PADA 14 Jun 2011, Malaysia dikejutkan oleh ancaman penggodaman daripada kumpulan antarabangsa yang memanggil diri mereka 'The Anonymous'.
Kumpulan ini amat dikenali kerana serangan-serangan siber yang berjaya dilakukan sebelum ini seperti serangan ke atas Sony Playstation dan beberapa perbankan ternama dunia.
Tidak hanya menumpukan serangan kepada sasaran yang bersifat komersial, serangan juga dilakukan oleh kumpulan yang sama terhadap negara-negara berdaulat seperti Tunisia, Mesir, Turki dan yang terbaru adalah laman web CIA serta laman web kerajaan dan Pejabat Perdana Menteri Brazil.
Kumpulan ini menamakan diri mereka 'the internet freedom fighter' (pejuang kebebasan Internet) dan akan menyerang sasaran yang terpilih terutamanya yang dilihat melaksanakan 'internet censorship' dan sekatan muat naik dan turun.
Mereka biasanya akan dibantu oleh penggodam tempatan yang menjadi penyokong setia. Kumpulan ini turut bekerjasama dengan satu lagi kumpulan yang menamakan diri mereka 'the LulzSec' yang dilihat mempunyai kemahiran penggodaman yang tinggi.
Tiada siapa yang menyangka bahawa Malaysia dipilih menjadi sasaran kumpulan ini. Namun tindakan kerajaan menyekat 10 laman file sharing yang dikenal pasti melaksanakan muat naik dan turun bahan-bahan cetak rompak yang melanggar undang- undang negara telah menarik minat mereka untuk melancarkan 'Operation Malaysia'.
Natijah daripada serangan ini, sejumlah laman web kerajaan dan swasta telah digodam. Biarpun jumlah sebenar sukar ditentukan, namun yang pasti jumlahnya agak besar seperti yang dinyatakan oleh media- media tempatan.
Pada penilaian saya, pemilihan Malaysia sebagai sasaran kumpulan ini adalah berpunca daripada maklumat tidak tepat yang disampaikan oleh kumpulan tempatan yang menjadi 'mata dan telinga' kumpulan ini. Lebih menyedihkan, walaupun ancaman serangan siber dikeluarkan oleh kumpulan ini pada 14 Jun lalu, akan tetapi yang melakukan serangan dan penggodaman kebanyakannya adalah anak tempatan sendiri.
Malah, sehingga serangan berkurangan pada 20 Jun 2011, fakta menunjukkan kumpulan 'Anonymous' luar negara tidak menyerang langsung, malah mereka lebih dikejutkan oleh perlakuan penggodam tempatan yang bagaikan berpesta untuk menggodam sistem-sistem komputer di negara ini.
Apa yang lebih menarik, peringkat umur penggodam tempatan kebanyakannya dianggarkan di bawah 25 tahun, masih muda dan baru tamat pengajian di peringkat universiti dan baru memasuki alam pekerjaan. Berbeza sikap dengan sesetengah negara lain yang mana penggodam tempatan, mereka menentang sebarang campur tangan asing, tetapi penggodam di Malaysia bersikap sebaliknya.
Mungkin juga sudah sampai masanya, kita semua mengambil iktibar daripada insiden ini. Pihak kerajaan dan swasta perlu berganding bahu memulakan program pemulihan dan motivasi ke atas penggodam-penggodam tempatan bertujuan menjadikan mereka lebih patriotik, produktif dan bersikap lebih positif.
Hasil daripada program ini, ia dapat menjadikan mereka sebahagian daripada tenaga mahir negara yang boleh membantu pembangunan dan mempertahankan negara di alam siber dalam jangka masa panjang. Adalah baik juga sekiranya diwujudkan Pasukan Simpanan Siber yang dianggotai oleh pejuang-pejuang siber negara yang boleh dilatih secara sistematik dan dalam masa yang sama dapat meningkatkan tahap kepakaran mereka.
Pasukan ini boleh dijadikan elemen bantuan ketika negara diancam dan diserang di alam siber. Agensi seperti CyberSecurity Malaysia bersedia untuk melaksanakan program ini jika diberi kepercayaan dan mendapat mandat daripada kerajaan serta masyarakat.
Kerjasama kerajaan dan pihak swasta dalam menjayakan program pemulihan dan motivasi ke atas penggodam-penggodam ini amatlah diperlukan supaya ancaman dan serangan siber ini dapat dikurangkan sebanyak mungkin kerana kesannya merugikan semua pihak.
Pada masa sama, kita juga perlu memahami bahawa kebanyakan penggodam ini datangnya dalam kalangan mereka yang bijak pandai dan berpotensi dibentuk menjadi insan yang lebih bertanggungjawab sekiranya program ini dibuat secara berkesan dan menarik minat generasi muda terutamanya Generasi-X.
Jika berjaya, program ini boleh dikembangkan ke peringkat global dan Malaysia boleh dicontohi dunia dalam memperkenalkan pendekatan pendidikan yang inovatif dalam menyelesaikan cabaran tanpa sempadan ini.
Program sebegini juga berpotensi untuk menjana lebih banyak tenaga profesional keselamatan siber yang berpendapatan tinggi yang diperlukan oleh Malaysia khususnya dan dunia tanpa sempadan amnya.
LT. KOL. (B) DATUK HUSIN JAZRI ialah Ketua Pegawai Eksekutif CyberSecurity Malaysia, agensi Kementerian, Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI)
Sumber : http : //www.utusan.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan