidak akan berani menerbitkan karya tidak bermutu kerana setiap karya sudah mendapat maklum balas daripada pembaca selepas diterbitkan di laman sesawang.
Dr Irwan menjelaskan, salah satu kelebihan sastera elektronik ialah setiap karya akan mendapat maklum balas pantas daripada pembaca, termasuk mereka yang lebih berpengalaman dalam menghasilkan karya sastera.
“Tidak timbul isu mutu kerana penulis akan menjaga kualiti karya yang ingin diterbitkan dalam bentuk buku berdasarkan maklum balas pembaca di internet,” ujarnya.
Antara karya eSastera yang diterbitkan dalam bentuk buku termasuk Doa Penyair oleh Mohd Dahri Zakaria, Jalan Baru (Nimoiz TY), Tikaman Madah (Anbakri), Ratib Timur (As Syramy, Kale Mas, Merdu Andika, MN Iskandar dan Ariff Abadi) serta Berkarya di Alam Siber (Dr Irwan dan Hasimah Harun).
“Saya melihat sastera perlu bergerak di internet selain dari di medium konvensional agar terus kekal,” katanya.
Dr Irwan menambah, jika dilihat daripada situasi perkembangan sastera pada masa kini, penggunaan internet untuk berkarya adalah perlu kerana medium konvensional agak statik, memaksa generasi muda lebih banyak menggunakan internet dan kos percetakan medium konvensional yang tinggi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan