Jumaat, 22 Julai 2011

Malaysia negara ke-19 paling selamat di dunia – GPI 2011

KUALA LUMPUR 22 Julai – Berita baik untuk rakyat Malaysia yang cintakan keamanan kerana kajian Global Peace Index (GPI) 2011 mendapati Malaysia adalah negara ke-19 paling selamat daripada 153 negara di seluruh dunia.

Malaysia juga diletakkan sebagai negara paling aman di Asia Tenggara dan keempat di Asia Pasifik selepas New Zealand, Jepun dan Australia.

Ini adalah julung kalinya Malaysia diberi ranking setinggi itu sejak 2007 dan negara ini adalah antara enam negara bukan Eropah yang menduduki 20 tempat teratas dalam senarai berkenaan, di samping Iceland, New Zealand, Jepun, Qatar dan Australia.

Penemuan edisi kelima kaji selidik oleh Institute for Economics and Peace yang berpejabat di Sydney itu diumumkan pada hujung Mei.

Pada 2007, Malaysia menduduki tangga ke-37 dan jatuh ke tangga ke-38 pada 2008, sebelum memperbaiki kedudukannya daripada tempat ke-26 pada 2009 kepada tempat ke-22 pada 2010 dan tempat ke-19 pada 2011.

Indeks berkenaan mengandungi 23 petunjuk kualitatif dan kuantitatif oleh sumber yang dihormati, yang menggabungkan faktor dalaman dan luaran — daripada perbelanjaan ketenteraan di peringkat nasional hinggalah kepada hubungan sesebuah negara dengan jirannya serta tahap. pematuhan hak asasi manusia. – Bernama

1 ulasan:

  1. Alhamdulillah cikgu. Harapan saya Malaysia yang dibina daripada perjuangan terdahulu ini akan kekal aman. Akhir-akhir ini ramai orang semakin biadab dan tak pandai menjaga hati pihak lain.. Saya bimnbang keamanan kita ini terhenti separuh jalan. Moga Allah pelihara negara ini.. AMIN

    BalasPadam