Rabu, 7 September 2011

ISU PENGAJIAN TINGGI : Kuasai pelbagai ilmu tingkatkan kualiti mahasiswa

Oleh Ihsan Noorzali
rencana@hmetro.com.my

MAHASISWA hari ini berdepan cabaran dan persaingan dunia kerjaya cukup hebat kerana bukan saja berdepan kehendak sengit majikan, malah dibelenggu isu kualiti graduan yang dikatakan sukar menepati standard industri.

Meskipun banyak usaha dilaksanakan bagi membantu menaikkan lagi taraf dan imej mahasiswa menjadi lebih berketrampilan, berdaya saing, kompetitif serta kompeten, namun bukan semua berjaya menakluk hati majikan.

Antara pihak paling terkesan mengenainya sudah tentu institusi yang menjadi tempat naungan mahasiswa menimba ilmu menyebabkan kewibawaan sesetengah institusi terbabit dipersoalkan.

Bagaimanapun, isu utama sering diketengahkan ibarat sudah lapuk, antaranya kurang mahir berkomunikasi bahasa Inggeris dan lemah penampilan sahsiah diri menyebabkan ada pihak mengaku kalah dan bersikap lepas tangan.

Persoalannya, adakah hanya dua isu ini saja yang dilihat menjadi ‘musibah’ kepada mahasiswa? Bagaimana isu lain lebih dramatik antaranya melahirkan graduan bukan saja mampu menguasai dua bahasa utama, malah lebih yang kini menjadi antara agenda penting kebanyakan institusi ternama dunia juga industri global.

Dekan Fakulti Bahasa dan Komunikasi, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Profesor Madya Dr Nor Azmi Mostafa, berkata ‘kesibukan’ kebanyakan pihak menekankan kepentingan hanya dua bahasa utama saja menyebabkan mereka terlupa masih ada bahasa lain yang turut mempunyai nilai komersial tinggi.

Menurutnya, graduan yang memiliki kelebihan menguasai lebih dua bahasa kini menjadi aset dan buruan penting pelbagai industri kerana tahu mereka mempunyai kebolehan istimewa yang jarang dimiliki graduan lain.

“Kepentingan menguasai lebih dua bahasa adalah aliran terbaru yang mewarnai pasaran kerjaya global masa kini. Jika dulu, sudah memadai andai kata graduan boleh menguasai bahasa Melayu dan Inggeris, kini tidak lagi.

“Dengan kata lain, meskipun ramai menganggap bahasa Inggeris sangat penting, kini mahasiswa yang boleh berbahasa selain dari itu turut menjadi buruan. Ini menunjukkan mereka memiliki pilihan luas untuk mencorakkan masa depan.

“Justeru, janganlah ada pihak asyik menghentam atau berbalah jika mahasiswa kita kurang mahir berbahasa Inggeris kerana penguasaan bahasa lain juga boleh membantu meningkatkan nilai diri di pasaran kerjaya global,” katanya.

Beliau mengakui apabila bahasa lain seperti Korea, Jepun, Mandarin dan Jerman kini sudah mula menakluki dunia kerana negara terbabit turut menjadi antara kuasa besar ekonomi global.

Menurutnya, kecenderungan itu menjadikan pasaran kerjaya tiada sempadan dan membuka pintu kepada semua masyarakat dunia untuk merebut peluang yang ada.

Mahasiswa tempatan juga, katanya, perlu membuka minda dan melihat keperluan dunia pekerjaan secara global bukan hanya menumpukan pada kehendak menceburi kerjaya dengan pihak tertentu semata - mata.

“Kebanyakan mahasiswa masih tidak nampak kepentingan menguasai kepelbagaian bahasa kerana mereka hanya fokus pada satu matlamat sedangkan corak permintaan dunia hari ini sudah berubah.

“Tiada lagi batasan atau kongkongan untuk berjaya atau hanya menempatkan diri dalam pasaran kerjaya tempatan saja, malah boleh pergi ke seluruh pelosok dunia. Bayangkan apakah yang boleh mereka peroleh jika berjaya menguasai bahasa negara penyumbang ekonomi terbesar?

“Negara berkenaan kebanyakannya tidak mengagungkan bahasa Inggeris selain bahasa ibunda. Sebenarnya ini adalah peluang yang sangat besar dan tidak boleh dilepaskan, namun kepentingannya tidak dapat dinilai sepenuhnya oleh mahasiswa tempatan,” katanya yang sangat optimis keupayaan menguasai pelbagai bahasa boleh mewujudkan peluang cerah kepada graduan.

“Masalahnya sebahagian besar graduan tidak mahu merebut peluang disediakan ini dengan baik sebaliknya sangat mudah berpuas hati dengan apa yang ada selain menyalahkan pihak tertentu andai kata terus menganggur.

“Sebenarnya banyak cara boleh dilakukan untuk memperbaiki kekurangan diri, yang penting semangat untuk berubah dan berusaha kerana saya percaya semua institusi sudah cuba melakukan yang terbaik untuk membantu.

“Apakah mereka berharap, institusi akan terus ‘memanjakan’ hingga dapat kerjaya? Inilah konsep salah menyebabkan ramai mahasiswa ketinggalan, tidak mahu berusaha sedangkan pihak lain terus mengambil kesempatan.

“Gunakan aspek kepelbagaian bahasa sebagai wadah paling tepat mempertingkatkan keupayaan dan nilai diri. Jangan bersikap sambil lewa selain memberi pelbagai alasan untuk selesa pada takuk sama sebaliknya perlu lebih realistik,” katanya.

Kajian di Barat menunjukkan seseorang yang berkemahiran menguasai lebih dua bahasa mempunyai keupayaan untuk memainkan peranan lebih berkesan sebagai seorang warganegara dunia bersifat global. Menguasai pelbagai bahasa akan mendedahkan individu kepada himpunan ilmu yang lebih luas dan menerapkan sudut pandangan dunia lebih global.

Selain itu, ia juga menjadi pemangkin kepada mahasiswa untuk mencapai hierarki lebih baik dalam kalangan rakan sebaya, sejawatan mahupun pengurusan tertinggi.

“Lazimnya, syarikat bertaraf antarabangsa sangat menghargai pekerja yang boleh berbahasa ibunda menjadikan mereka aset penting syarikat. Masa depan juga cerah, namun ini semua perlu disertakan dengan usaha keras kerana standard disasarkan sangat tinggi.

“Jika hanya bersandarkan pada kepandaian berbahasa saja, namun tidak ada kegigihan, sesiapapun akan gagal apatah lagi semua syarikat mahukan pekerja yang bukan saja berdedikasi, malah menampilkan semua imej positif,” katanya yang menyifatkan mahasiswa bijak adalah pandai mengambil peluang.

“Mereka perlu akur, cabaran dunia pekerjaan hari ini tidak seperti dulu, siapa pandai mengambil peluang, dialah yang akan berjaya. Dan peluang itu pula ada pelbagai cara.

“Jika tahu ada kelemahan, perbaikilah dan jika ada kelebihan mantapkan lagi. Sebagai graduan, mereka harus berfikir di luar kotak dan menyimpan cita-cita lebih tinggi daripada sekadar berpuas hati dengan pencapaian sedia ada,” katanya.

Pada masa sama menekankan penguasaan bahasa akan membantu meningkatkan diri dalam pelbagai bidang selain merealisasikan hasrat negara melahirkan modal insan berfikiran terbuka, berdaya saing dan berbudaya positif.

Sumber : http ; // www. hmetro.com.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan