Oleh Sharifah Hayaati
bhagama@bharian.com.my
Tak wajar jadikan puasa alasan lambat siap tugasan
ALHAMDULILLAH, bersyukur kita kerana telah dipinjamkan 13 hari yang penuh keberkatan pada Ramadan, bulan yang dilimpahi kurniaan rahmah, magfirah serta dijanjikan ganjaran Allah yang berlipat kali ganda.
Daripada Abu Hurairah, Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Telah datang kepada kamu sekalian bulan penuh keberkatan, Allah mewajibkan puasa di dalamnya, pintu syurga dibuka luas, pintu neraka ditutup rapat dan syaitan dibelenggu. Allah memiliki dalam Ramadan suatu malam yang lebih baik dari seribu bulan. Barang siapa yang tidak mendapatkan kebaikan sesungguhnya ia sangat rugi.” (Hadis riwayat An-Nasa'i).
Tiada nama bulan yang disebutkan dalam al-Quran kecuali Ramadan. Dengan segala kemuliaan diberi kepada umat Nabi Muhammad SAW dengan sabdanya, ‘bulan ini adalah bulan umatku’, marilah kita menilai pencapaian 13 hari yang telah dilalui untuk beramal merebut baki Ramadan.
Pencapaian beramal pada bulan ini sewajarnya dinilai bukan saja kepada ibadat khusus seperti solat tarawih, tadarus, zikir, doa dan sedekah, juga kepada tanggungjawab bekerja mencari rezeki kerana ia suatu ibadat bahkan jihad.
Rasulullah SAW pernah menasihati sahabat yang berjalan bersamanya apabila menegur seorang pengusaha kebun tamar dengan mengatakan bukankah lebih baik jika pengusaha kebun yang muda dan kuat itu menggunakan kekuatannya untuk pergi berjihad.
Lalu Rasulullah SAW menegur dengan katanya, jika apa yang diusahakan itu dapat mengelakkan dirinya daripada meminta-minta kepada yang lain, maka itu adalah jihad baginya. Bahkan jika usaha itu menyebabkan ia dapat memberi nafkah kepada keluarganya, itu juga jihad baginya dan jika pula dengan usaha itu ia dapat membantu masyarakat seperti mengeluarkan zakat dan bersedekah, maka itu juga adalah jihad baginya.
Hakikatnya bekerja juga jihad daripada sifat malas serta suka meminta. Tambahan, yang sering kita lupakan ialah dengan rezeki daripada bekerja itulah membolehkan kita bersedekah dan membayar zakat fitrah serta memberi ketenangan dalam beribadat menghidupkan Ramadan.
Sebaliknya, apa yang sering diperkatakan ialah suasana bekerja pada Ramadan kurang efektif berbanding bulan lain. Sering juga kedengaran kata-kata sinis atau gurauan bila lambat menyiapkan tugasan, alasannya ‘puasalah’.
Namun, mengambil kira kebajikan dan ihsan terhadap pekerja terutama dalam bulan ini adalah amalan mulia yang sangat dituntut. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Sesiapa yang meringankan beban kerja pekerjanya pada Ramadan akan diampunkan Allah dosanya dan dibebaskan daripada api neraka.” (Hadis riwayat Ibn Khuzaimah).
Asalkan ia tidak mengganggu proses operasi, kualiti perkhidmatan, pengurangan produktiviti dan sasaran perancangan, dengan sebab itulah, ada majikan dan organisasi berusaha menyiapkan tugasan atau tindakan penting sebelum kedatangan Ramadan dan Syawal bagi mengelak kelewatan.
Ini supaya tidak menjejaskan kualiti perkhidmatan dan produktiviti. Lebih membimbangkan jika ada persepsi negatif terhadap pekerja Muslim yang dilihat kurang bersungguh-sungguh atau produktif dalam Ramadan berbanding yang lain.
Hal ini boleh mencalarkan imej umat Islam sekali gus pensyariatan berpuasa. Oleh itu, pencapaian beramal melalui ‘ibadat kerja’ seharian perlu untuk dinilai dan dipertingkatkan kualitinya khasnya pada Ramadan.
Bagi membugarkan semangat dan keseronokan bekerja di bulan ini ambillah iktibar kemenangan umat Islam dalam Perang Badar walaupun ia peperangan besar yang pertama dalam Islam, ia berlaku pada 17 Ramadan tahun kedua Hijrah.
Kejayaan ini digerakkan oleh kekuatan dalaman walaupun jumlah tentera Islam jauh lebih sedikit. Semangat, kesabaran dan kesungguhan ditunjukkan antaranya Saad bin Muaz, Umair bin Abu Waqqas, Miqdad bin Al-Aswad, Saidina Abu Bakar al-Siddiq dan Saidina Umar bin al-Khattab membuktikan kekuatan dalaman meliputi jiwa, hati dan akal adalah komponen penting mencorakkan kejayaan bangsa.
Oleh itu, selain ujian dan latihan, Ramadan adalah pendorong dan penguat sumber kekuatan dalaman kita. Bimbanglah pada peringatan Baginda Rasulullah SAW mengenai ramai yang berpuasa, tetapi malangnya tidak mendapat apa-apa kecuali lapar dan dahaga.
Oleh itu, marilah kita berazam mempertingkatkan ibadat khusus serta kualiti kerja di bulan keberkatan ini supaya kita benar-benar dapat meraikan hari kemenangan nanti.
Penulis ialah Pensyarah Jabatan Siasah Syar’iyyah Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya
Sumber : http : //www.bharian.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan