Selasa, 13 Disember 2011

ISU BAHASA : Kepentingan ekologi linguistik lebih sihat


OLEH TEO KOK SEONG

MBMMBI GAGASAN JAMIN KETAHANAN BAHASA MELAYU JADI SEMAKIN KUAT

DASAR Memartabatkan Bahasa Melayu Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI) yang menggantikan Dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI), boleh dianggap sebagai gagasan yang mampu menjamin ketahanan bahasa Melayu, agar terus kekal selain menjadi semakin kuat.

Bermula pada 2012, selain memastikan generasi muda kita cekap berbahasa Inggeris dalam zaman modenisasi dan globalisasi ini, menerusi pendekatan yang lebih berwaspada mengenai imperialisme bahasa Inggeris, ia boleh menentukan generasi muda kita mempunyai perasaan bangga, sayang dan setia kepada bahasa Melayu sebagai bahasa negara. Pemupukan perasaan begini penting memandangkan zaman ini yang dikuasai oleh bahasa Inggeris sebagai bahasa paling berpengaruh, boleh dan sudah meminggirkan banyak bahasa, khususnya yang kecil dan tidak terkecuali juga yang besar.

Peminggiran ini berlaku kerana negara berkenaan didapati tidak maju ketika menggunakan bahasanya sendiri. Oleh itu, kuasa Barat Inggeris berpendapat bahawa negara mundur ini perlu diserapkan ke dalam sistemnya yang boleh menjamin kesejahteraan rakyat, selain kejayaan ekonomi negara. Ini sebetulnya pemikiran dominan di sebaliknya pelaksanaan PPSMI pada 2003.

Dengan menggunakan bahasa Inggeris, Malaysia diyakini boleh maju dengan kadar yang lebih cepat dan disanjungi pula di persada antarabangsa kerana dapat ikut menyumbang kepada khazanah budaya global. Khazanah global ini sesungguhnya adalah himpunan peradaban Amerika Syarikat dan United Kingdom. Dua buah negara ini adalah pusat kuasa politik dan ekonomi dunia, yang bukan saja menggunakan bahasa Inggeris, tetapi ingin memastikan bahasa mereka itu ikut digunakan di seluruh dunia.

Atas nama kemajuan dan keantarabangsaan inilah, Malaysia sanggup mengetepikan bahasa pribuminya untuk digantikan oleh bahasa Inggeris, bahasa kuasa besar dunia, untuk pelaksanaan PPSMI khasnya dan pengendalian sistem pendidikan negara amnya. Alasan yang diberikan ialah peralihan bahasa ini bukan saja penting, tetapi amat perlu sekiranya Malaysia tidak mahu ketinggalan dalam zaman yang mementingkan penggunaan bahasa global Inggeris ini.

Sesungguhnya kita perlu berhati-hati ketika diundang atau bercadang untuk menyerapkan model Barat ini. Jaminan bahawa selepas kita menggunakannya melalui pola linguistik bahasa Inggeris, Malaysia bukan saja boleh menjadi amat maju, tetapi berupaya mengecapi kejayaan politik dan ekonomi yang besar, perlu diwaspadai. Ini adalah kerana dasar imperialisme Barat wujud menerusi pelbagai dakyah licik. Antaranya adalah kaedah sosial dan psikologi untuk membinasakan harga diri rakyat negara yang disasar, selain nilai bahasa dan budaya mereka.

Ini dilakukan antaranya dengan melabelkan pendekatan negara berkenaan mengendalikan sistem di dalamnya, baik yang politik, ekonomi, sosial mahupun budaya, sebagai cara lama. Oleh itu, ia perlu ditukarkan dengan cara baru, yang menggunakan model yang mementingkan bahasa Inggeris.

Oleh sebab kemunduran akibat tidak menggunakan model Barat sebelum ini, kuasa Barat Inggeris berpendapat bahawa negara mundur ini perlu dididik untuk mengamalkan sistemnya, yang menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa ilmu dan wahana utama. Sehubungan ini, Malaysia ikut terperangkap oleh dakyah halus ini apabila melakukan peralihan bahasa ilmu menerusi PPSMI.

Dengan terlaksananya PPSMI, kita dipuji kerana berjaya melakukan peranjakan daripada tahap lama yang menggunakan bahasa pribumi sendiri, ke tahap moden yang menggunakan bahasa global terpenting. Ia dianggap langkah bijak kerana bahasa Melayu yang didakwa hanya sesuai untuk memaparkan pengetahuan lama yang statik, didapati tidak layak lagi digunakan untuk mengungkapkan ilmu semasa yang dinamik sifatnya. Oleh itu, peranjakan ini bukan saja boleh menjadikan negara kita amat maju, tetapi yang lebih penting lagi Malaysia dianggap moden.

Sebetulnya dengan terlaksananya PPSMI, kita terjebak dengan fenomena rasisme bahasa, yang digunakan kuasa Barat Inggeris untuk memerangkap mana-mana negara yang alpa. Rasisme bahasa merujuk kepada keadaan yang memperlihat diskriminasi antara bahasa negara maju dengan yang sebaliknya. Sehubungan ini, bahasa negara maju dianggap lebih sesuai digunakan dalam kehidupan moden. Manakala bahasa negara tidak maju dihadkan peranannya sebagai layak dikaitkan dengan khazanah budaya lampau saja.

Berlandaskan rasisme bahasa, bahasa yang digolongkan sebagai moden dianggap sebagai sistem linguistik paling sesuai untuk digunakan dalam komunikasi moden. Antaranya dalam sistem pendidikan kini, domain ekonomi semasa dan corak pemerintahan dewasa ini. Sehubungan ini, mana-mana bahasa pribumi hanya sesuai dijadikan lambang jati diri komuniti penutur asalnya. Itupun jati diri lampau saja yang tidak lagi mempunyai sebarang nilai komunikasi moden dan kepentingan budaya pada masa kini.

Oleh itu, dasar MBMMBI perlu memastikan pendidikan bahasa Inggeris dilakukan atas landasan kepentingan bahasa global itu, khususnya dalam bidang pendidikan sebagai bahasa sumber ilmu dan arena antarabangsa selaku bahasa perhubungan. Sebaliknya, imperialisme bahasa Inggeris yang boleh menyerapi domain pendidikan dan lain-lain, perlu ditangani oleh dasar ini.

Dengan cara ini, ia sudah tentu dapat memastikan ketahanan bahasa Melayu. Untuk ini, dasar MBMMBI perlu memastikan peranan bahasa Inggeris di negara ini sentiasa melengkapi, selain mendukungi fungsi bahasa Melayu sebagai bahasa negara. Ini penting untuk mewujudkan ekologi linguistik yang lebih sihat.

Penulis ialah Timbalan Pengarah Institut Tamadun dan Alam Melayu UKM

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan