Jumaat, 25 Februari 2011

ISU KEKELUARGAAN : Usah bosan berbakti kepada ibu bapa

SESEORANG anak yang dilahirkan adalah hasil perkongsian hidup suami isteri yang dikenali sebagai ibu bapa.Ibu bapa banyak berjasa. Mereka yang mendidik, mengasuh serta memberi pendidikan dunia dan akhirat kepada anak.Ibu bapa berkewajipan mendidik dan memberi pelajaran agama kepada anak. Mereka juga memberikan makan minum, pelajaran, pendidikan kesihatan, pendidikan akhlak dan akal, budi bahasa dan perbelanjaan sehingga anak meningkat remaja.

Lukmanul Hakim pernah menasihati anaknya dalam usaha mendidik, antara katanya: Hai anakku. Aku wasiatkan engkau dengan sifat-sifat, jika engkau berpegang teguh dengan sifat-sifat berkenaan, nescaya engkau sentiasa menjadi kepala antara teman-temanmu: Lapangkanlah budi pekertimu kepada orang dekat dan jauh. Peganglah kebodohanmu daripada orang mulia dan orang tercela. Jagalah teman-temanmu, sambungkanlah silaturahim dengan kerabat-kerabatmu. Amankan mereka daripada menerima perkataan pembawa fitnah atau mendengar orang zalim yang menghendaki kerosakan dan bermaksud menipumu. Hendaklah teman-temanmu itu, orang yang apabila engkau berpisah dengan mereka dan mereka berpisah dengan engkau nescaya engkau tidak berpisah dengan mereka, tidak memalukan mereka dan mereka tidak memalukan engkau.

Kebanyakan remaja pada masa kini kurang menghargai jasa ibu bapa. Faktor perpindahan remaja dari kampung ke kota menyebabkan ibu bapa terpinggir dan tidak dipedulikan di desa.Hal ini tentulah berlawanan dengan hasrat kerajaan untuk mewujudkan masyarakat penyayang dalam kalangan rakyat. Masyarakat penyayang yang ingin diwujudkan mestilah ada timbal balik antara anak dan ibu bapa. Hanya melalui pendidikan dan bimbingan yang berterusan keadaan ini dapat diwujudkan.

Ibu bapa tentulah sudah mendidik anak dengan sifat-sifat terpuji antaranya jujur, amanah, sabar, berakhlak mulia, berjiwa besar, bertoleransi, suci hati, rendah diri, sifat malu, menepati janji, belas kasihan, memuliakan jiran tetangga, mengeratkan hubungan persaudaraan dan mengenang jasa.Sifat-sifat kebaikan ini tidak lengkap jika tidak dipraktikkan oleh anak, terutama anak remaja kepada ibu bapa mereka yang sudah tua dan terlalu uzur. Mereka perlu mendapat perhatian, kasih sayang bagi menguatkan semangat untuk menghadapi hari-hari tua.

Hal ini pernah disuarakan oleh Prof Hamka mengenai jasa ibu bapa kepada anak remaja, katanya: Kalau ada seseorang yang berbuat jasa kepadamu, meskipun jasa itu dipandangnya sebagai kewajipan saja, wajib atasmu bertekad akan membalasnya dan mensyukurinya serta mengingatinya, tetapi niat itu kau simpan sepenuh rahsia mungkin dan tolonglah dia sewaktu mendapat kesusahan sebagai ganjaran yang menjadi hak yang menerima. Pendidikan dan kehidupan berkait rapat secara akrab. Jika pendidikan itu lengkap dan bermutu, maka manusia dapat menjalani kehidupannya dengan baik dan sejahtera. Dari segi matlamat dan tujuan pendidikan adalah untuk melahirkan insan soleh, insan yang beriman dan bertakwa, berilmu, berakhlak mulia, berketrampilan, bertanggungjawab dan berbakti.

Sebagai seorang anak yang soleh dengarkan perkataan orang tua dengan sebaik-baiknya. Jalankan dan taati perintah mereka apabila perintah itu sesuai dengan syariat Allah s.w.t.Datanglah lekas jika mereka memanggil. Tundukkan kedua lengan bahu dan rendahkan diri di hadapan kedua-duanya seperti yang diperintahkan Allah dalam firman-Nya yang bermaksud: Dan rendahkan dirimu terhadap mereka berdua (ibu bapa) dengan penuh kasih sayang (Al-Isra:24)

Jangan merasa bosan berbakti kepada mereka. Jangan pula merasa bosan menjalankan perintah mereka. Jangan memandang mereka dengan pandangan sebelah mata. Janganlah sampai ada meninggikan suara di hadapan mereka atau berkata dengan suara keras ketika berbicara dengan mereka.Jangan pula anda mengherdik atau berkata cis kepada mereka apalagi kalau sampai menyalahi, tidak mengindahkan perintah dan anjuran mereka. Lukmanul Hakim memberi nasihat kepada anaknya antara katanya: Hai anakku! Jangan kamu mempersekutukan Allah kerana perbuatan mempersekutukan Allah itu adalah satu kezaliman yang besar.Hendaklah kamu patuh dan berbuat baik kepada kedua-dua ibu bapa kamu. Jika kedua-dua orang tuamu memaksa untuk mempersekutukan Allah maka janganlah kamu mengikutnya. Jelaslah bahawa seseorang anak itu mestilah patuh kepada kedua-dua ibu bapa mereka kecuali perkara yang melanggar syariat Allah s.w.t. Seseorang anak atau remaja mestilah patuh dan mengikut nasihat ibu bapa mereka untuk kebaikan di dunia dan akhirat.

Masyarakat Malaysia secara umumnya sering diperkatakan sebagai masyarakat yang bertimbang rasa, berbudi pekerti dan gemar berbakti kepada kedua-dua ibu bapa.Ini ada kaitannya antara hubungan anak dan ibu bapa sebagai teras masyarakat penyayang. Islam mengambil berat perihal hubungan yang murni antara anak dan ibu bapanya. Islam menganggap persoalan ini sebagai teras kepada pembinaan masyarakat yang harmonis dan berjaya.Selain inginkan kekayaan dan kemajuan, Islam juga mahukan kekayaan perwatakan yang cemerlang dan tinggi budi pekertinya di kalangan umatnya.

Dalam Islam, menghormati, menyayangi, berbelas kasihan dan menjaga kebajikan ibu bapa adalah sesuatu yang wajib. Dan melaksanakan sesuatu yang wajib adalah ibadah.Allah berfirman yang maksudnya: Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua-dua ibu bapanya; ibunya mengandungkannya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan. (Surah Luqman:14) Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua-dua ibu bapanya; ibunya mengandungkannya dengan menanggung susah payah dan melahirkannya dengan menanggung susah payah. (Surah Al-Ahqaf:15) Daripada kedua-dua ayat itu, jelas bahawa tugas berbuat baik kepada ibu bapa kita adalah wajib dan bukan pilihan peribadi. Seseorang anak juga patut menjaga makan minum, kesihatan, kebajikan dan perbelanjaan ibu bapa yang sudah tua. Anak tidak boleh membiarkan ibu bapa melarat dan tidak dijaga dengan sebaiknya.

Ada anak yang menghantar ibu bapa ke rumah kebajikan apabila ibu bapa mereka sudah tua dan uzur. Perkara ini tidak seharusnya boleh terjadi dalam masyarakat Malaysia yang mengamalkan nilai murni dan pembentukan masyarakat penyayang. Allah menegaskan dalam al-Quran yang maksudnya: Jika salah seorang daripada kedua-duanya (iaitu ibu bapa kita), atau kedua-dua sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan pemeliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan Ha! dan janganlah engkau menengking mereka, tetapi katakanlah kepada mereka, perkataan yang mulia (yang bersopan santun). (Surah Al-Isra:23)

Natijahnya, seseorang anak mempunyai tugas dan tanggungjawab yang berat untuk menjaga dan memelihara kedua-dua ibu bapa mereka apabila mereka sudah tua, namun tugas dan tanggungjawab itu adalah suatu ibadah dan perbuatan yang sangat mulia serta patut mendapat sokongan dan sanjungan semua ahli masyarakat ke arah membentuk masyarakat penyayang.

Sumber : http : //www.hmetro.com.my/

ISU ALAM SEKITAR : Memelihara khazanah laut agar tidak terancam

PESISIRAN pantai Pulau Sayak, Kota Kuala Muda dekat Sungai Petani, Kedah gempar pada 10 Februari lalu apabila didatangi 'tetamu' asing.

Tubuh agamnya yang berukuran lebih kurang 12 meter dengan berat antara empat hingga lima tan terjelepok di atas celahan batu. Itulah dia, seekor ikan paus malang yang tidak bernyawa lagi. Kejadian ikan paus terdampar di negara ini sebenarnya bukanlah asing. Berdasarkan sejarah Jabatan Perikanan, ikan paus pertama yang direkodkan terdampar di Malaysia adalah pada tahun 1892 di pesisir pantai, 29 kilometer ke arah selatan bandar Melaka.

Selain itu, rekod Utusan Malaysia menunjukkan lebih 12 ekor paus dijumpai di pesisir pantai negara ini sejak tahun 1999 dan ia didapati semakin bertambah saban tahun. Lebih membimbangkan, hampir kesemua mamalia yang dikesan terdampar itu, jarang-jarang ditemui hidup.

Bagi kes Pulau Sayak, pada hakikatnya tiada siapa yang tahu kenapa dan sebab paus yang dipercayai spesies Bryde itu ditemui mati dalam keadaan menyayat hati.

Malah, penduduk bingung kenapa paus berkenaan 'mendarat' di kawasan yang tidak pernah ditemui mereka sebelum ini. Mulalah timbul pelbagai andaian termasuklah dikatakan petunjuk tsunami bakal berlaku semula. Pada tahun 2004, tidak jauh dari tempat itulah kesan bencana tsunami dirasai di Malaysia. Mungkin kepada penduduk di kawasan tersebut, ia satu perkara ganjil kerana tidak pernah melihat kelibat paus mundar-mandir di kawasan perairan yang kaya dengan hasil laut berkenaan.

Sungguhpun begitu, insiden malang itu memberikan signifikan tersendiri. Ini kerana, tidak dapat tidak, kita terpaksa menerima hakikat bahawa hidupan laut diancam kepupusan yang semakin serius sejak akhir-akhir ini. Barangkali kedatangan haiwan ini juga sebagai peringatan buat kita, manusia yang terus-terusan lupa akan tanggungjawab memelihara khazanah alam.

Ikan paus, sama ada spesies Bryde, Fin atau sebagainya merupakan antara enam jenis hidupan marin yang dikategorikan sebagai paling terancam selain dugong, ikan lumba-lumba, ikan yu, penyu dan kerang gergasi kima. Kesemua spesies tersebut dilindungi sepenuhnya di bawah Akta Perikanan 1985 dan Peraturan-peraturan Perikanan (Pengawalan Spesies Ikan Marin Terancam 1999 (Pindaan) 2008.

Jika diamati secara menyeluruh, ancaman kepupusan tersebut merupakan perkara yang perlu diberi perhatian khusus dan sewajarnya, memandangkan ia telah lama berlaku dan masih lagi berterusan sehingga saat ini.

Salah satu faktor kepupusan beberapa spesies ikan ataupun khazanah laut itu adalah ketidakseimbangan antara tekanan daripada kegiatan manusia dan industri perikanan serta keupayaan alam sekitar menjana sumber aslinya.

Selain itu, sesetengah haiwan laut mempunyai kepentingan nilai ekonomi dan ini dieksploitasi dengan pelbagai cara. Antaranya, daging dijadikan makanan eksotik manakala cengkerang ataupun bahagian lainnya dijadikan perhiasan.

Ada juga teori mengatakan, penggunaan alat sonar oleh nelayan dan kapal dagang boleh merosakkan gegendang telinga ikan besar seperti paus yang menyebabkan ia hilang imbangan. Keadaan ini seterusnya menyebabkan mamalia tidak bertenaga melawan arus dan akhirnya cedera atau mati dihanyut ombak laut.

Tambah buruk lagi, sikap manusia sendiri yang menjadikan laut sebagai tempat membuang pelbagai jenis sampah sarap. Tidak hairanlah, masalah tersebut mungkin ada kaitan dengan kematian ikan paus di Pulau Sayak, baru-baru ini.

Benda asing seperti plastik, botol minuman dan gumpalan tali dipercayai menyebabkan usus ikan tersumbat dan sakit sehingga mengakibatkannya tidak berdaya untuk berenang ke habitat asal.

Apapun, kita tidak mahu salahkan sesiapa dalam hal ini. Perkara yang penting ialah satu pemahaman yang lebih ketara mengenai spesies terancam perlu dihebahkan kepada umum dari semasa ke semasa. Pihak berkuasa seperti Jabatan Perikanan dan agensi pelaksanaan undang-undang seperti Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM) serta Jabatan Alam Sekitar juga perlu peka dengan apa yang berlaku di sekitar kawasan pesisir pantai.

Di samping itu, institut penyelidikan ekosistem marin tempatan boleh mengambil inisiatif membiak atau menghasilkan benih-benih spesies ikan terancam. Perkara itu bukanlah sesuatu yang mustahil memandangkan beberapa negara yang mendokong khazanah marin seperti Jepun dan Kanada, berjaya melakukannya.

Pada masa sama, nelayan atau mereka yang mendiami kawasan pantai, harus sedar akan tanggungjawab memelihara keindahan dan kebersihan alam sekitar.

Sekiranya usaha berterusan tidak dilakukan, tidak mustahil dalam masa 30 hingga 50 tahun akan datang, khazanah laut sekitar negara ini akan pupus. Justeru, jangan biarkan suatu hari nanti, generasi akan datang hanya mengenali paus, penyu, dugong dan ikan yu melalui internet atau majalah. Jika benar-benar berlaku, ia suatu yang amat malang.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Industri buku Malaysia tidak malap

AWAL minggu ini dunia digemparkan dengan berita kemuflisan rangkaian kedai buku terbesar iaitu Borders dan antara faktor yang menyumbang kepada kemuflisan disebabkan kurangnya permintaan terhadap bahan bercetak seperti buku. Apakah ia pendapat atau fakta, ini harus dikaji dengan terperinci?

Mungkin pendapat ini ada benarnya di negara maju dan bukannya negara sedang membangun atau negara miskin.

Turut diutarakan trend pembelian dalam talian seperti Amazom.com yang menyumbang kepada 60 peratus keuntungan dengan penjualan buku. Dengan alasan seperti ini bukan bermakna buku tidak mendapat sambutan.

Kegagalan Borders beroperasi mungkin disumbangkan oleh faktor lain yang membantu ke arah cadangan menyelamatkan kejatuhan rangkaian kedai buku terbesar di dunia itu.

Jika dilihat dengan mata kasar, saban tahun pesta buku yang dianjurkan di seluruh dunia mendapat sambutan hebat.

Nama seperti Bologna, Jakarta, Frankfurt, London dan banyak lagi sentiasa dinanti bukan saja oleh pencinta ilmu, malah pedagang ilmu tradisional ini.

Di Malaysia, jika dilihat setiap tahun Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur sentiasa mendapat sambutan dan pengunjungnya menjangkau hampir dua juta orang.

Peserta pameran pula sentiasa melebihi daripada gerai yang ditawarkan, malah pada hari terakhir setiap tahun tempahan gerai untuk tahun akan datang biasanya sudah habis terjual. Apakah ini petanda orang ramai tidak gemar membaca buku?

Sememangnya instrumen ilmu tradisional ini menghadapi persaingan hebat dengan adanya buku dalam talian, e-book dan pelbagai cabaran serta gajet elektronik terbaru. Namun, berapa ramai yang mampu mencapai buku dalam talian serta gajet elektronik ini kerana perkara ini masih baru dan dianggap sebagai barang mewah dalam masyarakat dunia.

Oleh itu, anggapan bahawa kemalapan industri buku dunia dengan kemuflisan rangkaian gergasi Borders ini adalah satu pendapat semata-mata.

Fakta realitinya instrumen ilmu tradisional ini masih diperlukan oleh semua peringkat umur serta mereka yang dahagakan ilmu.

Bagi senario di Malaysia, industri buku di negara ini masih baru dalam perkembangannya. Masyarakat baru saja mengenali serta memupuk pembudayaan ilmu melalui buku.

Kempen yang dianjurkan oleh kerajaan bersama agensinya serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) baru saja hangat diperkatakan serta mendapat perhatian masyarakat.

MOHAMAD ASRI SHAFII,
Yang Dipertua Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS),
Bagan Datoh, Perak.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/