Jumaat, 30 Disember 2011
ISU BAHASA : Ajar anak berbudi bahasa sejak kecil
Oleh MUHAMAD AMIRUL AFIQ MASTOR
BUDI bahasa merupakan suatu nilai murni yang bukan hanya dilaksanakan dalam pertuturan, bahkan juga kelakuan dan saling menghormati antara satu sama lain.
Dalam situasi di Malaysia yang rakyatnya terdiri daripada berbilang kaum dan adat resam, sudah pasti budi bahasa memainkan peranan penting bagi menikmati kehidupan yang aman dan damai.
Tokoh sejarah, Profesor Emeritus Tan Sri Dr. Khoo Kay Kim berkata, amalan budi bahasa perlu ditanam dalam diri anak-anak sejak peringkat awal lagi bagi membolehkan ia terus mengalir dalam diri mereka sehingga dewasa.
"Pendidikan mengenai perkara ini hendaklah diajar sejak anak-anak di peringkat sekolah rendah kerana di sana mereka sudah mula bercampur dan berkenalan dengan komuniti lain, selain keluarga.
"Justeru, peranan ibu bapa dan guru perlu sama penting dalam memastikan generasi hadapan negara kita terus mempunyai sikap budi bahasa yang tinggi," katanya ketika dihubungi baru-baru ini.
Kempen Budi Bahasa dan Nilai-Nilai Murni telah dilancarkan pada 11 Januari 2005 oleh bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi.
Kempen yang dilaksanakan secara berterusan dalam tempoh lima tahun itu disasarkan kepada setiap golongan rakyat dan masyarakat negara ini.
Ia merupakan agenda penting kerajaan untuk menyemarakkan dan menyemai semula budi bahasa dan nilai-nilai murni ke dalam jiwa setiap rakyat Malaysia.
Kay Kim berkata, sebagai masyarakat Timur, amalan budi bahasa dan nilai-nilai murni bukan suatu perkara baru. Malah kita telah diasuh sejak kecil lagi supaya sentiasa bersopan santun dan berbudi bahasa dalam menjalani kehidupan seharian.
Namun demikian, tanpa disedari, kehidupan hari ini tidak lagi sama seperti dahulu. Nilai-nilai murni yang dahulunya kaya dalam diri masyarakat kian terhakis lantaran daripada tuntutan mengejar kekayaan dan kebendaan.
Menurutnya, cabaran globalisasi dan dunia tanpa sempadan dilihat antara faktor masyarakat hari ini tidak lagi mengamalkan budaya yang dahulunya kuat seperti semangat bantu membantu dan hormat menghormati.
"Satu kaji selidik yang dijalankan di universiti mendapati ada yang sanggup menerima rasuah untuk melakukan sesuatu perkara dan ini membuktikan bahawa masyarakat hari ini kian hilang nilai-nilai murni dalam diri mereka, " katanya.
Beliau berkata, tidak salah mencari kekayaan dan mengejar kemodenan, namun nilai-nilai ketimuran yang telah menjadi identiti kita sejak dahulu lagi, mesti terus diterapkan dalam diri setiap rakyat Malaysia.
Menurutnya, peranan ibu bapa, pihak sekolah dan kerajaan amat berat dalam mewujudkan generasi masa hadapan agar terus mempunyai nilai-nilai murni sebagai orang Timur.
"Melentur buluh biar dari rebungnya. Jadi, generasi muda perlu diajar dan diterapkan dengan nilai-nilai tersebut secukupnya agar tidak hilang ditelan kemodenan dan kemajuan negara," katanya.
Sumber : http : //www.utusan.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan