oleh Syahredzan Johan Sebagai rakyat Malaysia, kita mempunyai kebebasan dan hak yang dijamin Perlembagaan. Hak ini secara amnya terkandung di dalam Bahagian II Perlembagaan Persekutuan dan merangkumi pelbagai aspek seperti kesamarataan, kebebasan beragama, berhimpun, berpersatuan dan bergerak. Menurut Perkara 10(1)(a) Perlembagaan Persekutuan, tiap-tiap warganegara berhak bebas bercakap dan mengeluarkan fikiran (ekspresi). Kebebasan ini bukan setakat memberi hak untuk anda memberikan pandangan dan pendapat, tetapi juga merangkumi apa-apa cara anda mengeluarkan fikiran anda. Sekiranya anda menari dan menyanyi, anda mengeluarkan fikiran. Sekiranya anda mendeklamasi sajak, anda mengeluarkan fikiran. Cara anda berpakaian, warna yang anda pilih, baju yang anda pakai semuanya merupakan amalan pengeluaran fikiran yang termaktub sebagai kebebasan asasi di bawah Perlembagaan. Adakah kebebasan ini mutlak? Sudah tentu tidak. Perkara 10(2)(a) Perlembagaan Persekutuan menyatakan bahawa Parlimen boleh melalui undang-undang mengenakan sekatan ke atas kebebasan bersuara dan mengeluarkan fikiran apa-apa sekatan yang didapatinya perlu atau suai manfaat demi kepentingan keselamatan Persekutuan atau mana-mana bahagiannya, hubungan baik dengan negara-negara lain, ketenteraman awam atau prinsip moral dan sekatan-sekatan yang bertujuan untuk melindungi keistimewaan Parlimen atau mana-mana Dewan Undangan atau untuk membuat peruntukan menentang penghinaan mahkamah, fitnah, atau perbuatan mengapi-apikan sesuatu kesalahan. Maka sememangnya kebebasan ini boleh disekat. Tetapi, sekatan itu haruslah melalui undang-undang. Maknanya, harus terdapat undang-undang sedia ada untuk menjadi asas bagi menyekat kebebasan tersebut. Tanpa apa-apa undang-undang terpakai, mana-mana pihak tidak boleh secara sewenang-wenangnya menyekat kebebasan bersuara dan mengeluarkan fikiran. Tanpa asas undang-undang, apa-apa tindakan mana-mana pihak adalah tidak berperlembagaan. Di samping itu, tidak lama dahulu, Mahkamah Persekutuan, Mahkamah tertinggi negara, juga telah memutuskan bahawa kebebasan-kebebasan asasi yang termaktub di dalam Perlembagaan harus diberi makna dengan luas manakala peruntukan yang mengehadkan atau menyekat kebebasan pula harus diberi makna yang sempit dan terhad. Di dalam konteks kebebasan bercakap dan mengeluarkan fikiran, Mahkamah Persekutuan telah memutuskan bahawa perkataan berpatutan (atau dalam bahasa Inggeris, ‘reasonable’) harus dibaca ke dalam peruntukan yang membenarkan sekatan. Maka, apa-apa sekatan yang dikenakan melalui undang-undang haruslah berpatutan. Adakah sekatan ke atas hak itu suatu keperluan berpatutan dan wajar demi mencapai salah satu matlamat yang digariskan di dalam Perlembagaan? Interpretasi ini telah memberi dimensi baru kepada sekatan-sekatan yang dibenarkan oleh Perlembagaan. Sekatan yang dikenakan harus diukur dengan kayu ukur ‘berpatutan’. Di samping itu, Mahkamah juga telah memutuskan bahawa apa-apa tindakan yang dikenakan untuk menyekat sesuatu kebebasan haruslah juga berkadaran (‘proportionate’) dengan matlamat sah yang mahu dicapai. Apa maksudnya berkadaran? Maknanya, jika mengupas kacang, janganlah menggunakan tukul besi. Ianya bukanlah sekadar jika cara berpakaian dihalang demi menjaga ketenteraman awam, misalnya. Mahkamah berhak membatalkan tindakan- tindakan yang tidak berkadaran dengan matlamat yang ingin dicapai. Kita harus sentiasa ingat akan prinsip asas konsep keperlembagaan, iaitu hak kita termaktub dan dijamin Perlembagaan dan hanya boleh disekat oleh peruntukan-peruntukan terhad di dalam Perlembagaan. Hak kita datangnya dan dijamin oleh Perlembagaan sebagai undang-undang tertinggi negara, dan bukannya hanya apabila dibenarkan oleh mana-mana institusi atau individu. Apa-apa tindakan yang diambil yang tidak mengikut undang-undang, bukan merupakan sekatan yang berpatutan atau wajar atau tidak berkadaran dengan matlamat adalah tindakan yang tidak berperlembagaan dan tidak sah di sisi undang-undang. Oleh itu, kita tidak harus khuatir bercakap atau mengeluarkan fikiran. Teruskan nyanyian, teruskan ucapan, teruskan tari menari, teruskan warna-warni, teruskan cara berpakaian, teruskan bersajak, melukis dan mengekspresikan diri anda. Kita punya hak berbuat demikian. |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan