Oleh Sakini Mohd Said
KUALA LUMPUR, 19 Julai (Bernama) -- Apabila dilaporkan kajian terkini pembacaan rakyat Malaysia meningkat sebanyak lapan hingga 12 buku setahun, ramai merasakan ia sesuatu yang harus dibanggakan.
Alasan mereka angka itu menunjukkan peningkatan kerana kajian 2005 mendapati hanya purata dua buah buku sahaja dibaca oleh seorang rakyat negara ini dalam setahun.
Ya, dari satu sudut kajian itu menunjukkan bahawa budaya membaca dalam kalangan masyarakat Malaysia sudah semakin positif.
Tetapi apakah genre buku pilihan mereka? Pemilihan buku juga faktor penting dalam menyumbang kepada pelbagai perkara yang sihat.
Akan tetapi, kajian sebelum ini menunjukkan sebilangan besar daripada pembaca Malaysia lebih cenderung membaca buku atau majalah bercorak "ringan".
Apakah dengan berdampingan dengan novel, majalah fesyen dan hiburan, dikira sudah cukup untuk merangkumkannya dalam golongan pembaca? Maka, terdengarlah ungkapan: "Sekurang-kurangnya, aku baca ok".
Bolehkah seseorang itu sekadar bergantung dengan membaca bahan ringan untuk menjadi bangsa berjaya, bak cogan kata "Bangsa Membaca Bangsa Berjaya".
SALAHKAH MEMBACA BUKU UNSUR RINGAN?
Kalau dilihat ruang bilik tidurnya dari jarak jauh, mungkin mengandaikan Nur Alia Kamarul Ahmad, 17, seorang yang ulat buku. Ia berdasarkan kepada longgokan buku tersusun kemas di sudut ruang bilik tidurnya.
Namun koleksi bukunya terdiri daripada pelbagai novel merangkumi kisah cinta, penyiasatan dan sebagainya serta pelbagai jenis majalah ringan.
Buku-buku ilmiah pula boleh dikira dengan jari sahaja, itu pun atas faktor keperluan pengajiannya di universiti.
"Saya bosan baca buku-buku berbentuk pengetahuan, boleh buat saya mengantuk. Lagipun tidak salahkan kalau saya baca novel dan majalah daripada langsung tidak baca," katanya kepada Bernama.
Mengulas mengenai situasi ini, bekas Ketua Jabatan Geologi, Fakulti Sains, Universiti Malaya, Prof Madya Datuk Mohamad Ali Hasan berkata tidak menjadi kesalahan bagi mereka yang membaca bahan berunsur ringan tetapi janganlah seratus peratus berpaut kepada genre sedemikian.
"Kita bersyukur ada peningkatan pembacaan buku. Tetapi, masalahnya mereka hanya membaca buku ringan dan masih kurang membaca buku serius.
"Seharusnya mereka perlu pelbagaikan bahan bacaan, ilmiah dan ringan. Ini kerana kita hendak melahirkan generasi pemikir, pemikir besar akan datang dan ini sangat penting," katanya yang juga merupakan Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional.
BUANG MASA BACA BUKU TIADA KEPENTINGAN
Masalah utama sesetengah masyarakat hari ini ialah mereka lebih gemar memilih bahan bacaan yang bersangkut-paut dengan pekerjaan mereka dan bergenre ringan.
Bagi mereka, membaca luar daripada skop sedemikian adalah "merugikan", "buang masa" dan tidak berfaedah ke arah pembentukan diri.
Stigma sedemikian akhirnya menyekat horizon pengetahuan mereka yang sepatutnya diisi dengan kepelbagaian ilmu, kata Mohamad Ali.
"Skop pengetahuan mereka agak terhad, dunia pemikirannya dengan dunia penaklukan pemikirannya tidak luas. Kita hendakkan warganegara yang mempunyai pemikiran global, jadi kita mesti banyak baca.
"Bagaimana untuk menguasainya kalau kita baca tidak meluas dan hanya baca bahan ringan sahaja? Profesor Diraja Ungku Abdul Aziz Ungku Abdul Hamid ketika di sekolah menengah membaca semua bahan di perpustakaan dan pengetahuannya membolehkannya menafsir dan berdiskusi," katanya.
Menganggap situasi begini ekoran daripada sistem pendidikan yang berorientasikan "peperiksaan" berbanding "pendidikan sepanjang hayat" menyebabkan budaya membaca belum sampai ke tahap menginsafkan, memahami dan menghayati.
Wujudnya situasi ini disebabkan masih ramai menganggap budaya pembacaan sebagai satu bebanan dan tidak menyeronokkan.
"Ini menyebabkan mereka hanya membaca bahan ringan dan buku ilmiah pun sekadar untuk lulus peperiksaan dan peningkatan kerjaya. Disebabkan itulah, kita belum lagi sampai tahap membaca merupakan sesuatu yang menyeronokkan dan rasa kesal sekiranya tidak membaca," katanya.
TIDAK BOLEH PAKSA
Tanggapan minat pembacaan buku tidak boleh dipaksa, harus disangkal kerana sudah menjadi tanggungjawab ibu bapa untuk mencorakkan budaya membaca dalam kalangan anak-anak.
Apatah lagi, anak diibaratkan seperti kain putih dan layang-layang yang harus dikemudi dengan baik dalam memupuk minat membaca generasi kecil itu sejak kecil lagi.
"Saya tidak setuju kita pupuk minat membaca anak-anak dengan menjurus apa yang mereka minat. Ibu bapa harus tentukan dan pupuk minat membaca pelbagai jenis, ilmiah dan ringan.
"Bukan suruh mereka baca buku ilmiah berat, tetapi yang sesuai dengan umur mereka. Bila mereka sudah biasa membaca buku ilmiah sejak kecil, budaya itu akan terus terbawa sehingga dewasa," kata Mohamad Ali.
MESTI ADA PERUNTUKAN BELI BUKU
Mengakui tidak ramai yang sanggup membelanjakan wang pendapatan mereka membeli buku-buku bermutu, Mohamad Ali berkata sikap sedemikian harus diubah.
"Kita tidak nampak misalnya budaya orang kita rak-rak mereka dipenuhi dengan buku bermutu.
"Malah, budaya membaca majalah bulanan profesional berbentuk ilmiah untuk mengemas kini ilmu mereka pun belum nampak lagi, berbanding Barat," katanya.
IMPLIKASI
Impian atau hasrat kerajaan mencapai status pendapatan per kapita tinggi sebanyak RM15,000 pada 2020 serta memiliki 37 peratus tenaga mahir menjelang 2015, mungkin akan menghadapi sedikit kesukaran sekiranya trend membaca buku ringan tanpa diselang-seli dengan ilmiah dibiarkan berterusan.
Ini kerana kedua-dua impian itu bukan hanya digantungkan di leher kerajaan tetapi individu sebagai rakyat Malaysia juga harus digerakkan.
"Kita akan ketinggalan. Kalau kita baca buku ringan sahaja, kita tidak dapat melompat.
"Kita sudah banyak mundur. Jadi kita kena bergerak cepat," katanya.
Sumber : http : //www.bernama.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan